Senaman untuk merawat kemurungan menghasilkan keputusan yang serupa dengan terapi

Senaman untuk merawat kemurungan menghasilkan keputusan yang serupa dengan terapi

Senaman boleh mengurangkan simptom kemurungan pada takat yang sama seperti terapi psikologi, menurut ulasan Cochrane yang dikemas kini. Apabila dibanding dengan ubat antidepresan, senaman juga menunjukkan kesan yang serupa, tetapi buktinya berkepastian rendah.  

Kemurungan merupakan punca utama kesihatan yang buruk dan kecacatan, yang mempengaruhi lebih 280 juta orang di seluruh dunia. Senaman adalah berkos rendah, tersedia secara meluas, dan dilengkapi dengan manfaat kesihatan tambahan, menjadikannya pilihan yang menarik untuk pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan. 

Ulasan yang dijalankan oleh para penyelidik dari Universiti Lancashire itu menilai 73 kajian rawak terkawal termasuk hampir 5,000 orang dewasa dengan kemurungan. Kajian-kajian tersebut membandingkan senaman tanpa rawatan atau intervensi kawalan, berserta terapi psikologi dan ubat-ubatan antidepresan. 

Keputusan menunjukkan bersenam boleh memberi manfaat sederhana dalam mengurangkan gejala kemurungan, berbanding tanpa rawatan atau intervensi kawalan. Apabila dibanding dengan terapi psikologi, senaman mempunyai kesan yang sama terhadap gejala kemurungan, berdasarkan bukti kepastian sederhana daripada sepuluh kajian. Perbandingan dengan ubat antidepresan juga mencadangkan kesan yang serupa, tetapi buktinya adalah terhad dan berkepastian rendah. Kesan jangka panjang tidak jelas kerana hanya terdapat beberapa kajian yang menyusul para peserta selepas rawatan.  

Kesan sampingan jarang berlaku, termasuk kecederaan muskuloskeletal sekali-sekala bagi mereka yang bersenam dan kesan biasa yang berkait dengan ubat bagi mereka yang mengambil antidepresan, seperti keletihan dan masalah gastrousus. 

"Penemuan kami menunjukkan senaman merupakan pilihan yang selamat dan mudah diakses untuk membantu mengurus simptom kemurungan," kata Profesor Andrew Clegg, penulis utama ulasan tersebut. "Ini menunjukkan senaman baik untuk sesetengah orang, tetapi bukan untuk semua orang, dan mencari pendekatan yang individu sanggup dan mampu lakukan adalah penting." 

Ulasan tersebut mendapati senaman intensiti ringan hingga sederhana mungkin lebih bermanfaat daripada senaman lasak, dan melengkapkan antara 13 dan 36 sesi senaman dikaitkan dengan penambahbaikan lebih besar dalam gejala kemurungan. 

Tiada satu jenis senaman pun yang jelas lebih baik, walaupun program senaman campuran dan latihan rintangan dilihat lebih berkesan daripada senaman aerobik sahaja. Sesetengah bentuk senaman, seperti yoga, qigong dan regangan tidak dimasukkan dalam analisis dan mewakili bidang untuk penyelidikan lanjutan. Kesan jangka panjang tidak jelas kerana hanya terdapat beberapa kajian yang menusul peserta selepas rawatan.  

Kemas kini ini menambah 35 kajian baharu kepada versi terdahulu yang diterbitkan pada 2008 dan 2013. Walaupun terdapat bukti tambahan, kesimpulan keseluruhan sebahagian besarnya tidak berubah. Ini kerana kebanyakan kajian adalah kecil, dengan kurang daripada 100 peserta, menjadikannya sukar untuk membuat kesimpulan yang kukuh.  

"Walaupun kami telah menambah lebih banyak kajian dalam kemas kini ini, penemuannya adalah serupa," kata Profesor Clegg. "Senaman boleh membantu orang dengan kemurungan, tetapi jika kami ingin mencari jenis senaman yang paling berkesan, untuk siapa dan sama ada manfaatnya berkekalan dari masa ke masa, kami masih perlukan kajian yang lebih besar dan berkualiti tinggi. Satu kajian besar yang dijalankan dengan baik adalah jauh lebih baik daripada banyak kajian kecil yang berkualiti rendah dengan bilangan peserta yang terhad dalam setiap kajian.” 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).