Seberapa berkesankah kuarantin sahaja berbanding gabungan langkah kesihatan awam yang lain untuk mengawal coronavirus (COVID-2019)?

Cochrane telah menerbitkan Ulasan Pantas baru yang menilai keberkesanan kuarantin semasa pandemik COVID-19.

Ulasan ini meringkaskan bukti sedia ada dari kajian-kajian pemodelan yang menunjukkan bagaimana kuarantin mempengaruhi penyebaran COVID-19. Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini secara konsisten menyimpulkan bahawa kuarantin boleh memainkan peranan dalam mengawal penyebaran koronavirus SARS-CoV-2. Pelaksanaan awal kuarantin dan penggabungannya dengan langkah-langkah kesihatan awam lain membantu memastikan keberkesanan, namun ketidakpastian utama bergantung bagaimana langkah-langkah ini dapat diterima pakai dan bila ia boleh dilonggarkan.

Pelaksanaan awal kuarantin dan penggabungannya dengan langkah-langkah kesihatan awam lain membantu memastikan keberkesanan, namun ketidakpastian utama bergantung bagaimana langkah-langkah ini dapat diterima pakai dan bila ia boleh dilonggarkan.

Buat masa ini, tiada ubat atau vaksin yang berkesan untuk merawat atau mencegah COVID-19. Atas sebab ini, langkah-langkah kesihatan awam yang ketat seperti pengasingan, penjarakan fizikal, dan kuarantin telah digunakan di sebilangan negara untuk mengurangkan penularan virus. Pengasingan merujuk kepada pemisahan orang dengan gejala dari orang lain, sedangkan kuarantin adalah pembatasan orang yang tiada gejala, tetapi ada kontak dengan orang yang sah atau disyaki dijangkiti.

Kuarantin dapat dilaksanakan secara sukarela atau dikuatkuasa secara legal oleh pihak berkuasa, dan dapat diaplikasi pada peringkat individu, kelompok, atau masyarakat. Ulasan Pantas ini dibuat dalam jangka waktu yang singkat sebagai sebahagian dari usaha organisasi Cochrane untuk memenuhi keperluan ringkasan bukti terkini untuk menyokong pembuatan keputusan dalam memerangi kesan COVID-19.

Para penyelidik Cochrane menggunakan kaedah ulasan sistematik yang disingkatkan untuk menangani soalan berikut secepat mungkin:

  • ·       Adakah kuarantin individu tanpa gejala yang ada kontak dengan kes COVID-19 yang sah atau disyaki berkesan untuk mengawal wabak COVID-19?
  • ·       Adakah terdapat perbezaan dalam keberkesanan kuarantin di pelbagai persekitaran?
  • ·       Berkesankah kuarantin bila digabung dengan intervensi lain, seperti pengasingan kes, penutupan sekolah, atau ubat antivirus, dalam mengurangkan tranmisi, insiden penyakit, dan kematian?
  • ·       Adakah kurantin individu dari negara yang diisytihar dengan wabak COVID-19 berkesan dalam mengawal wabak COVID-19?

Penulis mengenal pasti 29 kajian yang relevan. Daripada jumlah tersebut, 10 kajian memfokus kepada COVID-19, 15 memfokus  kepada bukti yang berkaitan dengan SARS (sindrom respiratori akut teruk), dua memfokus kepada SARS dan virus lain, dan dua lagi memfokus kepada MERS (sindrom respiratori Timur Tengah). 10 kajian yang menangani COVID-19 adalah semua kajian pemodelan yang mensimulasikan senario wabak di China, UK, dan Korea Selatan, dan di kapal pesiar.

Kajian pemodelan COVID-19 yang disertakan dalam ulasan secara konsisten melaporkan manfaat tindakan kuarantin dan menunjukkan penemuan serupa dari kajian-kajian tentang SARS dan MERS.


Lihat abstrak visual PDF

Para penulis Ulasan Cochrane ini menyimpulkan:

  • ·       Kuarantin orang yang terdedah kepada kes yang disahkan dapat mengelakkan kadar jangkitan dan kematian yang tinggi berbanding tiada langkah-langkah.
  • ·       Kesan kuarantin pelancong dari negara yang diisytiharkan wabak untuk mengelakkan transmisi dan kematian adalah kecil.
  • ·       Secara umum, kombinasi kuarantin dengan langkah-langkah pencegahan dan kawalan lain, seperti penutupan sekolah, larangan perjalanan, dan penjarakan fizikal, mempunyai pengaruh lebih besar terhadap pengurangan transmisi, kes-kes yang memerlukan katil penjagaan kritikal, dan kematian berbanding kuarantin saja.
  • ·       Pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan awal yang lebih komprehensif mungkin lebih berkesan untuk mengawal wabak COVID-19.

Para penyelidik menilai keyakinan mereka terhadap hasil-hasil adalah rendah atau sangat rendah kerana cara reka bentuk pemodelan yang diguna dalam kajian-kajian. Ia berdasarkan kepada andaian tentang prevalen sebenar jangkitan, yang dapat dikemaskini apabila mengetahui lebih tentang aspek pandemik COVID-19 ini.



Walau bagaimanapun, penulis juga menekankan pentingnya menggunakan maklumat mengenai konteks tempatan dalam memutuskan bagaimana langkah-langkah seperti kuarantin harus diguna pakai dan bila ia dapat ditamatkan. Penulis utama Barbara Nußbaumer-Streit mengatakan "Ulasan Cochrane ini menunjukkan walaupun kuarantin dapat membantu mengawal wabak COVID-19, para pembuat keputusan perlu terus memantau wabak tempatan untuk mengekalkan keseimbangan langkah terbaik sedia ada, dan terdapat tukar ganti yang boleh diterima antara manfaat dan bahaya."

Ketua Editor Cochrane, Karla Soares-Weiser, menambah, “Penularan koronavirus menjadi cabaran major bagi kerajaan-kerajaan di seluruh dunia. Cochrane bertanggungjawab untuk menyediakan bukti terbaik sedia untuk menyokong pembuatan dasar, mengimbangi ketegasan dengan kepantasan. Kami telah ‘fast-track’ ulasan ini kerana ia menjawab salah satu soalan paling utama yang dikenal pasti. Ulasan ini sangat membantu para pembuat keputusan yang mencari bukti untuk memaklumkan keputusan mereka tentang perlaksanaan langkah kuarantin."

Diterjemah oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).