Bukti baru yang diterbitkan di Perpustakaan Cochrane hari ini mendapati vaksin MMR, MMRV dan MMR+V berkesan dan tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko autisme.
Campak, beguk, rubela dan varicella (juga dikenali sebagai cacar air) adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus. Ia paling lazim dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa muda, dan berpotensi menyebabkan penyakit fatal, kecacatan dan kematian. Campak adalah salah satu punca utama kematian kanak-kanak di seluruh dunia. Rubella juga berbahaya bagi wanita hamil, kerana boleh menyebabkan keguguran atau membahayakan bayi yang belum lahir.
Vaksin MMR (campak, beguk, rubela) adalah vaksin gabungan yang melindungi etiga-tiga jangkitan. Klinisian boleh memberi vaksin untuk varicella (cacar air) dengan gabungan vaksin MMR dan varicella (MMRV) atau memberinya secara berasingan pada masa yang sama (MMR+V).
‘Kami ingin menilai keberkesanan, keselamatan, dan bahaya jangka panjang dan pendek vaksin MMR dalam ulasan terbaru ini yang dikemas kini pada tahun 2012,’ jelas penulis utama, Dr Carlo Di Pietrantonj dari Unit Epidemiologi Serantau Itali SeREMI. ‘Dari 138 kajian rawak dan bukan rawak yang dimasukan dalam ulasan, 51 kajian (10 juta kanak-kanak) menilai sejauh mana keberkesanan vaksin dalam mencegah penyakit, dan 87 kajian (13 juta kanak-kanak) menilai bahayanny’
Dari segi keberkesanan ulasan ini mendapati:
· Campak: satu dos vaksin berkesan 95% untuk mencegah campak. Berdasarkan data yang dianalisis dalam ulasan, bilangan kes akan menurun dari 7% dalam kalangan kanak-kanak yang tidak divaksinasi hingga kurang dari 0,5% dalam kalangan kanak-kanak yang menerima satu dos vaksin. Selepas dua dos, keberkesanannya adalah sama sekitar 96%.
· Beguk: satu dos vaksin berkesan 72% untuk mencegah beguk. Ia meningkat kepada 86% selepas dua dos. Dari data yang dianalisis dalam ulasan, bilangan kes akan menurun dari 7.4% dalam kalangan kanak-kanak yang tidak divaksinasi hingga 1% dalam kalangan kanak-kanak dengan dua dos vaksin.
Keputusan untuk rubela dan cacar air juga menunjukkan vaksin adalah berkesan. Selepas satu dos, vaksin berkesan 89% untuk mencegah rubela, dan satu kajian mendapati setelah 10 tahun vaksin MMRV berkesan 95% untuk mencegah jangkitan cacar air. JIka terdedah kepada cacar air, 5 dari 100 kanak-kanak yang diberi vaksin akan mendapatnya.
‘Dari segi keselamatan, dari kajian terdahulu di seluruh dunia risiko penyakit-penyakit tersebut adalah jauh lebih besar daripada vaksin yang diberi untuk mencegahnya," kata Dr Di Pietrantonj. ‘Dalam ulasan ini, kami ingin melihat bukti keburukkan bahaya spesifik yang dikaitkan dengan vaksin ini dalam perbahasan awam - sering tanpa bukti saintifik yang rapi sebagai asas.’
Berkaitan dengan kontroversi yang timbul dari tuntutan palsu yang mengaitkan vaksinasi dan autisme, ulasan ini meringkaskan bukti dari dua kajian dengan 1,194,764 kanak-kanak. Kes autisme yang didiagnos serupa dalam kalangan kanak-kanak yang divaksinasi dan tidak divaksinasi.
Dua kajian lanjutan dengan 1,071,088 kanak-kanak tidak menemukan bukti adanya hubungan antara vaksin MMR dan ensefalitis, penyakit radang usus, penyakit Crohn, kelewatan kognitif, diabetes jenis 1, asma, dermatitis/eksim, demam jerami, leukemia, sklerosis multipel, gangguan gaya jalan dan jangkitan bakteria atau virus.
Kami menilai kepastian bukti keberkesanan vaksin MMR adalah sederhana. Walaupun kajian yang memyediakan data ini tidak dirawak, kesannya sangat besar. Kepastian bukti vaksin varicella, berdasarkan RCT, dinilai tinggi.' kata Di Pietrantonj.
"Secara keseluruhan kami berpendapat bukti sedia ada tentang keselamatan dan keberkesanan vaksin MMR/MMRV/MMR+V menyokong penggunaannya untuk pengimunan massa. Kempen yang bertujuan untuk pembasmian global harus menilai keadaan epidemiologi dan sosioekonomi negara-negara serta kapasiti untuk mencapai liputan vaksinasi yang tinggi. Lebih banyak bukti diperlukan untuk menilai sama ada kesan perlindungan MMR/MMRV dapat dikurangkan sejak imunisasi.'
Diterjemahkan oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Pusat Perubatan Melaka-Manipal)