Terseliuh, ketegangan, dan lebam adalah kecederaan lazim, dan orang dengan kecederaan ini sering memerlukan pereda sakit, diberi sebagai tablet atau kapsul yang ditelan (oral). Terdapat banyak jenis ubat penghilang sakit oral untuk merawat kecederaan tersebut. Para penulis ingin tahu sama ada terdapat perbezaan sakit, bengkak, fungsi, atau kesan sampingan yang tidak diingini ketika terseliuh, ketegangan, dan lebam dirawat dengan ubat anti-radang bukan steroid oral (NSAID, seperti ibuprofen) berbanding parasetamol, opioid (contohnya codeine), ubat komplimentari atau alternatif, atau kombinasi ubat-ubatan ini.
Apa yang dibuat oleh para penulis?
Mereka mencari pangkalan data perubatan sehingga Januari 2020 untuk kajian-kajian yang membandingkan NSAID dengan ubat penghilang sakit lain dalam kalangan orang yang terseliuh, ketegangan, dan lebam. Peserta kajian boleh sebarang usia. Mereka menilai kajian-kajian yang disertakan untuk menilai kebolehpercayaan (kepastian) bukti. Mereka mengkategorikan bukti sebagai kepastian tinggi, sederhana, rendah, atau sangat rendah. Kepastian tinggi bermakna mereka yakin dengan bukti tersebut, kepastian sederhana bermakna mereka agak yakin, kepastian rendah atau sangat rendah bermakna mereka tidak pasti atau sangat tidak pasti dengan kebolehpercayaan bukti.
Hasil carian dan penerangan kajian
Ulasan ini kini menyertakan 20 kajian dengan 3305 peserta. Tujuh kajian melibatkan orang dengan buku lali terseliuh sahaja. Tiga kajian melibatkan kanak-kanak sahaja. Sebahagian besar peserta kajian lain adalah orang dewasa muda, dan terdapat lebih lelaki berbanding wanita. Terdapat sebilangan peserta yang berumur lebih dari 65 tahun. Sebelas kajian membandingkan NSAID dengan parasetamol, enam kajian membandingkan NSAID dengan opioid, dan empat kajian membandingkan NSAID dengan parasetamol yang digabung dengan opioid. Kajian melaporkan hasilnya yang kadang-kadang berbeza dari satu jam setelah mengambil ubat, hingga 10 ke 14 hari.
Keputusan utama
Tiada perbezaan di antara NSAID dan parasetamol untuk kesakitan setelah satu hingga dua jam, atau setelah dua hingga tiga hari (bukti kepastian tinggi), dan mungkin tiada perbezaan setelah seminggu atau lebih (bukti kepastian rendah). Terdapat bukti kepastian rendah NSAID mungkin sedikit berbeza dalam kebengkakan selepas seminggu atau lebih. Para penulis tidak pasti sama ada NSAID membuat perbezaan untuk kembali berfungsi selepas seminggu atau lebih (bukti kepastian sangat rendah). Terdapat bukti kepastian rendah NSAID mungkin meningkatkan sedikit kesan sampingan yang tidak diingini yang berkaitan dengan usus.
Mungkin tiada perbezaan di antara NSAID dan opioid dalam kesakitan pada satu jam (bukti kepastian sederhana), dan mungkin tiada perbezaan empat atau tujuh hari selepas mengambil ubat (bukti kepastian rendah). Mereka tidak pasti sama ada NSAID membuat perbezaan untuk kebengkakan selepas 10 hari (bukti kepastian yang sangat rendah). Terdapat bukti kepastian rendah NSAID dapat mengembalikan fungsi dalam 7 hingga 10 hari. Terdapat bukti kepastian sederhana NSAID mungkin mengakibatkan lebih sedikit kesan sampingan yang tidak diingini, seperti mual dan pening, berbanding opioid.
Bukti menunjukkan terdapat sedikit atau tiada perbezaan di antara NSAID dan parasetamol yang digabungdengan opioid dalam kesakitan, kebengkakan, pengembalian fungsi, atau kesan sampingan yang tidak diingini. Walau bagaimanapun, kepastian bukti adalah sangat rendah, oleh itu para penulis tidak pasti tentang keputusan tersebut.
Tiada kajian yang melaporkan risiko kecederaan semula selepas rawatan. Para penulis tidak menemui kajian yang membandingkan NSAID dengan ubat komplementari atau alternatif.
Kesimpulan
Bukti setakat ini tidak menemui perbezaan di antara NSAID dan ubat penghilang sakit lain untuk meredakan kesakitan ketegangan, terseliuh, dan lebam dalam kalangan orang yang lebih muda. Walau bagaimanapun, para penulis memerlukan lebih banyak bukti, dan yang lebih baik tentang pengembalian fungsi dan kesan sampingan yang tidak diingini dalam semua kumpulan usia, terutama dalam kalangan orang tua.
Profesor Madya Peter Jones dari Perubatan Kecemasan di Universiti Auckland, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Pengarah Jabatan Penyelidikan Perubatan Kecemasan Dewasa, Hospital Auckland City meringkaskan:
“Terseliuh, ketegangan dan lebam adalah kecederaan lazim. Orang sering tidak pasti ubat mana yang harus diambil, ubat anti-radang, parasetamol atau opioid seperti codeine atau untuk rawatan terapi komplimentari atau ubat alternatif. Kami mendapati tiada perbezaan di antara ubat-ubat sakit lazim dalam amaun keredaan sakit yang dicapai. Walau bagaimanpun, kami memerlukan lebih banyak bukti yang lebih baik tentang kesan yang tidak diingini pada usus dalam kalangan semua kumpulan usia terutama orang tua."
Ini adalah kemas kini Ulasan Cochrane yang diterbitkan pada 2015.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my
Khamis, Ogos 13, 2020