Panduan kesihatan mencadangkan mengurangkan amaun lemak tepu yang dimakan, dengan mengurangkan lemak haiwan, adalah baik untuk kesihatan kita.
Dalam proses mengemas kini ulasan ini para penulis ingin tahu sama ada mengikuti nasihat ini membawa kepada penurunan risiko kematian atau penyakit kardiovaskular (penyakit jantung atau strok). Mereka menilai kesan penggantian lemak haiwan dan lemak sayuran keras dengan minyak tumbuhan, sapuan tidak tepu atau makanan berkanji, sekurang-kurangnya untuk dua tahun, terhadap hasil kesihatan termasuk kematian, penyakit jantung dan strok. Mereka hanya melihat kajian-kajian dalam kalangan dewasa (18 tahun ke atas). Mereka termasuklah lelaki dan wanita dengan dan tanpa penyakit kardiovaskular. Mereka tidak memasukkan kajian-kajian orang sakit akut atau wanita hamil atau wanita menyusu.
Para penulis ulasan mendapati 15 kajian dengan lebih 59,000 peserta. Ulasan ini mendapati mengurangkan lemak tepu menyebabkan penurunan 21% risiko penyakit kardiovaskular (termasuk penyakit jantung dan strok) tetapi sedikit kesan terhadap risiko kematian. Ulasan mendapati terdapat manfaat kesihatan dari penggantian lemak tepu dengan lemak tak tepu atau makanan berkanji. Pengurangan lemak tepu lebih besar, dan penurunan lebih banyak serum kolesterol total, maka lebih besar perlindungan dari kejadian kardiovaskular. Orang yang sihat dilihat mendapat sebanyak manfaat mereka yang berisiko tinggi penyakit jantung atau strok (misalnya, orang dengan tekanan darah tinggi, serum kolesterol tinggi atau diabetes), dan orang yang telah mengalami penyakit jantung atau strok. Tiada perbezaan kesan antara lelaki dan wanita.
Ini bermakna, jika 56 orang tanpa penyakit kardiovaskular, atau 32 orang dengan penyakit kardiovaskular, mengurangkan lemak tepu mereka selama sekitar 4 tahun, maka satu orang akan dapat mengelak kejadian kardiovaskular (serangan jantung atau strok) yang mungkin mereka alami.
Terdapat banyak bukti yang menilai kesan pengurangan lemak tepu sekurang-kurangnya dua tahun. Kajian-kajian ini menunjukkan mengurangkan lemak tepu dapat menurunkan risiko penyakit kardiovaskular. Para penulis ulasan menilai kualiti bukti sebagai sederhana.
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2019.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.