Ulasan, kerjasama pakar bebas antarabangsa [1], juga mendapati terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara bilangan orang yang mengalami kesan sampingan yang serius selepas vaksinasi berbanding mereka yang tidak divaksinasi.
Para penyelidik, diketuai oleh Isabelle Boutron, Profesor Epidemiologi di Universit é Paris Cité dan Pengarah Cochrane France, menganalisis data yang diterbitkan daripada 41 kajian rawak terkawal bagi 12 vaksin COVID-19 yang berbeza, melibatkan 433,838 orang di pelbagai negara di seluruh dunia. Mereka menilai kepastian bukti dan risiko berat sebelah dalam kajian yang berbeza.
Kajian-kajian membandingkan vaksin COVID-19 dengan plasebo, tiada vaksin, atau satu sama lain, dan diterbitkan sebelum 5 November 2021 [2]. Kebanyakan kajian tidak lebih daripada dua bulan.
Ulasan mendapati bahawa vaksin berikut mengurangkan atau mungkin mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 berbanding plasebo: Pfizer/BioNTech, Moderna, CureVac COVID-19, Oxford-AstraZeneca, Janssen, Sputnik V (Gam-COVID-Vac), Sinopharm (WIBP CorV dan BBIBP-CorV), Bharat (Covaxin), Novavax dan Soberana 2 (Finlay-FR-2). Perkara berikut mengurangkan atau mungkin mengurangkan risiko penyakit teruk atau kritikal: Pfizer/BioNTech, Moderna, Janssen, Sputnik V, Bharat dan Novavax. Di samping itu, vaksin Janssen dan Soberana 2 mungkin mengurangkan risiko kematian daripada sebarang sebab. Terdapat sangat sedikit kematian yang direkodkan dalam semua kajian dan oleh itu bukti tentang kematian untuk vaksin lain adalah tidak pasti.
Bagi kebanyakan vaksin yang disiasat, lebih ramai orang yang telah diberi vaksin melaporkan kesan sampingan setempat atau sementara berbanding mereka yang tidak mendapatkan rawatan atau plasebo. Ini termasuklah keletihan, sakit kepala, sakit otot, menggigil, demam dan loya. Berkenaan dengan kesan sampingan yang jarang berlaku yang dikaitkan dengan beberapa vaksin seperti trombosis, pasukan mendapati bahawa pelaporan kejadian ini adalah tidak konsisten, dan bilangan kejadian yang dilaporkan dalam kajian adalah sangat rendah.
Memandangkan bukti keberkesanan vaksin ini, para penyelidik mempersoalkan sama ada kajian plasebo terkawal selanjutnya adalah beretika. Mereka mencadangkan agar penyelidikan selanjutnya membandingkan vaksin baru dengan vaksin yang sedang digunakan.
Ulasan semasa menganalisis data yang tersedia sehingga November 2021. Sejak itu, analisis telah dikemas kini dan akan terus disediakan secara terbuka setiap dua minggu oleh Inisiatif COVID-NMA, yang menyediakan pemetaan langsung bagi kajian-kajian COVID-19. Ulasan sistematik berterusan daripada kajian klinikal adalah tersedia untuk penyelidik dan penggubal dasar di platform COVID-NMA. Ini membolehkan pasukan menyediakan bukti terkini yang menjadi asas kepada penyelidikan dan keputusan selanjutnya tentang pencegahan dan rawatan untuk COVID-19.
Prof. Boutron berkata: “Bukti mengenai vaksin COVID-19 sentiasa berubah dan dikemas kini. Segala-galanya bergerak begitu pantas sehingga pada masa ulasan Cochrane seterusnya diterbitkan, atau kertas kerja lain diterbitkan, data itu mungkin sudah lapuk. Terdapat lebih daripada 600 kajian rawak vaksin yang didaftarkan pada masa ini, dan kira-kira 200 daripadanya sedang merekrut. COVID-NMA ialah satu-satunya inisiatif yang terus memantau perkembangan bukti daripada kajian dan menyediakan platform untuk penyelidik menjalankan analisis mereka sendiri melalui alat metaCOVID di laman web.
“Penyelidik, pakar klinikal dan penggubal dasar perlu mengambil keputusan yang sangat pantas tentang perkara yang perlu dilakukan untuk mencegah dan merawat COVID-19. Saya berharap inisiatif ini akan membantu mereka mendapat akses kepada bukti yang paling mutakhir yang menjadi asas kepada keputusan mereka.”
Petikan penuh: Graña C, Ghosn L, Evrenoglou T, Jarde A, Minozzi S, Bergman H, Buckley BS, Probyn K, Villanueva G, Henschke N, Bonnet H, Assi R, Menon S, Marti M, Devane D, Mallon P, Lelievre JD , Askie LM, Kredo T, Ferrand G, Davidson M, Riveros C, Tovey D, Meerpohl JJ, Grasselli G, Rada G, Hróbjartsson A, Ravaud P, Chaimani A, Boutron I. Keberkesanan dan keselamatan vaksin COVID-19. Pangkalan Data Cochrane Ulasan Sistematik TBD, Isu TBD. Art. No.: CD015477. DOI: 10.1002/14651858.CD015477.
Tentang Cochrane
Cochrane adalah rangkaian global yang bebas melibatkan penyelidik, profesional, pesakit, penjaga dan orang yang berminat dengan kesihatan. Cochrane menghasilkan ulasan yang mengkaji semua bukti terbaik yang ada yang dihasilkan melalui penyelidikan dan memudahkan makluman keputusan tentang kesihatan. Ini dipanggil ulasan sistematik. Cochrane adalah sebuah organisasi bukan berdasarkan keuntungan yang melibatkan usaha sama dari lebih 130 negara bagi menghasilkan maklumat kesihatan yang dipercayai, boleh diakses, bebas daripada penajaan komersial dan konflik kepentingan yang lain. Kerja kami diiktiraf sebagai mewakili piawaian unggul antarabangsa untuk kualiti yang tinggi dan maklumat yang dipercayai.
Jika anda seorang wartawan atau ahli akhbar dan mahu menerima berita sebelum penerbitan dalam talian atau ingin mengatur temu bual dengan penulis, sila hubungi pejabat akhbar Cochrane: pressoffice@cochrane.org
Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).