Cochrane telah menerbitkan kemaskini Ulasan Pantas yang menilai keberkesanan kuarantin semasa pandemik COVID-19
Ulasan kemaskini meringkaskan bukti sedia ada dari kajian-kajian yang menunjukkan bagaimana kuarantin mempengaruhi penyebaran COVID-19. Kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini secara konsisten menyimpulkan kuarantin boleh memainkan peranan dalam mengawal penyebaran koronavirus SARS-CoV-2. Pelaksanaan awal kuarantin dan kombinasinya dengan langkah-langkah kesihatan awam lain membantu memastikan keberkesanan, namun ketidakpastian utama bergantung bagaimana langkah-langkah ini dapat diterima pakai dan bila ia boleh dilonggarkan.
Buat masa ini, tiada ubat atau vaksin yang berkesan untuk merawat atau mencegah COVID-19. Oleh itu, langkah-langkah kesihatan awam yang ketat seperti pengasingan, penjarakan fizikal, dan kuarantin telah diguna di sebilangan negara untuk mengurangkan transmisi virus. Pengasingan merujuk kepada pemisahan orang yang bergejala dari orang lain, sedangkan kuarantin adalah pembatasan orang yang tiada gejala, tetapi ada kontak dengan orang yang sah atau disyaki dijangkiti. Kuarantin dapat dilaksanakan secara sukarela atau dikuatkuasa secara legal oleh pihak berkuasa, dan dapat diaplikasi pada peringkat individu, kelompok, atau masyarakat.
Ulasan Pantas kemaskini ini dibuat dalam jangka waktu yang singkat sebagai sebahagian dari usaha organisasi Cochrane untuk memenuhi keperluan ringkasan bukti terkini untuk menyokong pembuatan keputusan dalam memerangi kesan dan impak COVID-19.
Para penyelidik Cochrane menggunakan kaedah ulasan sistematik yang disingkatkan untuk menangani soalan berikut secepat mungkin:
· Adakah kuarantin individu asimptomatik yang ada kontak dengan kes COVID-19 yang sah atau disyaki berkesan untuk mengawal wabak COVID-19?
· Adakah perbezaan dalam keberkesanan kuarantin di pelbagai persekitaran?
· Berkesankah kuarantin bila digabung dengan intervensi lain, seperti pengasingan kes, penutupan sekolah, atau ubat antiviral, dalam mengurangkan tranmisi, insiden penyakit, dan kematian?
· Adakah kurantin individu dari negara yang diisytihar dengan wabak COVID-19 berkesan dalam mengawal wabak COVID-19?
Penulis mengenal pasti 51 kajian yang relevan - lebih 22 kajian dalam versi pertama. Tiga puluh dua kajian tertumpu kepada COVID-19, 14 kepada SARS, tiga kepada SARS ditambah dengan virus lain, dan dua lagi kepada MERS. Kebanyakan kajian menggabungkan data sedia ada dari pelbagai sumber dan andaian untuk mencipta satu simulasi (kajian pemodelan) untuk meramal bagaimana peristiwa boleh berlaku dari masa ke masa, bagi orang dalam situasi yang berlainan.
Pengarang Ulasan Cochrane ini menyimpulkan mereka tidak pasti tentang bukti yang ditemui kerana beberapa sebab. Kajian pemerhatian terhadap COVID-19 tidak memasukkan kumpulan perbandingan tanpa kuarantin. Kajian-kajian COVID-19 berasaskan model mereka dengan data yang terhad dan andaian yang berbeza tentang virus tersebut (iaitu berapa cepat penyakit ini akan tersebar). Kajian-kajian lain menyiasat SARS dan MERS oleh itu ia hanya memberi bukti tidak langsung.
Walaupun bukti terhad, semua kajian mendapati kuarantin adalah langkah penting dalam mengurangkan bilangan orang yang dijangkiti dan bilangan kematian. Keputusan-keputusan kajian mencadangkan kuarantin adalah paling berkesan, dan kosnya rendah, apabila dimulakan lebih awal. Menggabungkan kuarantin dengan langkah pencegahan dan kawalan lain mempunyai kesan yang lebih besar daripada kuarantin sahaja.
Penulis utama Barbara Nussbaumer-Streit (Danube University Krems, Austria) menyatakan: "Kami menerbitkan versi pertama ulasan ini pada April 2020. Sejak itu 22 kajian tambahan tentang kuarantin untuk COVID-19 telah wujud. Walaupun bilangan kajian telah ketara meningkat dalam jangka waktu yang singkat, asas bukti masih terhad kerana kebanyakan kajian COVID-19 adalah kajian pemodelan matematik yang membuat andaian yang berbeza tentang parameter model penting. Bukti menunjukkan pelaksanaan kuarantin sejak awal wabak dan menggabungkan kuarantin dengan langkah-langkah kesihatan awam lain seperti penjarakan fizikal, dapat membantu melambatkan penyebaran COVID-19. Namun, adalah sukar untuk menentukan kombinasi langkah yang terbaik untuk mengurangkan bilangan kes dan kematian."
Isnin, 14 September 2020
Diterjemah oleh Nila Pillai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).