Remdesivir untuk rawatan COVID-19

Dalam ulasan Cochrane yang baru diterbitkan ini, penulis meneroka kesan merawat COVID-19 dengan remdesivir, ubat antivirus.

Penulis pertama Kelly Ansems menyatakan, "Berdasarkan bukti terkini yang ada remdesivir mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kematian dari semua sebab hingga 28 hari dalam kalangan orang dewasa yang dirawat di hospital dengan jangkitan SARS-CoV-2. Kami tidak pasti mengenai kesan remdesivir terhadap peningkatan dan pemburukan klinikal. "

Mesej utama

  •         Bagi orang dewasa yang dirawat di hospital dengan COVID-19, remdesivir mungkin mempunyai kesan yang kecil atau   tiada kesan terhadap kematian dari sebarang sebab hingga 28 hari selepas rawatan dibandingkan dengan plasebo   (rawatan palsu) atau penjagaan biasa. 
  •         Penulis ulasan tidak pasti sama ada remdesivir memperbaiki atau memburukkan keadaan pesakit, berdasarkan sama   ada mereka memerlukan lebih atau kurang bantuan untuk bernafas.
  •         Penyelidik harus menyetujui hasil utama yang akan digunakan dalam penyelidikan COVID-19, dan penyelidikan pada   masa depan harus mengkaji bidang-bidang tersebut. Ini akan membolehkan pengemaskinian ulasan ini pada masa   depan untuk membuat kesimpulan yang lebih pasti mengenai penggunaan remdesivir untuk merawat COVID-19.
Apa itu remdesivir?

Remdesivir adalah ubat yang memerangi virus. Ia telah terbukti mencegah virus yang menyebabkan COVID-19 (SARS-CoV-2) daripada membiak. Pengawal selia perubatan telah meluluskan remdesivir untuk penggunaan kecemasan bagi merawat orang dengan COVID-19. 

Apa yang ingin diketahui oleh penulis?

Penulis ulasan ini ingin mengetahui sama ada remdesivir merupakan rawatan yang berkesan untuk orang yang berada di hospital dengan COVID-19 dan adakah ia menyebabkan kesan yang tidak diingini berbanding dengan plasebo atau penjagaan biasa.

Orang dengan COVID-19 diberi pelbagai jenis bantuan pernafasan, bergantung kepada betapa teruknya kesukaran mereka untuk bernafas. Penulis ulasan menggunakan jenis bantuan pernafasan yang diterima orang untuk mengukur kejayaan remdesivir dalam merawat COVID-19. Bantuan pernafasan termasuk:

  •         untuk kesukaran bernafas yang teruk: pengudaraan mekanikal invasif, apabila saluran pernafasan dimasukkan kedalam paru-paru pesakit, dan mesin (ventilator) bernafas untuk mereka. Pesakit diberi ubat untuk menidurkan mereka semasa diberikan bantuan ventilator.
  •         untuk kesukaran bernafas sederhana hingga teruk: pengudaraan mekanikal tidak invasif melalui topeng di hidung dan/atau mulut, atau topi keledar. Udara atau oksigen diberi melalui topeng. Pesakit secara umumnya sedar untuk rawatan ini.
  •         untuk kesukaran bernafas sederhana: oksigen melalui topeng atau tiub yang diletakkan di lubang hidung. Pesakit masih boleh menghirup udara bilik.

Penulis ulasan berminat dengan hasil berikut:

  • kematian dari sebarang sebab dalam 28 hari selepas rawatan;
  •         sama ada pesakit bertambah baik selepas rawatan, diukur dengan berapa lama mereka menggunakan pengudaraan mekanikal atau oksigen;
  •         sama ada keadaan pesakit bertambah teruk sehingga memerlukan oksigen atau pengudaraan mekanikal;
  •         kualiti hidup;
  •         sebarang kesan yang tidak diingini; dan 
  •         kesan tidak diingini yang serius.

Apa yang dilakukan para penulis? 

Mereka mencari kajian yang mengkaji remdesivir untuk merawat orang dewasa dengan COVID-19 berbanding dengan plasebo atau penjagaan piawai. Pesakit dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 dan boleh terdiri daripada mana-mana jantina atau etnik.  

Mereka membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti metodologi dan saiz kajian.

Apa yang mereka temui? 

Mereka menemui 5 kajian dengan 7452 orang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19. Dari jumlah tersebut, 3886 orang diberi remdesivir. Purata umur peserta adalah 59 tahun. Kajian dilakukan di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara berpendapatan tinggi dan menengah ke atas. 

Keputusan utama 

Kajian yang disertakan membandingkan remdesivir dengan plasebo atau penjagaan biasa pada orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 hingga 28 hari.

Kematian dari sebarang sebab

Remdesivir mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian dari sebarang sebab (4 kajian, 7142 orang). Dalam 1000 orang, kurang 8 kematian dengan remdesivir berbanding dengan rawatan plasebo atau penjagaan piawai.

Adakah pesakit bertambah baik dengan remdesevir?

  •         Remdesivir mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada jangka masa pesakit diberikan pengudaraan mekanikal invasif (2 kajian, 1298 orang). 
  •         Penulis ulasan tidak tahu sama ada remdesivir meningkatkan atau mengurangkan masa penggunaan oksigen tambahan (3 kajian, 1691 orang). 

Adakah pesakit bertambah teruk dengan remdesivir?

  •         Penulis ulasan tidak tahu sama ada pesakit lebih atau kurang memerlukan pengudaraan mekanikal (invasif atau tidak invasif) dengan remdesivir (3 kajian, 6696 orang).
  •         Pesakit mungkin kurang memerlukan pengudaraan mekanikal invasif (2 kajian, 1159 orang).
  •         Penulis ulasan tidak tahu sama ada pesakit lebih atau kurang memerlukan pengudaraan mekanikal tidak invasif (1 kajian, 573 orang). 
  •         Penulis ulasan tidak tahu sama ada pesakit lebih atau kurang memerlukan oksigen melalui topeng atau tiub hidung (1 kajian, 138 orang).

Kualiti hidup

Tiada kajian yang dimasukkan yang melaporkan kualiti hidup.

Kesan yang tidak diingini

·       Penulis ulasan tidak tahu sama ada remdesivir menyebabkan lebih atau kurang kesan yang tidak diingini pada mana-mana peringkat (3 kajian, 1674 orang). 

·       Pesakit berkemungkinan kurang mengalami kesan tidak diingini yang serius dengan remdesivir berbanding dengan plasebo atau penjagaan piawai (3 kajian, 1674 orang). Dalam 1000 orang, kurang 63 orang akan mengalami kesan tidak diingini yang serius berbanding dengan rawatan plasebo atau penjagaan piawai.

Apakah batasan bukti tersebut?

Penulis ulasan ini berkeyakinan sederhana terhadap bukti untuk kematian dari sebarang sebab dan kesan tidak diingini yang serius; namun, keyakinan mereka terhadap bukti lain adalah terhad kerana kajian menggunakan kaedah yang berbeza untuk mengukur dan merekodkan keputusan mereka, dan penulis ulasan tidak menemui banyak kajian untuk beberapa hasil yang diminati. 

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah yang terkini hingga 16 April 2021.

Khamis, 5 Ogos, 2021

Diterjemah oleh Patricia Ponniah. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.