Ubat anti-amiloid Alzheimer menunjukkan tiada kesan klinikal yang bermakna

Para penyelidik mendapati kesan mutlak ubat anti-amiloid terhadap penurunan kognitif dan keterukan demensia tidak wujud atau remeh

Ubat-ubatan yang menyasarkan protein beta amiloid di otak mungkin tiada kesan positif klinikal yang bermakna di samping meningkatkan risiko perdarahan dan bengkak di otak, menurut ulasan Cochrane yang baharu.

Orang dengan penyakit Alzheimer mempunyai paras protein yang tinggi yang dikenali sebagai beta amiloid dalam otak mereka, yang dapat dikesan sebelum gejala bermula, tetapi peranannya dalam progresi penyakit adalah tidak pasti. Ubat-ubatan telah dibangunkan untuk membuang protein ini dari otak, di bawah teori ia akan mencegah atau memperlambat progresi penyakit.

Ulasan baharu itu mengkaji data 17 kajian klinikal dengan sejumlah 20,342 peserta, melihat impak ubat anti-amiloid terhadap orang dengan gangguan kognitif ringan atau demensia ringan akibat penyakit Alzheimer. Penyokong ubat-ubatan ini telah berteori ia akan lebih berkesan di peringkat awal sebelum penyakit terus progres.

Kesan mutlak "jauh di bawah ambang klinikal"

Penyelidikan itu mendapati kesan mutlak ubat anti-amiloid terhadap penurunan kognitif dan keterukan demensia tidak wujud atau remeh, jauh di bawah ambang yang ditetapkan untuk perbezaan klinikal penting yang minimum.

"Malangnya, bukti menunjukkan ubat-ubatan ini tidak memberi perbezaan yang bermakna kepada pesakit," kata penulis utama Francesco Nonino, pakar neurologi dan epidemiologi di Institut Sains Neurologi IRCCS Bologna, Itali. "Kini terdapat bukti meyakinkan yang menumpu kepada tiada kesan klinikal yang bermakna. Walaupun kajian awal menunjukkan keputusan yang signifikan secara statistik, adalah penting untuk membezakan antara hal ini dengan relevan klinikal. Adalah lazim bagi kajian-kajian untuk menemui keputusan yang signifikan secara statistik yang tidak diterjemah kepada perbezaan klinikal yang bermakna bagi pesakit.

Selain ketiadaan kesan klinikal yang bermakna, ulasan tersebut mendapati ubat anti-amiloid mungkin meningkatkan risiko bengkak dan perdarahan di otak. Ini dilihat dalam imbasan otak tanpa sebarang gejala jelas bagi kebanyakan pesakit, walaupun sebarang kesan jangka panjang masih tidak jelas kerana pelaporan gejala yang tidak konsisten merentasi kajian-kajian. 

Kajian masa hadapan harus memfokus kepada laluan-laluan lain

Berdasarkan bukti, para pengarang menyimpulkan kajian masa hadapan yang menyasarkan penyingkiran beta amiloid tidak mungkin memberikan manfaat yang jelas kepada pesakit. Mereka mendapati ubat-ubatan ini berjaya menyingkirkan protein amiloid dari otak, tetapi ini tidak diterjemah kepada manfaat klinikal yang bermakna. Mereka mengesyorkan agar penyelidikan masa depan mengenai rawatan Alzheimer harus memfokus kepada mekanisme lain, dengan banyak kajian-kajian yang sedang berlangsung dalam arah-arah lain.

“Saya bertemu pesakit Alzheimer di klinik saya setiap minggu dan berharap saya ada rawatan yang berkesan untuk ditawarkan kepada mereka,” kata penulis kanan Edo Richard, Profesor Neurologi di Pusat Perubatan Universiti Radboud. "Ubat-ubatan sedia ada yang diluluskan menawarkan beberapa manfaat untuk sesetengah pesakit, tetapi masih terdapat keperluan yang tinggi yang belum dipenuhi untuk rawatan yang lebih berkesan. Malangnya, ubat anti-amiloid tidak menawarkan ini dan membawa risiko tambahan. Memandangkan ketiadaan korelasi antara penyingkiran amiloid dan manfaat klinikal, kita perlu meneroka laluan lain untuk membantu menangani penyakit yang dahsyat ini.”

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulasan ini. Diterjemah oleh Cochrane Malaysia. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).

Baca versi Bahasa Inggeris di sini.