
Tiga ulasan Cochrane baharu menemui bukti bahawa ubat GLP-1 mengakibatkan penurunan berat badan yang bermakna secara klinikal, tetapi kajian yang dibiayai oleh industri menimbulkan persoalan. Ulasan itu telah ditugaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memaklumkan garis panduan akan datang mengenai penggunaan ubat-ubatan ini untuk merawat obesiti.
Ulasan, yang mengkaji kesan tiga ubat penurunan berat badan yang dikenali sebagai antagonis reseptor GLP-1, telah menemui ketiga-tiga ubat tersebut menghasilkan penurunan berat badan yang bermakna secara klinikal berbanding dengan plasebo. Walau bagaimanapun, bukti tentang hasil jangka panjang, kesan sampingan, dan potensi konflik kepentingan masih terhad atau tidak pasti.
Agonis reseptor peptida-1 seperti glukagon (GLP-1) pada asalnya dicipta untuk merawat penghidap diabetes jenis 2, memasuki penggunaan klinikal pada pertengahan 2000-an. Dalam pesakit-pesakit ini, terutamanya mereka dengan penyakit jantung atau buah pinggang, ubat-ubatan menambahbaik kawalan gula darah, mengurangkan risiko komplikasi jantung dan buah pinggang, menyokong penurunan berat badan, dan menurunkan risiko kematian awal.
Baru-baru ini, agonis reseptor GLP-1 telah diuji dalam kalangan orang dengan obesiti. Ubat-ubatan itu meniru aktiviti hormon semula jadi yang melambatkan penghadaman dan membantu orang berasa kenyang lebih lama. Ia kini dilesenkan di United Kingdom untuk pengurusan berat badan di samping diet rendah kalori dan senaman dalam kalangan orang dengan obesiti, atau orang yang berlebihan berat badan dengan masalah kesihatan yang berkaitan dengan berat badan.
Ubat GLP-1 menunjukkan potensi untuk pengurusan berat badan
Merentasi ulasan, tirzepatide, semaglutide, dan liraglutide masing-masing membawa kepada penurunan berat badan yang ketara berbanding plasebo selepas satu hingga dua tahun, dengan kesan ini berkemungkinan berterusan semasa rawatan diteruskan.
- Tirzepatide (diberikan sekali seminggu) mengakibatkan kira-kira 16% pengurangan berat selepas 12 hingga 18 bulan. Bukti daripada 8 kajian rawak terkawal (6 361 peserta) juga mencadangkan kesan ini boleh dikekalkan sehingga 3.5 tahun, walaupun data keselamatan jangka panjang adalah terhad.
- Semaglutide (juga disuntik setiap minggu) mengurangkan berat badan sekitar 11% selepas 24 hingga 68 minggu, dengan kesan yang mungkin berterusan sehingga dua tahun, kesimpulan dari 18 kajian rawak terkawal (27 949 peserta). Ubat ini meningkatkan kemungkinan untuk mencapai sekurang-kurangnya 5% penurunan berat badan tetapi dikaitkan dengan kadar yang lebih tinggi bagi kesan sampingan gastrousus ringan hingga sederhana.
- Liraglutide (suntikan harian) mengakibatkan pengurangan berat purata yang lebih sederhana sekitar 4-5%, berdasarkan 24 kajian (9 937 peserta), tetapi masih meningkatkan perkadaran orang yang mencapai penurunan berat badan yang bermakna berbanding dengan plasebo. Bukti untuk kesan jangka panjang melebihi dua tahun adalah lebih terhad.
Merentasi ulasan, terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara ubat ini dan plasebo untuk kejadian kardiovaskular utama, kualiti hidup, atau kematian. Walau bagaimanapun, kejadian buruk, terutamanya loya dan gejala penghadaman, adalah lebih lazim dalam kalangan peserta yang mengambil ubat GLP-1, dan sesetengahnya menghentikan rawatan kerana kesan sampingan.
Ubat-ubatan ini berpotensi untuk membawa penurunan berat badan yang ketara, terutamanya pada tahun pertama. Ia adalah detik yang menggembirakan selepas beberapa dekad percubaan yang tidak berjaya untuk mencari rawatan yang berkesan untuk mereka yang hidup dengan obesiti.
- Juan Franco, penyelidik utama bersama dari Universiti Heinrich Heine Düsseldorf, Jerman.
Penyelidikan bebas dan akses saksama adalah kunci
Kebanyakan kajian yang disertakan dibiayai oleh pengeluar ubat, yang banyak terlibat dalam perancangan, tindakan, analisis, dan pelaporan keputusan. Ini menimbulkan kebimbangan tentang potensi konflik kepentingan dan keperluan untuk penyelidikan bebas.
Para pengarang juga menekankan bahawa penggunaan ubat-ubatan ini yang lebih meluas harus mempertimbangkan penentu kesihatan sosial dan komersial, termasuk akses, kemampuan dan perlindungan insurans, untuk mengelakkan ketidaksamaan kesihatan yang wujud dalam kalangan orang yang hidup dengan obesiti. Harga tinggi semaglutide dan tirzepatide kini mengehadkan akses, manakala paten liraglutide yang telah tamat tempoh telah membolehkan versi generik yang lebih berpatutan tersedia. Paten Semaglutide juga akan tamat tempoh pada 2026.
Kajian yang disertakan dalam ketiga-tiga ulasan dijalankan terutamanya di negara berpendapatan sederhana dan tinggi, dengan perwakilan terhad atau tiada daripada wilayah seperti Afrika, Amerika Tengah dan Asia Tenggara. Memandangkan kepelbagaian dalam komposisi badan, diet, dan tingkah laku kesihatan merentas populasi, para pengarang mengambil perhatian pentingnya menilai cara ubat-ubatan ini berfungsi dalam konteks global yang berbeza.
Kami memerlukan lebih banyak data tentang kesan jangka panjang dan hasil lain yang berkaitan dengan kesihatan kardiovaskular, terutamanya dalam individu berisiko rendah. Berat badan bertambah semula selepas menghentikan rawatan mungkin mempengaruhi kemampanan jangka panjang faedah yang diperhatikan. Lebih banyak kajian bebas dari perspektif kesihatan awam diperlukan.
- Eva Madrid, penyelidik utama bersama dari Universidad de Valparaíso, Chile.
Ulasan-ulasan tersebut menekankan bahawa penyiasatan bebas dan jangka panjang adalah penting untuk memaklumkan keputusan dasar klinikal dan awam dan untuk mewujudkan lebih baik peranan agonis reseptor GLP-1 dalam pengurusan berat badan jangka panjang.
Ditugaskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, ulasan ini akan memaklumkan garis panduan WHO yang akan datang tentang penggunaan agonis reseptor GLP-1 untuk merawat obesiti. Garis panduan dijangka dilancarkan tidak lama lagi, berikutan perundingan awam yang diadakan pada bulan September.
Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini.