Penyelidikan baru mengesahkan vaksinasi HPV mencegah kanser serviks

 

 

Dua ulasan Cochrane baharu menunjukkan bukti kukuh dan konsisten vaksin HPV berkesan dalam pencegahan kanser serviks dan perubahan pra-kanser, terutama apabila diberi kepada golongan muda sebelum mereka terdedah kepada virus.

Kanak-kanak perempuan yang divaksin sebelum umur 16 tahun didapati 80% kurang berkemungkinacenderung mendapat kanser serviks. Ulasan-ulasan tersebut juga mengesahkan vaksin HPV mungkin hanya menyebabkan kesan sampingan minor dan sementara seperti sakit lengan. Ulasan-ulasan tersebut disokong oleh Institut Kebangsaan Penyelidikan Kesihatan dan Penjagaan (NIHR).

Papillomavirus (HPV) manusia ialah keluarga virus lazim, termasuk virus yang menyebabkan ketuat kulit. Walaupun banyak jenis HPV tidak berbahaya, jenis 'berisiko tinggi' lain boleh menyebabkan kanser serviks, dubur, zakar, vulva, faraj dan tekak, dan yang lain-lain menyebabkan ketuat anogenital. Kanser serviks adalah kanser keempat paling lazim dalam kalangan wanita di seluruh dunia dan menyebabkan lebih daripada 300,000 kematian setiap tahun, kebanyakannya di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Ulasan-ulasan baharu tersebut mengesahkan vaksinasi terhadap HPV boleh mencegah kebanyakan kanser ini daripada berkembang.

Bukti kajian klinikal menyokong keberkesanan dan keselamatan

Ulasan pertama memfokus kepada kajian rawak terkawal dan sertakan 60 kajian dengan 157,414 peserta. Mereka mendapati semua vaksin HPV berkesan dalam pencegahan jangkitan yang boleh membawa kepada kanser dan keadaan berkaitan HPV lain, tanpa bukti kebimbangan keselamatan yang serius.

Kerana kanser yang disebabkan oleh HPV boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang, kebanyakan kajian tidak menyusul peserta cukup lama untuk mengukur kesan langsung terhadap kanser itu sendiri. Walau bagaimanapun, vaksin seperti Cervarix, Gardasil, dan Gardasil-9 mengurangkan perubahan prakanser kepada serviks dan tisu lain dalam kalangan orang berumur 15 hingga 25 tahun, serta bilangan orang yang memerlukan rawatan untuk penyakit berkaitan HPV. Vaksin yang merangkumi perlindungan terhadap jenis HPV yang berkaitan telah mengurangkan risiko ketuat anogenital dengan ketara.

Kesan sampingan jangka pendek seperti sakit ringan atau bengkak di tapak suntikan adalah perkara lazim, tetapi kesan sampingan yang serius jarang berlaku dan berlaku pada kadar yang sama dalam kedua-dua kumpulan vaksin dan kawalan.

"Kajian klinikal belum dapat memberi kita gambaran keseluruhan tentang kanser serviks, kerana kanser berkaitan HPV boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang," kata Hanna Bergman, pengarang bersama utama. "Walaupun demikian, bukti daripada kajian ini mengesahkan vaksin HPV sangat berkesan untuk mencegah jangkitan yang membawa kepada kanser, tanpa sebarang tanda kebimbangan keselamatan yang serius."

Bukti dunia nyata mengesahkan perlindungan jangka panjang

Ulasan kedua menganalisis bukti daripada 225 kajian yang melibatkan lebih daripada 132 juta orang merentasi pelbagai negara. Ia melihat reka bentuk kajian pemerhatian, termasuk kajian peringkat populasi yang membandingkan hasil sebelum dan selepas vaksin diperkenalkan. Penemuan menunjukkan vaksinasi HPV jelas mengurangkan risiko mendapat kanser serviks dan perubahan pra-kanser serviks. Keputusannya datang daripada kajian pelbagai reka bentuk merentas tempoh susulan yang berbeza.

Kanak-kanak perempuan yang diberi vaksin pada atau sebelum umur 16 tahun adalah 80% kurang cenderung mendapat kanser serviks berbanding kanak-kanak perempuan yang tidak divaksinasi. Ulasan itu juga mendapati pengurangan ketara dalam perubahan pra-kanser (dikenali sebagai CIN2+ dan CIN3+), dan dalam ketuat anogenital, yang juga disebabkan oleh jangkitan HPV. Pengurangan adalah lebih besar dalam kalangan orang yang menerima vaksin HPV pada atau sebelum umur 16 tahun.

Yang penting, ulasan itu tidak menemui bukti untuk menyokong dakwaan vaksinasi HPV meningkatkan risiko kejadian buruk yang serius. Dengan merujuk silang kejadian buruk yang didakwa dengan data susulan dunia sebenar, pasukan pengulas mendapati tiada hubungan antara kesan sampingan serius yang dilaporkan dan vaksinasi HPV. 

"Kami kini mempunyai bukti yang jelas dan konsisten dari seluruh dunia bahawa vaksinasi HPV menghalang kanser serviks," kata Nicholas Henschke, pengarang utama bersama. "Penemuan penting ialah kesan sampingan vaksin yang lazim dilaporkan, sering dibincangkan di media sosial, didapati tidak mempunyai bukti kaitan sebenar dengan vaksinasi."

Kesan global dan langkah seterusnya

Kedua-dua ulasan Cochrane memberi bukti yang paling komprehensif dan terkini tentang vaksinasi HPV setakat ini, berdasarkan kedua-dua kajian dunia sebenar berskala besar dan kajian klinikal yang ketat. Bukti menunjukkan vaksinasi HPV adalah langkah kesihatan awam yang selamat dan sangat berkesan, mampu mencegah kanser yang mempengaruhi ratusan ribu orang setiap tahun. 

Penemuan ini menggariskan cadangan global untuk memberi vaksin kepada kedua-dua kanak-kanak perempuan dan lelaki, sebaik-baiknya sebelum umur 16 tahun, untuk mencapai perlindungan terbaik terhadap kanser berkaitan HPV. Perlindungan adalah paling kuat apabila vaksinasi berlaku sebelum hubungan seksual dan pendedahan kepada virus.

"Ulasan-ulasan ini menjelaskan vaksinasi HPV pada awal remaja boleh mencegah kanser dan menyelamatkan nyawa," kata Dr Jo Morrison, pengarang kanan, perunding onkologi ginekologi di Somerset NHS Foundation Trust dan Profesor Madya Kehormat di Universiti Exeter. “Memvaksin lelaki dan perempuan meningkatkan perlindungan untuk semua orang. Lama kelamaan kita akan lihat impak vaksinasi terhadap kanser lain juga, termasuk yang memberi kesan kepada lelaki.”

Walau bagaimanapun, penulis juga mencatatkan beberapa jurang bukti. Kebanyakan penyelidikan telah dijalankan di negara-negara berpendapatan tinggi, bermakna lebih banyak kajian diperlukan dalam persekitaran berpendapatan rendah dan sederhana, di mana kanser serviks lebih lazim dan program saringan kurang; di negara-negara inilah vaksinasi HPV akan memberi impak yang lebih positif. Walau bagaimanapun, untuk mencapai cita-cita Pertubuhan Kesihatan Sedunia membasmi kanser serviks, kadar vaksinasi HPV yang tinggi, pemeriksaan serviks dan rawatan pra-kanser yang dikesan melalui saringan kekal penting.

“Data jangka panjang akan terus mengukuhkan pemahaman kami bagaimana vaksinasi HPV melindungi daripada kanser sepanjang hayat. Walaupun kami kini ada data yang cukup untuk melihat kesan bermanfaat vaksinasi HPV terhadap kanser serviks, yang cenderung berkembang dalam kalangan wanita yang lebih muda, ia akan mengambil masa beberapa dekad untuk memahami sepenuhnya kesan vaksinasi terhadap kanser vulva, ‘peri-anal’, zakar dan kepala dan leher yang sering berkembang di kemudian hari, "kata Dr Morrison.

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).