Terapi berasaskan muzik boleh memperbaik gejala kemurungan dalam kalangan orang dengan demensia

Cochrane Malaysia Workshop

Ulasan Cochrane yang baharu menemui bukti terapi berasaskan muzik boleh memberi manfaat kepada orang yang hidup dengan demensia, terutamanya dalam memperbaik gejala kemurungan. 

Demensia adalah istilah kolektif untuk sindrom otak degeneratif progresif yang mempengaruhi ingatan, pemikiran, tingkah laku dan emosi. Alzheimer's Disease International melaporkan terdapat 55 juta orang dengan demensia di seluruh dunia pada 2019, angka yang diramalkan akan meningkat kepada 139 juta menjelang 2050. Walaupun beberapa ubat-ubatan sudah sedia ada, penggunaan muzik terapeutik dianggap pendekatan yang agak mudah dan murah, yang kekal boleh diakses walaupun di peringkat akhir demensia. 

Pasukan penyelidik dari beberapa institusi di Belanda meneliti bukti 30 kajian-kajian melibatkan 1,720 orang. Kajian - kajian ini menyiasat kesan intervensi terapeutik berasaskan muzik terhadap kesejahteraan emosi termasuk kualiti hidup, gangguan emosi, masalah tingkah laku, tingkah laku sosial dan kognisi. Kebanyakan peserta berada di rumah jagaan, dengan intervensi disampaikan sama ada secara individu atau berkumpulan. 

Kajian-kajian ini dijalankan terutamanya di negara berpendapatan tinggi, termasuk Australia, Taiwan, Amerika Syarikat dan pelbagai negara Eropah.  Hampir semua terapi menyertakan unsur aktif (seperti bermain instrumen), sering digabung dengan unsur reseptif (seperti mendengar muzik secara langsung yang disediakan oleh ahli terapi).

"Ulasan ini meningkatkan pemahaman kami tentang kesan terapi muzik dan mengukuhkan kes untuk menggabung muzik dalam penjagaan demensia, terutamanya dalam persekitaran rumah jagaan," kata pengarang utama Jenny van der Steen dari Pusat Perubatan Universiti Leiden dan Pusat Radboudumc Alzheimer. 

“Terapi muzik menawarkan manfaat melebihi aktiviti-aktiviti kumpulan lain, membantu menyokong emosi dan tingkah laku dengan cara yang menarik dan boleh diakses, walaupun di peringkat demensia yang lebih lanjut. Pengurus rumah jagaan harus menimbang untuk mengintegrasi sesi muzik berstruktur sebagai sebahagian daripada pendekatan penjagaan berpusatkan individu untuk penjagaan dementia.”

Penemuan ini menunjukkan terapi berasaskan muzik mungkin memperbaik gejala kemurungan dan boleh memperbaik masalah tingkah laku keseluruhan menjelang berakhirnya rawatan. Terapi muzik tidak mungkin memberi impak signifikan terhadap keresahan, agresi , kesejahteraan emosi atau kognisi tetapi,berbanding intervensi lain, terdapat beberapa bukti ia mampu memperbaik tingkah laku sosial dan boleh mengurangkan kebimbangan. 

Kesan jangka panjang, melebihi empat minggu selepas rawatan mungkin lebih kecil tetapi kekal tidak pasti kerana bilangan kajian yang terhad kesan pemantauan selepas rawatan tamat.

Kajian itu juga menonjolkan semakin meluas pengiktirafan terhadap intervensi yang bukan berasaskan farmakologi dalam penjagaan demensia. 

"Terapi muzik ialah cara bebas tanpa dadah untuk membantu orang rasa kurang sedih dan kurang cemas," kata pengarang bersama Annemieke Vink dari ArtEZ University of the Arts yang berpengalaman langsung menyampaikan terapi muzik kepada orang dengan demensia. "Kami berharap kualiti kajian terkini yang lebih tinggi dan bukti asas yang lebih banyak akan memberi lebih perhatian kepada terapi muzik dan pendekatan bukan farmakologi lain.”

Beliau meneruskan, "Melihat kepada saiz kesan, terapi muzik adalah alternatif yang munasabah kepada pendekatan farmakologi dan lebih berpusatkan individu.”

Ulasan ini menggaris bawah keperluan penyelidikan lanjut menumpu kesan jangka panjang terapi berasaskan muzik terutamanya dalam persekitaran komuniti. Kebanyakan bukti sedia ada datang daripada rumah jagaan, oleh itu memperluas kajian kepada persekitaran berasaskan komuniti boleh memberi pandangan penting bagaimana terapi muzik boleh diintegrasi ke dalam kehidupan seharian untuk orang dengan demensia.

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).