Rawatan untuk karsinoma sel basal pada kulit

Mengapakah soalan ini penting?
Karsinoma sel basal (BCC) adalah sejenis barah kulit yang paling kerap terjadi dalam kalangan orang yang berkulit putih.

BCC biasanya tidak mengancam
nyawa tetapi jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan kecacatan yang ketara, terutamanya pada wajah.

Pembedahan mengeluarkan kawasan yang terjejas dan kulit di sekitarnya biasanya adalah merupakan pilihan utama untuk merawat BCC. Terdapat beberapa kaedah pembedahan yang berbeza dan juga rawatan bukan
pembedahan, seperti radioterapi (radiasi dos tinggi yang membunuh sel barah), dan krim, gel dan salap antibarah.

Kami mengulas bukti dari kajian penyelidikan, untuk mengetahui rawatan apakah yang paling sesuai untuk BCC.

Bagaimana kami mengenal pasti dan menilai bukti?
Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), kerana ia memberikan bukti yang paling mantap mengenai kesan rawatan. Kami membandingkan dan membuat ringkasan bukti dari semua kajian. Akhir sekali, kami menilai keyakinan kami terhadap bukti tersebut, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi keputusan merentasi kajian.


Apa yang kami temui?
Kami menemui 52 kajian yang melibatkan sejumlah 6690 orang dewasa dengan BCC. Kebanyakan kajian (48 daripada 52) melibatkan pesakit luar hospital dengan BCC yang kecil, dangkal atau nodular. Kajian berlangsung antara enam minggu dan 10 tahun (tempoh purata: 13 bulan). Dua puluh
- dua kajian telah dibiayai oleh syarikat-syarikat farmaseutikal.

Keyakinan kami terhadap bukti yang dikemukakan di sini adalah rendah hingga sederhana, kerana kebanyakan kajian adalah kecil.

Perbandingan antara rawatan pembedahan yang berbeza

·       Pembedahan mikrografik Mohs (pendekatan pembedahan khusus yang mengeluarkan sedikit kulit) dapat menurunkan sedikit kadar ulangan kepada tiga dan lima tahun berbanding pembedahan eksisi (salah satu rawatan pembedahan yang paling biasa untuk BCC).

·       Terdapat sedikit atau tiada perbezaan bagi seberapa baik parut luka sembuh antara kedua-dua rawatan pembedahan ini menurut pesakit dan pemerhati (satu kajian).

Pembedahan berbanding bukan - rawatan pembedahan

Berbanding dengan pembedahan eksisi:

·       Imiquimod (krim anti - barah) mungkin meningkatkan kadar BCC berulang pada tiga dan lima tahun. Mungkin ada sedikit atau tidak ada perbezaan dalam penyembuhan parut menurut pesakit, walaupun imiquimod boleh meningkatkan peluang penyembuhan parut dengan baik apabila penyembuhan dinilai oleh pemerhati (satu kajian).

·       Radioterapi boleh meningkatkan kadar BCC berulang pada tiga dan empat tahun, dan mungkin mengurangkan peluang penyembuhan parut dengan baik (satu kajian).

·       MAL - PDT, sejenis terapi fotodinamik (yang menggunakan sumber cahaya dan ubat sensitif - cahaya untuk membunuh sel-sel barah), boleh meningkatkan kadar BCC berulang pada tiga tahun. MAL - PDT mungkin meningkatkan peluang penyembuhan parut dengan baik (dua kajian).

Perbandingan pelbagai rawatan bukan - pembedahan

Berbanding dengan imiquimod:

·       MAL - PDT mungkin meningkatkan kadar BCC berulang pada tiga dan lima tahun. Mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam penyembuhan parut (satu kajian);

Apakah maksudnya?
Secara keseluruhan, bukti menunjukkan bahawa:

·       pembedahan boleh mengurangkan kemungkinan berulangnya BCC;

·       rawatan bukan pembedahan seperti krim antibarah atau terapi fotodinamik mempunyai peningkatan  peluang untuk berulangnya BCC, tetapi boleh meningkatkan peluang penyembuhan parut dengan baik berbanding pembedahan.

Komplikasi rawatan pembedahan adalah seperti jangkitan luka, kegagalan cantuman kulit dan pendarahan selepas prosedur. Rawatan bukan pembedahan sering menyebabkan kegatalan, menangis, kesakitan dan kemerahan. Kesan sampingan berkaitan rawatan yang menyebabkan pengubahsuaian kajian atau peserta menarik diri berlaku dengan imiquimod dan MALPDT.

Seberapa
- terkinikah - ulasan ini?
Bukti ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga November 2019.

Isnin, 23 November 2020.

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.