Mengapakah soalan ini penting?
Kebanyakan prosedur penjagaan gigi membentuk titisan kecil cecair yang terapung di udara, yang disebut aerosol. Contohnya, untuk membuang lapisan bakteria (plak) pada gigi, doktor gigi menggunakan mesin penskaleran (skaler). Skaler bergetar dengan kelajuan tinggi dan menggunakan aliran air untuk membersihkan plak. Ini menghasilkan aerosol yang terdiri dari udara, air, dan air liur pesakit, yang mungkin juga mengandungi‐ mikroorganisma seperti bakteria, kulat dan virus.
Aerosol yang mengandungi bakteria, kulat atau virus boleh menyebarkan penyakit berjangkit. Mengehadkan penghasilan aerosol dapat membantu mencegah transmisi penyakit dalam persekitaran pergigian.
Pelbagai pendekatan boleh diguna untuk mengurangkan penghasilan aerosol yang berpotensi menjangkit semasa prosedur pergigian. Ini termasuk:
· cara-cara dekontaminasi mulut sebelum aerosol terhasil, misalnya dengan mengguna ubat kumur anti-mikrobial;
· cara untuk mencegah aerosol keluar dari mulut (misalnya, meletakkan kepingan getah - yang dikenali sebagai 'empangan' - di sekitar gigi yang dirawat, untuk mengasingkan zon rawatan dari air liur; atau menggunakan tiub‐sedutan dikenali sebagai ejektor air liur);
· pengudaraan setempat menggunakan alat penyedut (dikenali sebagai-alat evakuasi isipadu tinggi) yang mengeluarkan isipadu besar udara dan aerosol dari zon rawatan;
· ventilasi am, untuk mengurangkan konsentrasi aerosol di udara, misalnya dengan membuka tingkap;
· dekontaminasi aerosol bawaan udara, misalnya menggunakan sinar ultraviolet untuk mensterilkan udara.
Ia boleh digunakan sendirian, atau dalam kombinasi.
Pengarang ulasan ini menganalisis bukti dari kajian penyelidikan untuk mengetahui sama ada intervensi yang bertujuan mengurangkan penghasilan aerosol semasa prosedur pergigian dapat mencegah transmisi penyakit berjangkit. Mereka juga ingin tahu tentang kos intervensi, sama ada ia boleh diterima pesakit dan doktor gigi, dan sama ada intervensi itu mudah dilaksanakan.
Bagaimanakah pengarang mengenal pasti dan menilai bukti?
Pertama, mereka mencari semua kajian yang relevan dalam literatur perubatan yang membandingkan intervensi untuk mengurangkan penghasilan aerosol semasa prosedur pergigian berbanding intervensi lain atau tanpa intervensi. Para pengarang kemudian membandingkan keputusan-keputusan, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, mereka menilai kepastian bukti tersebut. Untuk melakukannya, mereka mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian-kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian. Berdasarkan penilaian ini, pengarang ulasan mengkategorikan bukti sebagai kepastian sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.
Apa yang mereka temui?
Mereka mendapati 16 kajian melibatkan sejumlah 425 orang. Kajian-kajian melibatkan antara satu dan 80 peserta, berumur antara 5 hingga 69 tahun. Enam kajian dilakukan di AS, lima di India, dua di UK dan satu di Mesir, Belanda dan Emiriah Arab Bersatu.
Kesemua 16 kajian mengukur perubahan paras pencemaran bakteria dalam aerosol, tetapi pengarang ulasan menilai bukti sebagai kepastian sangat rendah. Ini bermaksud terdapat keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti, dan pengarang mengharapkan kajian lanjutan dapat mengubah penemuan ulasan ini. Oleh itu, para pengarang tidak dapat menyimpulkan dari bukti ini sama ada terdapat kesan terhadap paras pencemaran bakteria. Tiada kajian yang menyiasat pencemaran virus atau kulat.
Apakah maksudnya?
Kami tidak tahu sama ada intervensi yang bertujuan untuk mengurangkan penghasilan aerosol semasa prosedur pergigian mencegah transmisi penyakit berjangkit. Ulasan ini menekankan keperluan kajian yang berkualiti dan lebih‐banyak dalam bidang ini.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Bukti ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga September 2020.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my
Selasa, 13 Oktober 2020