COVID-19 biasanya mempengaruhi paru-paru dan saluran udara, walau bagaimanapun, selain masalah respiratori, kira-kira 16% orang yang dimasukkan ke hospital untuk COVID-19 mengalami masalah darah dan salurah darah, menyebabkan klot darah dalam arteri, vena dan paru-paru. Klot darah ini boleh berpecah dan bergerak ke bahagian lain tubuh, di mana ia menyebabkan penyumbatan yang boleh menyebabkan serangan jantung atau strok. Hampir separuh orang dengan COVID-19 yang serius, di unit rawatan intensif, mungkin mengalami bekuan darah dalam vena atau arteri mereka.
Apakah pencair darah?
Pencair darah adalah ubat yang mencegah pembentukan klot darah. Walau bagaimanapun, ia boleh menyebabkan kesan-kesan yang tidak diingini seperti perdarahan. Sesetengah garis panduan mengesyor memberi pencair darah apabila pesakit pertama kali dimasukkan ke hospital dengan COVID-19, untuk mencegah pembentukan klot darah, berbanding menunggu untuk melihat sama ada klot darah terbentuk dan merawatnya dengan pencair darah.
Apakah soalan-soalan ulasan?
Sepasukan penulis Cochrane ingin tahu sama ada memberi pencair darah kepada orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 sebagai langkah pencegahan, boleh mengurangkan bilangan kematian berbanding orang yang tidak menerima rawatan atau menerima rawatan plasebo. Mereka juga ingin tahu sama ada orang kurang memerlukan sokongan pernafasan, sama ada mereka masih membentuk klot darah yang berbahaya, sama ada mereka mengalami perdarahan dan sama ada mereka mengalami peristiwa-peristiwa lain yang tidak diingini (contohnya, loya, muntah, masalah buah pinggang dan amputasi).
Apakah kaedah-kaedahnya?
Mereka mencari kajian-kajian yang menilai pencair darah yang diberi kepada orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 untuk mencegah klot darah. Kajian-kajian tersebut bebas reka bentuk asalkan ia membandingkan satu pencair darah dengan pencair darah yang lain, tiada rawatan atau plasebo (palsu). Kajian-kajian boleh dilakukan di mana-mana sahaja di dunia dan peserta-peserta boleh terdiri daripada pelbagai umur asalkan mereka dimasukkan ke hospital dengan penyakit COVID-19 yang disahkan. Carian selesai pada 20 Jun 2020.
Mereka tidak menemui sebarang RCT, oleh itu mereka menyertakan tujuh kajian ‘retrospektif’ bukan rawak yang melihat semula rawatan yang diberi kepada 5929 orang. Kajian-kajian ini dilaksana di unit-unit rawatan intensif, wad-wad hospital dan jabatan kecemasan di China, Itali, Sepanyol dan AS. Ia memberi bukti tentang kematian dan perdarahan tetapi tiada bukti sokongan pernafasan, klot darah dan kesan-kesan lain yang tidak diingini. Kajian-kajian ini amat berbeza antara satu sama lain, oleh itu kami tidak dapat menggabungkan hasilnya.
Pencair darah berbanding tiada rawatan (6 kajian)
· Satu kajian telah melaporkan pengurangan mortaliti dan satu kajian lain melaporkan pengurangan mortaliti hanya dalam kalangan orang yang tenat. Tiga kajian melaporkan tiada perbezaan mortaliti dan kajian yang selebihnya melaporkan tiada kematian dalam mana-mana kumpulan.
· Satu kajian telah melaporkan perdarahan major dalam 3% peserta yang menerima pencair darah dan 1.9% peserta yang tidak menerima pencair darah.
Dos rawatan pencair darah berbanding dos pencegahan (1 kajian)
Semua peserta berada di unit penjagaan intensif dan menggunakan ventilator mekanikal. Mereka mungkin atau mungkin tidak mempunyai klot darah tetapi diberi sama ada pencair darah dalam dos biasa untuk merawat klot (dos yang lebih tinggi), atau dos yang diguna untuk mencegah klot darah (dos yang lebih rendah).
· Kajian ini melaporkan kadar kematian lebih rendah dalam kalangan orang yang menerima dos rawatan (34.2%) berbanding dos pencegahan (53%).
· Kajian ini melaporkan perdarahan major dalam 31.7% peserta yang menerima dos rawatan berbanding 20.5% yang menerima dos pencegahan.
Sejauh mana bukti ini boleh dipercayai?
Kami tidak tahu sama ada pencair darah adalah rawatan pencegahan yang berguna untuk pesakit dengan COVID-19 kerana kami sangat tidak pasti tentang buktinya. Tiada kajian yang merawak peserta dan semua kajian tersebut adalah retrospektif. JUga, mereka melaporkan keputusan yang berbeza dari satu sama lain dan tidak melaporkan kaedah kajian sepenuhnya. Ini bermakna keyakinan kami (kepastian) terhadap bukti adalah sangat rendah.
Apa yang berlaku seterusnya?
Hasil carian telah mendapati 22 kajian yang sedang berlangsung, di mana 20 daripadanya adalah RCT, dengan 14,730 orang. Ronald Flumignan, MD, PhD daripada Jabatan Pembedahan, Bahagian Pembedahan Vaskular dan Endovaskular di Universidade Federal de São Paulo di São Paulo, Brazil dan penulis utama ulasan Cochrane ini menyatakan, “Pada masa ini kami tidak pasti sama ada rawatan ini boleh membantu mencegah klot darah yang berbahaya yang kami lihat dalam sesetengah pesakit COVID-19, tetapi kami telah mengenalpasti beberapa kajian yang sedang berlangsung. Kami akan mengemas kini ulasan kami setelah memperolehi hasil baru daripada kajian-kajian tersebut, dan kami harap boleh menjawab soalan yang penting ini.”
Diterjemah oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nicole@ms.pmc.edu.my.
Jumaat, Oktober 2, 2020