Saringan secara sederhana mengurangkan kematian kanser prostat

Ujian darah untuk mengesan potensi tanda-tanda kanser prostat yang mungkin mengurangkan risiko kematian akibat kanser prostat, menurut ulasan Cochrane yang dikemas kini. Ini merupakan perubahan daripada versi ulasan terdahulu, yang tidak menemui cukup bukti saringan dapat mengurangkan kematian kanser prostat.

Kanser prostat adalah salah satu kanser yang paling lazim dalam kalangan lelaki. Pengesanan awal melalui saringan telah lama dibahaskan, di mana pakar-pakar berbeza pendapat sama ada manfaatnya melebihi risiko diagnosis dan rawatan berlebihan. 

Manfaat yang sederhana tetapi bermakna

Pasukan ulasan menganalisis data daripada enam kajian yang melibatkan hampir 800,000 peserta di seluruh Eropah dan Amerika Utara. Mereka mendapati saringan dengan ujian darah PSA (antigen prostat spesifik) mengurangkan kematian kanser prostat kira-kira 2 bagi setiap 1,000 lelaki yang disaring. Dalam erti kata lain, 500 lelaki perlu dijemput ke pemeriksaan untuk mencegah satu kematian kanser prostat. Data mortaliti ini datang daripada kajian besar yang menyusul 162,241 lelaki selama 23 tahun.

"Dengan data baharu yang tersedia sekarang, kami kini boleh mengatakan dengan kepastian sederhana saringan PSA mengurangkan kematian kanser prostat dalam kalangan lelaki dengan jangka hayat yang mencukupi," kata Dr Philipp Dahm, penulis kanan dari Universiti Minnesota. “Ini menunjukkan bagi pesakit yang sesuai – seseorang yang mempunyai cukup maklumat, punyai jangka hayat yang baik, dan memahami sepenuhnya implikasi saringan – kini terdapat bukti yang munasabah untuk menyokong perbincangan mengenai saringan PSA. Ini mewakili perubahan penting dalam bukti untuk dipertimbangkan oleh pembangun garis panduan dan pembuat dasar pada masa hadapan.”

"Dengan data baharu yang tersedia sekarang, kami kini boleh mengatakan dengan kepastian sederhana saringan PSA mengurangkan kematian kanser prostat dalam kalangan lelaki dengan jangka hayat yang mencukupi," 

“Ini menunjukkan bagi pesakit yang sesuai – seseorang yang mempunyai cukup maklumat, punyai jangka hayat yang baik, dan memahami sepenuhnya implikasi saringan – kini terdapat bukti yang munasabah untuk menyokong perbincangan mengenai saringan PSA. Ini mewakili perubahan penting dalam bukti untuk dipertimbangkan oleh pembangun garis panduan dan pembuat dasar pada masa hadapan.”

Dr Philipp Dahm, Profesor Urologi, Universiti Minnesota, penulis kanan ulasan.

Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan tersebut tidak menilai secara sistematik impak terhadap kualiti hidup, seperti komplikasi biopsi, disfungsi seksual dan masalah uninari. Para penulis menekankan kajian lain di luar ulasan ini, seperti kajian ProtecT, menangani kemudaratan berkaitan rawatan dan harus diambil kira oleh pembuat keputusan.

Walau bagaimanapun, risiko diagnosis berlebihan masih menjadi isu utama. Saringan mengesan sebanyak 30% lebih banyak kanser prostat secara keseluruhan, kebanyakannya pada peringkat awal. Ulasan tersbut mendapati kira-kira 36 kanser tambahan telah didiagnosis bagi setiap seribu lelaki yang disaring, bagi setiap 1-2 kematian yang dicegah. Para penulis mengingatkan ujian ini dapat mengesan kanser gred rendah yang mungkin tidak pernah menyebabkan gejala atau bahaya sepanjang hayat seorang lelaki, yang bermaksud mengenal pasti mereka boleh menyebabkan kebimbangan dan rawatan agresif yang tidak perlu.

"Kami ingin menjelaskan ini bukanlah sokongan menyeluruh terhadap saringan universal. Keputusan harus sentiasa dibuat antara pesakit dan doktor mereka, dengan pemahaman penuh tentang potensi manfaat dan risiko sebenar diagnosis berlebihan dan rawatan yang tidak perlu."

Juan Franco, Ketua Unit Sintesis Bukti, Universiti Heinrich Heine Düsseldorf, dan pengarang pertama ulasan Cochrane

Data yang lebih baik, bukti yang lebih kukuh

Versi ulasan yang terdahulumendapati saringan kanser prostat tidak mengurangkan kematian kanser prostat dengan ketara, berdasarkan meta-analisis lima kajian rawak terkawal. Ketidakpastian itu menjadi faktor utama dalam keputusan untuk tidak memperkenalkan program saringan kebangsaan di beberapa negara.

Para penulis menyatakan manfaat sederhana yang diperhatikan dalam ulasan ini bukan disebabkan oleh perubahan dalam bukti asas tetapi kebanyakannya kerana kajian kini telah mengikuti peserta cukup lama untuk mengesan manfaat kematian yang sebelum ini terlalu awal untuk dilihat.

Dr Franco menekankan kemaskini ini mewakili gambaran keseluruhan yang lebih baik tentang bukti semasa:

"Landskap telah banyak berubah sejak ulasan kami pada tahun 2013. Bukan sahaja kami mempunyai bukti jangka panjang yang lebih kukuh tentang kematian, tetapi alat yang tersedia untuk mengurangkan mudarat saringan seperti MRI dan pengawasan aktif juga telah berkembang dengan ketara.”

Ulasan tersebut juga mengkaji pendekatan saringan generasi baharu yang direka bentuk untuk menjadi lebih tepat dan mengurangkan biopsi yang tidak perlu, yang menggabungkan ujian PSA dengan ujian darah panel kallikrein dan imbasan MRI. MRI dan pengawasan aktif merupakan pendekatan untuk mengesan kanser tidak agresif yang tidak memerlukan rawatan agresif, sekali gus mengurangkan mudarat akibat rawatan berlebihan. Data kajian awal menunjukkan kaedah ini mungkin mengesan lebih banyak kanser, tetapi masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada ia menyelamatkan lebih banyak nyawa atau menyebabkan lebih mudarat daripada ujian PSA sahaja. 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Baca versi Bahasa Inggeris di sini.