Ulasan Rencana: Adakah intervensi psikologi dan sosial mencegah gangguan kesihatan mental di negara-negara berpendapatan rendah‐dan sederhana‐yang dipengaruhi krisis kemanusiaan?

Ulasan Cochrane: Intervensi psikologi dan sosial untuk mencegah gangguan mental dalam kalangan orang yang tinggal di negara-negara berpendapatan rendahdan sederhanayang dipengaruhi krisis kemanusiaan.

Gangguan kesihatan mental adalah antara penyumbang utama kepada kehilangan upaya seumur hidup. Strategi pencegahan menawarkan kemungkinan baharu untuk mengurangkan beban penyakit, memandangkan banyak faktor risiko untuk keadaan kesihatan mental mempunyai sumber sosial dan/atau persekitaran, seperti keganasan berasaskan jantina, kemiskinan, pengangguran, keterpinggiran sosial, dan kurang pendidikan. Ini benar terutama bagi orang yang tinggal di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana yang dipengaruhi oleh konflik bersenjata dan malapetaka sosial yang tercetus oleh peristiwa-peristiwa yang tidak baik.

Kebanyakan akibat krisis kemanusiaan terhadap kesihatan mental adalah dari reaksi stres akut transien, ke manifestasi distres subambang kronik, hinggalah kepada gangguan mental sepenuhnya. Intervensi yang memfokus kepada pencegahan gangguan kesihatan mental biasanya mensasarkan faktor penyebab boleh ubah yang menyumbang kepada perkembangan simptom psikologi. Khususnya, intervensi pencegahan ‘psikososial’ bertujuan mengurangkan faktor risiko untuk perkembangan gangguan mental atau membina ketahanan dan meningkatkan harapan dan keselamatan untuk melindungi daripada perkembangan simptom psikologi

Dalam ulasan ini para penyelidik rangkaian Kesihatan Mental Global Cochrane (CGMH), bertanya sama ada intervensi psikososial berkesan mencegah timbulnya gangguan mental dalam kalangan orang yang tinggal di LMIC yang terjejas oleh krisis kemanusiaan. Untuk disertakan dalam ulasan, peserta tidak perlu didiagnos dengan gangguan kesihatan mental di permulaan kajian.

Adakah cukup bukti untuk membuat kesimpulan tentang perkara ini?

Ulasan ini menyertakan hanya tujuh kajian, dan tiada kajian yang mengukur hasil utama, seperti tanggapan penulis kajian dalam protokol ulasan: perubahan insiden gangguan dari garis dasar hingga titik akhir kajian. Sebaliknya, kajian-kajian tersebut mengukur simptom kemurungan, kegelisahan dan gangguan stres pasca-trauma dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, dan simptom kegelisahan dan kemurungan dalam kalangan dewasa, pada awal kajian, akhir intervensi, selepas empat minggu dan sehingga empat bulan kemudian.

Intervensi psikososial didapati tidak lebih berkesan daripada pembanding “senarai menunggu” dalam jangka pendek dan jangka sederhana. Walau bagaimanapun, keputusan-keputusan ini tidak tepat kerana kekurangan data, oleh itu ada kemungkinan peranan kebetulan mempengaruhi keputusan. Selanjutnya, populasi kajian adalah heterogen, kerana semua kecuali dua kajian yang disertakan dijalankan di negara yang berlainan dan peserta yang didaftarkan terdedah kepada sumber distres yang berbeza. Gambaran bukti yang lebih menyeluruh akan digariskan oleh kajian pada masa depan. Para penulis menyenaraikan cadangan untuk penyelidik yang dapat membantu dalam mereka bentuk dan menjalankan kajian-kajjian masa depan.

Halatuju masa depan untuk Kumpulan Keadaan Mental Lazim Cochrane

Adalah penting kita dalami lebih lanjut tentang “mengapa”, “bagaimana”, dan “untuk siapa” intervensi pencegahan psikososial berfungsi, bagi populasi dewasa dan remaja. Gangguan Mental Lazim Cochrane komited untuk mengutamakan isu kesihatan mental global, dan bekerja dengan aktif ke arah ini. Ulasan lanjutan masih berlangsung, menilai bukti mengenai intervensi psikososial untuk mempromosi keadaan kesihatan mental seperti kemurungan, PTSD atau kegelisahan, di persekitaran sama yang dipertimbangkan untuk ulasan ini. Projek ini dilaksanakan di CGMH, berpusat di Verona - Itali, dengan kerjasama Bukti Praktis dan Organisasi Penjagaan Cochrane.

5/10/2020 

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).