Mesej utama
Sokongan tingkah laku dapat membantu lebih ramai orang berhenti merokok selama enam bulan atau lebih lama, tanpa menimbulkan kesan yang tidak diingini.
Beberapa jenis sokongan dilihat berfungsi lebih baik daripada yang lain. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengenal pasti cara terbaik untuk menyokong orang yang cuba berhenti merokok, dan untuk mengenal pasti orang terbaik untuk menyokong mereka.
Berhenti merokok
Perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh perokok untuk kesihatan mereka adalah berhenti merokok. Pernafasan lebih mudah dan kurang batuk apabila mereka berhenti merokok. Berhenti merokok juga mengurangkan risiko mendapat barah paru-paru dan penyakit lain.
Cara menolong orang berhenti merokok
Kebanyakan orang yang merokok mahu berhenti, tetapi ramai mendapatinya sukar. Perokok boleh menggunakan terapi gantian nikotin, seperti tampalan nikotin atau gusi, atau ubat-ubatan lain untuk membantu mereka berhenti. Sokongan tingkah laku menyediakan kaedah alternatif - atau tambahan - untuk membantu orang berhenti merokok. Kadang-kadang sokongan tingkah laku boleh digabung dengan gantian nikotin atau ubat lain untuk membantu orang berhenti merokok.
Jenis sokongan tingkah laku boleh merangkumi: nasihat dan kaunseling tentang cara-cara untuk memudahkan berhenti merokok; maklumat tentang sebab atau cara berhenti; atau gabungan. Sokongan tingkah laku boleh diberi dalam sesi berkumpulan atau satu dengan satu.
Mengapa penulis melakukan Ulasan Cochrane ini?
Penulis ingin tahu:
- jenis sokongan tingkah laku yang paling sesuai untuk membantu orang berhenti merokok;
- kaedah terbaik untuk memberi sokongan tingkah laku (termasuk orang terbaik untuk memberikannya); dan
- aspek sokongan tingkah laku yang membantu seseorang berhenti merokok.
Mereka juga ingin tahu apakah sokongan tingkah laku boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini.
Apa yang dilakukan penulis?
Mereka mencari Ulasan Cochrane tentang sokongan tingkah laku untuk berhenti merokok, untuk mengenal pasti kajian perokok dewasa yang relevan. Mereka kemudian membandingkan kajian-kajian tersebut untuk mengetahui sejauh mana pelbagai jenis sokongan tingkah laku membantu orang berhenti merokok.
Tarikh carian: Penulis menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Julai 2020.
Apa yang mereka temui
Penulis mendapati 33 Ulasan Cochrane, di mana mereka mengenal pasti 312 kajian yang relevan melibatkan 250,503 orang dewasa (berumur 18 hingga 63 tahun) yang merokok. Kajian ini meneliti 437 kombinasi pelbagai cara untuk berhenti merokok.
Kajian ini melihat jenis sokongan tingkah laku berikut, antara lain:
- memberi maklumat kepada seseorang mengenai keputusan ujian, atau risiko penyakit merokok;
- kaunseling (bersemuka, melalui telefon atau melalui panggilan video);
- bahan bantu diri, sumber dan peringatan melalui mesej atau aplikasi telefon bimbit;
- ganjaran (wang, atau peluang untuk memenangi wang dengan memasuki pertandingan);
- sokongan berasaskan senaman; dan
- hipnoterapi.
Dalam kajian itu, pelbagai orang memberikan sokongan tingkah laku, termasuk: doktor, pakar perunding, jururawat, ahli farmasi, doktor gigi, kaunselor dan penasihat kesihatan awam.
Kebanyakan kajian dilakukan di AS atau Eropah Barat; 115 kajian dilakukan dalam fasiliti kesihatan dan 195 kajian dilakukan dalam komuniti. Secara purata, peserta dalam kajian ini diikuti selama 10.5 bulan.
Kajian-kajian membandingkan kesan sokongan tingkah laku dengan:
- tiada sokongan tingkah laku;
- penjagaan biasa atau standard;
- bentuk sokongan tingkah laku yang kurang kuat; atau pendekatan lain.
Penulis membandingkan semua rawatan antara satu dengan lain menggunakan kaedah matematik yang dipanggil meta-analisis rangkaian.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Berbanding tanpa sokongan tingkah laku, adalah jelas sesetengah jenis sokongan tingkah laku meningkatkan peluang orang untuk berhenti selama enam bulan atau lebih lama, termasuk: kaunseling dan pemberian wang kerana berjaya berhenti merokok. Lebih ramai orang berhenti merokok dengan jenis sokongan ini sama ada mereka juga mengambil ubat untuk membantu berhenti merokok.
Sokongan tingkah laku melalui pesanan teks mungkin membantu lebih ramai orang berhenti merokok berbanding tiada sokongan.
Berbanding tanpa sokongan, menyesuaikan sokongan tingkah laku kepada perokok, atau sekumpulan perokok yang cuba untuk berhenti merokok mungkin meningkatkan sedikit bilangan mereka berhenti merokok, begitu juga sokongan yang memfokus kepada cara berhenti merokok.
Meningkatkan intensiti sokongan yang diberi, seperti menghubungi perokok lebih kerap atau menjalani sesi yang lebih lama, meningkatkan jumlah yang berhenti merokok secara sederhana.
Penulis tidak pasti tentang:
- kesan sokongan tingkah laku jenis lain, termasuk hipnoterapi, sokongan berdasarkan senaman, dan menyertai pertandingan; dan
- kesan kepada pemberi sokongan tingkah laku.
Hanya beberapa kajian melaporkan hasil bagi kesan yang tidak diingini; di mana, sokongan tingkah laku tidak meningkatkan bilangan kesan yang tidak diingini.
Sejauh mana keyakinan penulis dalam hasil ini?
Penulis yakin kaunseling dan ganjaran wang dapat membantu orang berhenti merokok; mereka tidak menjangka lebih banyak bukti akan mengubah keputusan ini. Mereka kurang yakin dengan keputusan untuk jenis sokongan tingkah laku yang lain, dan tentang pemberi dan cara sokongannya. Mereka mendapati keterbatasan dengan sesetengah kajian, termasuk cara kajian direka, dilaksana, dan dilaporkan. Keputusan-keputusan ini berkemungkinan berubah apabila lebih banyak bukti tersedia. Lebih banyak kajian diperlukan.
Selasa, 5 Januari 2021
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.