Makanan sekolah percuma atau bersubsidi membawa keuntungan sederhana dalam matematik dan pendaftaran sekolah, menurut ulasan Cochrane baharu yang mengkaji impak global program pemakanan sekolah ke atas kanak-kanak yang kurang bernasib baik di kedua-dua negara berpendapatan tinggi dan negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Pasukan para penyelidik, yang diketuai oleh saintis dari Universiti Ottawa, mendapati menyediakan makanan percuma atau bersubsidi di sekolah memperbaik sedikit pencapaian matematik dan kadar pendaftaran di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC), dan cenderung menyumbang kepada keuntungan kecil dalam indikator pertumbuhan fizikal seperti skor ketinggian untuk umur dan berat untuk umur.
Program pemakanan sekolah bertujuan mengurangkan kelaparan dan memperbaik pembelajaran kanak-kanak, fokus dan kesihatan keseluruhan. Di seluruh dunia, ramai kanak-kanak tidak mendapat makanan berkhasiat yang cukup untuk memastikan mereka sihat dan bersedia untuk belajar di sekolah, dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik amat terdedah. LMIC menyumbang hampir 90% daripada kekurangan zat makanan global. Namun pada 2024, secara purata, hanya 27 peratus murid sekolah rendah di negara berpendapatan rendah dan 42 peratus di negara berpendapatan sederhana rendah menerima makanan sekolah. Sebaliknya, 58% kanak-kanak di negara berpendapatan sederhana atas, dan 79% di negara berpendapatan tinggi menerima makanan sekolah, menurut laporan dari Program Pemakanan Sedunia.
Peningkatan yang konsisten dalam pertumbuhan, pendaftaran dan pencapaian matematik
Ulasan itu menganalisis 40 kajian termasuk 91,000 pelajar di seluruh sekolah rendah dan menengah. Kebanyakan kajian telah dijalankan di LMIC, termasuk beberapa di kawasan yang dilanda konflik, mengembangkan bukti terdahulu yang terhad dalam skop geografi.
Secara keseluruhannya, para pengarang mendapati program pemakanan sekolah dalam LMIC membawa peningkatan kecil dalam skor ujian matematik dan pendaftaran sekolah. Program pemakanan juga cenderung membawa kepada sedikit peningkatan dalam ukuran relatif ketinggian dan berat kanak-kanak mengikut umur. Walau bagaimanapun, para pengarang mendapati program-program tersebut mungkin ada sedikit atau tiada kesan ke atas skor ujian membaca dan kehadiran sekolah.
"Makanan sekolah adalah sumber khasiat penting untuk kanak-kanak yang mengalami kekurangan sosioekonomi," kata Jennifer Garner, Pakar Pemakanan Berdaftar dan Penolong Profesor dari Sekolah Kesihatan Awam Universiti Michigan yang mengarang bersama ulasan tersebut. "Memandangkan variasi dalam konteks dan reka bentuk program yang dikaji, melihat peningkatan yang boleh diukur dalam pertumbuhan, pendaftaran dan pencapaian matematik adalah menggalakkan.”
Walaupun dengan penemuan yang menjanjikan, para pengarang mengingatkan bukti dari negara berpendapatan tinggi adalah terhad, oleh itu tanggapan umum tidak boleh dibuat untuk keputusan tersebut di luar LMIC.
"Program makanan sekolah memainkan peranan penting dalam memperbaik hasil kesihatan dan pendidikan untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik," kata Elizabeth Kristjansson, pengarang utama dan Profesor Emeritus dari Universiti Ottawa. “Apa yang kita lihat adalah sederhana, tetapi keputusan yang benar. Seperti yang saya lihat, kita mempunyai kemestian moral untuk memberi makanan kanak-kanak yang kelaparan.”
Seruan untuk penyelidikan lebih kukuh dan ekuiti lebih besar
Pasukan ini menekankan keperluan untuk penyelidikan yang lebih kukuh dan standard untuk membimbing penggubalan dasar masa hadapan. Mereka berhujah bahawa penggubal dasar harus menganggap penyelidikan sebagai bahagian penting dalam keputusan melaksanakan dan menjalankan program pemakanan sekolah.
Mereka juga menyeru lebih banyak perhatian kepada ekuiti. Dr Anita Rizvi, seorang lagi pengarang ulasan dari Universiti Ottawa, berkata, "Penyelidikan seringkali memfokus kepada kesan purata dan terlepas perbezaan di antara kumpulan. Kami menilai hasil berdasarkan kekurangan sosioekonomi dan jantina, tetapi terlalu sedikit kajian-kajian melaporkan data ini untuk membuat kesimpulan yang kukuh. Kajian masa depan memerlukan perbandingan yang lebih besar, yang direka bentuk dengan lebih baik.”
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).