Tiada bukti jelas ubat berasaskan kanabis melegakan sakit saraf kronik

cochrane malaysia

Tiada bukti jelas ubat-ubatan berasaskan kanabis memberi kelegaan untuk sakit neuropatik kronik, menurut ulasan Cochranen Cochrane yang dikemas kini.

Sakit neuropatik kronik adalah disebabkan oleh kerosakan saraf. Ubat-ubatan sedia ada hanya membantu sebilangan kecil pesakit, sekali gus mendorong minat terhadap alternatif, seperti ubat-ubatan berasaskan kanabis. Ini termasuk kanabis herba atau bahan-bahan yang diasingkan daripada tumbuhan kanabis seperti tetrahydrocannabinol (THC) melalui penyedutan, semburan mulut, tablet, krim dan tampalan yang diletak di kulit.

Para penyelidik mengulas 21 kajian klinikal melibatkan lebih 2,100 dewasa, membandingkan ubat-ubatan berasaskan kanabis dengan plasebo dalam tempoh dua hingga 26 minggu. 

Ubat-ubatan berasaskan kanabis dikumpulkan kepada tiga jenis: produk yang kebanyakannya mengandungi THC iaitu komponen psikoaktif kanabis; produk yang kebanyakannya mengandungi cannabidiol (CBD) iaitu sebatian tidak memabukkan; dan produk THC/CBD seimbang, yang mengandungi amaun sama kedua-dua bahan. 

Ulasan tersebut tidak menemui bukti berkualiti tinggi bahawa ubat-ubatan berasaskan kanabis mengurangkan sakit neuropatik lebih baik berbanding plasebo bagi ketiga-tiga jenis ubat. Walaupun terdapat beberapa pembaikan kecil yang dilapor oleh pesakit yang menggunakan produk dengan THC dan CBD, perubahan ini tidak cukup besar untuk dianggap bermakna secara klinikal. 

Pelaporan kesan buruk adalah tidak konsisten merentasi kajian-kajian yang disertakan, oleh itu kepastian tentang kesan sampingan adalah rendah hingga sangat rendah merentasi semua jenis ubat berasaskan kanabis. Produk yang mengandungi THC dikaitkan dengan peningkatan gejala seperti pening dan mengantuk, dengan potensi peningkatan bilangan orang yang menarik diri daripada kajian akibat kesan sampingan. 

"Kami perlukan kajian-kajian lebih besar dengan reka bentuk baik untuk tempoh rawatan sekurang-kurangnya 12 minggu dan menyertakan orang dengan komorbid fizikal dan keadaan kesihatan mental untuk memahami sepenuhnya manfaat dan mudarat ubat-ubatan berasaskan kanabis," kata Winfried Häuser, klinisian dan pengarang utama, dari Technische Universität München dan Pusat Perubatan Sakit dan Kesihatan Mental Saarbrücken. "Buat masa ini, kebanyakan kajian berkualiti terlalu rendah untuk membuat kesimpulan yang kukuh.”

Para pengarang menyimpulkan bahawa bukti masih lemah dan tidak pasti, menggarisbawah keperluan untuk penyelidikan berkualiti tinggi sebelum ubat berasaskan kanabis boleh disyorkan untuk sakit neuropatik kronik.

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini.
Diterjemah oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manaipal Malaysia).

Baca ulasan penuh disini