Senaman membantu sakit artritis pinggul, tetapi mungkin kurang daripada yang kita fikirkan

Senaman memperbaik kesakitan dan fungsi mungkin kurang daripada apa yang pesakit perhatikan dalam kehidupan seharian, tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk membuat kesimpulan yang kukuh, menurut kajian Cochrane terbaharu. 

Osteoarthritis pinggul adalah keadaan yang mempengaruhi berjuta-juta orang di seluruh dunia dan merupakan penyebab utama kesakitan dan kecacatan kronik. Senaman disyorkan secara meluas sebagai rawatan pertama untuk menguruskan sakit artritis pinggul.

Diketuai oleh penyelidik dari Universiti Sydney dan Universiti Melbourne, penemuan menunjukkan senaman menghasilkan sedikit pembaikan dalam kesakitan dan fungsi fizikal bagi orang dengan osteoartritis pinggul, tetapi pembaikan tersebut mungkin tidak cukup besar untuk membuat perbezaan yang bermakna kepada pesakit.

Ulasan itu memasukkan 18 kajian klinikal melibatkan 1,368 orang. Peserta kebanyakannya wanita (63%) dan berumur antara 53 dan 74 tahun, bermakna dapatan mungkin tidak terpakai kepada golongan yang lebih muda. Program senaman dalam kajian yang disertakan sangat berbeza, berlangsung antara dua dan 52 minggu dan merangkumi pelbagai jenis termasuk pendekatan menguatkan, aerobik dan minda-badan.

Berbanding tanpa rawatan atau penjagaan biasa, senaman mungkin mengurangkan sakit sekitar 7 mata pada skala 100 mata. Walau bagaimanapun, pakar secara amnya menganggap pembaikan sekurang-kurangnya 12 mata diperlukan untuk pesakit melihat perbezaan yang bermakna dalam kehidupan seharian. Fungsi fizikal menunjukkan pola yang serupa. Walau bagaimanapun, penulis menyatakan ambang ini diterbitkan sebahagian besarnya daripada populasi lutut dan osteoartritis campuran, dan mungkin tidak mencerminkan pengalaman osteoartritis pinggul sepenuhnya.

Kualiti hidup, iaitu hasil paling utama bagi pesakit, menunjukkan sedikit atau tiada pembaikan dengan senaman tidak kira apapun perbandingan yang digunakan.

"Senaman disyorkan sebagai rawatan utama untuk osteoartritis pinggul, dan ulasan ini tidak menolaknya,Tetapi ia mencadangkan kita harus jujur ​​dengan pesakit bahawa purata manfaat mungkin sederhana, dan kita perlukan kajian dengan reka bentuk lebih baik untuk memahami siapa yang paling bermanfaat dan jenis senaman yang mana."

Michelle Hall, penulis utama bersama dari Universiti Syndey

Kemaskini ini menganalisis keputusan berbeza daripada versi terdahulu 2014, yang mengumpulkan semua data sedia ada dan menemui bukti berkualiti tinggi senaman mengurangkan sedikit kesakitan. Ulasan baharu ini mengasingkan kajian mengikut senaman yang dibandingkan.

Apabila senaman diuji terhadap plasebo atau rawatan palsu, bukti untuk melegakan kesakitan menjadi sangat lemah. Dan menambah senaman kepada rawatan lain juga tidak banyak memberi perbezaan. Walaupun tiada satu jenis senaman pun yang berjaya, penulis mengingatkan masih belum ada bukti untuk menjawab soalan itu dengan betul.

Bukan cadangan untuk menjauhi senaman

Ulasan itu tidak sekadar mengatakan senaman tidak berkesan atau harus ditinggalkan sebagai satu cadangan. Senaman membawa manfaat kesihatan yang luas melampaui artritis, berkos rendah, dan tidak mungkin menyebabkan mudarat. 

Kebanyakan kajian yang disertakan dalam ulasan ini adalah kecil dan tiada pembutaan, yang mungkin mempengaruhi hasil. Oleh kerana kesakitan dan fungsi sebahagian besarnya dilapor sendiri, dan peserta tahu sama ada mereka bersenam, senaman mungkin kelihatan lebih berkesan daripada yang sebenar.

Penulis menyeru kajian yang lebih besar dan direka bentuk dengan lebih baik untuk memberi gambaran lebih jelas kepada pesakit dan klinisian tentang senaman yang realistik untuk osteoartritis pinggul khususnya.

"Tiada banyak bukti di luar sana, bagi sesetengah orang yang bergelut dengan sakit pinggul, senaman sebenarnya boleh menjadi satu-satunya harapan mereka, tetapi saya juga tidak mahu memberi pesakit harapan palsu. Adalah penting untuk penyelidikan masa depan dibuat dengan kajian yang lebih besar dan berkualiti lebih baik, mengkaji jenis senaman yang berkesan khusus untuk pelbagai orang.” 

Belinda Lawford, penulis utama bersama dari Universiti Melbourne.

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Baca versi Bahasa Inggeris di sini.