Cochrane Skin dengan sukacitanya mengumumkan penerbitan ulasan baru, Fototerapi untuk ekzema atopik. Kajian ini diketuai oleh pakar dermatologi dari Pusat Perubatan Universiti Amsterdam, dan disokong oleh pemegang kepentingan utama: American Academy of Dermatology (AAD). AAD menyediakan pembiayaan untuk semakan sistematik ini (32 kajian, 1219 orang dengan ekzema atopik yang didiagnosis secara klinikal), yang membolehkan penerbitan protokol dan semakan penuh dalam tempoh 13 bulan selepas pendaftaran tajuk.
Mesej utama
- Ultraviolet B (UVB) jalur sempit (NB), berbanding plasebo (rawatan palsu), mungkin memperbaiki tahap keparahan ekzema (termasuk gatal) dan mungkin tidak mempengaruhi bilangan orang yang meninggalkan kajian kerana kesan yang tidak diingini.
- Kami tidak dapat membuat kesimpulan dengan yakin untuk rawatan fototerapi (terapi cahaya) yang lain.
- Penyelidikan masa depan perlu menilai keberkesanan dan keselamatan NB-UVB dan bentuk fototerapi yang lain untuk ekzema.
Kajian Cochrane ini akan digunakan untuk memaklumkan kemas kini AAD kepada garis panduan penjagaan mereka untuk pengurusan jerawat (dijangka pada suku keempat 2023).
Apakah ekzema dan bagaimana ia dirawat?
Ekzema adalah keadaan yang mengakibatkan tompok kering, dan gatal pada kulit yang radang. Ekzema biasanya bermula pada zaman kanak-kanak, tetapi boleh bertambah baik dengan usia. Ekzema disebabkan oleh gabungan faktor genetik dan persekitaran, yang membawa kepada penghalang kulit tidak berfungsi. Ekzema boleh menjejaskan kualiti hidup secara negatif, dan kos sosial adalah ketara.
Rawatan ekzema selalunya krim atau salap yang mengurangkan kegatalan dan kemerahan, disapu terus pada kulit. Jika cara rawatan ini tidak berjaya, ubat sistemik yang mempengaruhi seluruh badan, atau fototerapi adalah pilihannya. Fototerapi (rawatan cahaya atau rawatan cahaya nampak) merupakan UVB, ultraviolet A (UVA), atau fotokemoterapi (PUVA), di mana fototerapi diberikan bersama bahan yang meningkatkan sensitiviti terhadap cahaya UV.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat fototerapi berbanding tanpa rawatan, plasebo, bentuk fototerapi yang lain, atau jenis rawatan ekzema yang lain. Kajian boleh merangkumi individu dari semua peringkat umur, yang mempunyai ekzema didiagnosis oleh profesional penjagaan kesihatan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 32 kajian, melibatkan 1219 orang dengan ekzema (purata umur: 28 tahun), yang direkrut dari klinik dermatologi. Kebanyakan kajian menilai individu dengan jenis kulit II hingga III (yang dikelaskan sebagai warna kulit putih hingga sederhana), dan ekzema sederhana hingga teruk, di mana mereka telah alami selama bertahun-tahun. Kajian merangkumi bilangan lelaki dan perempuan yang sama. Kajian telah dijalankan di Eropah, Asia, dan Mesir (tetapan tidak dilaporkan oleh tujuh kajian), dan berlangsung, secara purata, selama 13 minggu. Hampir separuh kajian melaporkan sumber pembiayaan mereka; dua dikaitkan dengan penaja komersial.
Kajian yang kami sertakan kebanyakannya menilai NB-UVB, diikuti oleh UVA1, kemudian jalur lebar ultraviolet B; kurang kajian yang menyiasat jenis fototerapi lain. Kajian membandingkan rawatan tersebut dengan plasebo, atau tanpa rawatan, jenis fototerapi lain, dos berlainan bagi jenis fototerapi yang sama, atau jenis rawatan ekzema lain yang digunakan pada kulit atau diambil melalui tablet.
Tidak ada kajian yang menyiasat lampu excimer (satu sumber sinaran UV) atau helioterapi (penggunaan cahaya matahari semula jadi), terapi cahaya lain yang kami minati.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Apabila dibandingkan dengan plasebo, NB-UVB mungkin:
- memperbaiki tanda-tanda ekzema yang dinilai oleh profesional penjagaan kesihatan (1 kajian, 41 orang);
- meningkatkan bilangan orang yang melaporkan kurang kegatalan yang teruk (1 kajian, 41 orang);
- meningkatkan bilangan orang yang melaporkan peningkatan sederhana atau lebih besar untuk ekzema, diukur oleh skala Penilaian Global Penyiasat (IGA), skala 5-mata yang mengukur peningkatan dalam gejala ekzema (1 kajian, 40 orang); dan
- tidak mempunyai kesan pada kadar orang menarik diri daripada rawatan kerana kesan yang tidak diingini (3 kajian, 89 orang).
Tidak ada kajian yang menilai NB-UVB berbanding plasebo mengukur kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan.
Kami tidak tahu sama ada NB-UVB (berbanding dengan UVA1 atau PUVA) atau UVA1 (berbanding dengan PUVA) mempunyai kesan pada perkara berikut:
- tanda-tanda ekzema yang dinilai oleh profesional penjagaan kesihatan;
- gejala ekzema yang dilaporkan oleh pesakit;
- IGA;
- kualiti hidup berkaitan kesihatan; dan
- penarikan diri oleh peserta disebabkan kesan yang tidak diingini.
Ini adalah kerana sama ada kami tidak yakin dengan bukti tersebut, atau ianya tidak dilaporkan.
Kami tidak dapat mencari sebarang kajian yang menyiasat UVA1 atau PUVA berbanding tanpa rawatan.
Beberapa kajian melaporkan bahawa fototerapi menyebabkan beberapa kesan yang tidak diingini, termasuk tindak balas atau kerengsaan kulit, pembakaran UV, ekzema yang semakin teruk, dan jangkitan kulit. Walau bagaimanapun, hal ini tidak berlaku pada kebanyakan orang.
Apakah batasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad, terutamanya kerana hanya beberapa kajian yang boleh dimasukkan dalam setiap perbandingan, dan kajian secara amnya hanya melibatkan sedikit peserta.
Sejauh manakah bukti ini dikemas kini?
Bukti adalah terkini hingga Januari 2021.
Ringkasan Cochrane Bahasa Malaysia | Facebook
Khamis, 4 November, 2021
Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my