
Ubat gout yang diguna secara meluas dan murah boleh mengurangkan serangan jantung dan strok dalam kalangan orang dengan penyakit kardiovaskular, menurut ulasan Cochrane baru.
Ulasan tersebut mengkaji kesan dos rendah colchicine, ubat yang diguna untuk merawat gout, dan mendapati tiada peningkatan dalam kesan sampingan yang serius.
Penyakit kardiovaskular sering didorong oleh keradangan kronik gred rendah, yang menyumbang kepada kejadian kardiovaskular berulang seperti serangan jantung dan strok. Colchicine mempunyai ciri anti-radang yang menjadikannya pilihan yang menjanjikan untuk orang dengan penyakit jantung.
Kesan yang menjanjikan terhadap risiko kardiovaskular
Ulasan memasukkan 12 kajian rawak terkawal melibatkan hampir 23,000 orang dengan sejarah penyakit jantung, serangan jantung atau strok. Kajian-kajian melihat pesakit-pesakit yang mengambil colchicine selama sekurang-kurangnya enam bulan, dengan dos 0.5 mg sekali atau dua kali sehari. Kebanyakan peserta adalah lelaki (~80%) dan purata umur adalah 57 hingga 74 tahun. Separuh menerima colchicine, manakala separuh lagi menerima sama ada plasebo atau tiada rawatan tambahan di samping penjagaan biasa mereka.
Secara keseluruhan, mereka yang mengambil colchicine dos rendah kurang cenderung mengalami serangan jantung atau strok. Bagi setiap 1,000 orang yang dirawat, terdapat 9 kurang serangan jantung dan 8 kurang strok berbanding mereka yang tidak mengambil ubat. Walaupun tiada kesan buruk serius yang dikenalpasti, pesakit yang mengambil colchicine lebih cenderung mendapat kesan sampingan perut atau penghadaman, tetapi ini biasanya ringan dan tidak bertahan lama.
"Antara 200 orang dengan penyakit kardiovaskular - di mana kami biasanya menjangkakan sekitar tujuh serangan jantung dan empat strok - menggunakan colchicine dos rendah boleh menghalang kira-kira dua daripada setiap satu," kata Dr Ramin Ebrahimi, pengarang utama bersama dari Universiti Perubatan Greifswald, Jerman. "Pengurangan seperti ini boleh membuat perbezaan nyata bagi pesakit yang hidup dengan risiko kardiovaskular berterusan sepanjang hayat.”
Penggunaan baru untuk ubat yang telah lama wujud
Memandangkan penyakit kardiovaskular adalah penyebab utama kematian di seluruh dunia, colchicine menawarkan pilihan murah dan boleh diakses yang menjanjikan pencegahan sekunder dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.
"Keputusan ini timbul daripada kajian yang dibiaya awam yang mengguna semula ubat yang sangat lama dan rendah kos untuk kegunaan yang sama sekali baru," kata Lars Hemkens, pengarang kanan dari Universiti Bern, Switzerland. "Ia menunjukkan kuasa penyelidikan akademik untuk mendedahkan peluang rawatan yang sering terabai oleh pembangunan ubat tradisional.”
Bukti agak kurang jelas sama ada colchicine mempengaruhi kadar kematian keseluruhan atau keperluan untuk prosedur seperti revaskularisasi koronari. Kajian-kajian tersebut tidak memberi sebarang maklumat untuk menyatakan sama ada ubat itu memperbaik kualiti hidup atau mengurangkan penginapan di hospital. Penulis menekankan penyelidikan lanjut diperlukan dalam bidang ini.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).