Intervensi untuk mengurangkan penggunaan tembakau dalam kalangan gelandangan
Latar belakang
Orang gelandangan lebih cenderung untuk menggunakan tembakau, dan menghadapi banyak masalah yang menyukarkan mereka untuk berhenti. Masalah kesihatan akibat penggunaan tembakau adalah antara penyebab utama kematian dalam kalangan kumpulan ini, oleh itu perlu untuk mencari cara-cara baharu untuk mengurangkan penggunaan tembakau dalam kalangan gelandangan. Panduan penjagaan kesihatan menyatakan rawatan berhenti merokok perlu menyertakan beberapa bentuk kaunseling atau sokongan, ditambah ubat-ubat yang direka untuk membantu orang berhenti merokok. Walau bagaimanapun, rawatan ini sering tidak disediakan atau digunakan dalam kalangan gelandangan. Ulasan ini melihat sama ada sistem-sistem yang direka untuk membantu gelandangan dewasa mendapatkan rawatan berhenti merokok, dan rawatan-rawatan yang direka untuk membantu gelandangan dewasa berhenti merokok menyebabkan lebih banyak penggunaan rawatan dan lebih ramai orang berhenti mengguna tembakau. Para penulis juga melihat sama ada rawatan-rawatan untuk membantu gelandangan dewasa berhenti merokok mengubah penggunaan dadah lain dan kesihatan mental mereka.
Kajian tersebut menyertakan 10 kajian melibatkan 1634 peserta. Salah satu kajian tersebut masih berlangsung, tetapi sembilan yang lain telah selesai. Semua peserta adalah perokok, berumur 18 tahun atau lebih, dan mengalami gelandangan. Kebanyakan peserta direkrut dari tempat-tempat dalam komuniti, seperti tempat berlindung gelandangan, tetapi ada juga yang direkrut dari klinik penjagaan kesihatan. Semua kajian menawarkan peserta beberapa bentuk sokongan kaunseling untuk berhenti merokok, dan lapan daripada kajian-kajian tersebut juga menawarkan ubat-ubatan berhenti‐merokok. Rawatan-rawatan yang diuji dalam kajian-kajian yang disertakan adalah: e‐rokok, sokongan pesanan‐teks, ganjaran berhenti merokok, sokongan kaunseling yang lebih intensif, rawatan-rawatan yang memfokus cabaran gaya hidup lain serta merokok, dan terapi tingkah laku kognitif. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2020.
Keputusan utama
Maklumat tidak cukup untuk menentukan sama ada rawatan berhenti‐merokok yang menyasarkan gelandangan secara khusus membuat mereka lebih cenderung untuk berhenti merokok berbanding rawatan standard berhenti merokok. Maklumat juga tidak cukup untuk menentukan sama ada rawatan-rawatan ini mempengaruhi kesihatan mental atau penggunaan dadah dalam kalangan gelandangan.
Kualiti bukti
Para penulis menilai semua maklumat yang disertakan dalam ulasan ini sebagai berkualiti rendah atau sangat rendah. Ini kerana kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini adalah kecil, dan terdapat masalah bagaimana sesetengah kajian tersebut dijalankan. Ini bermakna adalah sukar untuk tahu sama ada intervensi-intervensi ini membantu gelandangan berhenti merokok. Penemuan-penemuan ulasan ini sangat mungkin untuk berubah apabila kajian-kajian baharu selesai.
Khamis, 10 Disember 2020
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).