Featured Review: How often should you see your dentist for a check-up?
Interval susul kembali kesihatan oral dalam kalangan pesakit di penjagaan primer
Penulis utama Patrick Fee menjelaskan, "Penyelidikan ini sangat berharga ketika mempertimbang impak signifikan pandemik global COVID-19 dan kesannya terhadap perkhidmatan pergigian di seluruh dunia, membataskan akses pesakit untuk mendapatkan rawatan gigi. Akses pesakit kepada penjagaan pergigian mungkin terhad untuk seketika. Walau bagaimanapun, keputusan ulasan ini memberi jaminan kepada mereka yang menyediakan dan mendapatkan rawatan pergigian bahawa interval antara pemeriksaan boleh dilanjutkan melebihi enam bulan tanpa menjejaskan kesihatan oral pesakit.
Ulasan ini mendapati pemeriksaan berasaskan risiko tidak memudaratkan kesihatan oral dan boleh diterima oleh pesakit. Terdapat perdebatan antarabangsa sejak sekian lama tentang kekerapan pemeriksaan gigi yang optimum dan ulasan ini menyertakan bukti sedia ada yang kukuh dan terkini untuk menyiasat isu ini. Tetapi harus ditegaskan ini adalah tentang orang dewasa yang mendapatkan pemeriksaan rutin, bukan mereka yang perlukan rawatan kecemasan atau kanak-kanak.
Mengapa perlu pemeriksaan gigi?
Pemeriksaan gigi membantu menjaga kesihatan mulut dan membolehkan doktor gigi melihat jika anda ada sebarang masalah pergigian. Ia membolehkan doktor gigi anda menangani sebarang masalah lebih awal, atau lebih baik lagi, untuk mencegah daripada masalah. Membiarkan masalah yang tidak dirawat mungkin menyukarkan rawatan pada masa akan datang.
Apa yang berlaku semasa pemeriksaan?
Pada setiap pemeriksaan, doktor gigi anda akan:
- memeriksa gigi, gusi dan mulut anda;
- bertanya tentang kesihatan umum dan jika anda bermasalah dengan gigi, mulut atau gusi sejak pemeriksaan terakhir;
- menasihati anda tentang tabiat membersihkan gigi, dan diet, merokok dan penggunaan alkohol.
- Jika sesuai, mencadangkan rawatan yang perlu untuk sebarang masalah gigi.
Selepas pemeriksaan, doktor gigi akan mencadangkan tarikh untuk pemeriksaan seterusnya. Secara tradisional, pemeriksaan disyorkan setiap enam bulan. Walau bagaimanapun, sesetengah orang berisiko tinggi mengalami masalah gigi dan mungkin memerlukan pemeriksaan lebih kerap, sementara yang lain mungkin tidak memerlukan pemeriksaan begitu kerap.
Mengapa pasukan kami membuat Ulasan Cochrane ini?
Membuat pemeriksaan setiap enam bulan mungkin membantu menjaga kesihatan mulut dan mengelakkan masalah pergigian pada masa hadapan, tetapi boleh juga menyebabkan rawatan pergigian yang tidak perlu. Walau bagaimanapun, pemeriksaan yang kurang kerap mungkin menyebabkan masalah pergigian menjadi lebih teruk dan menyebabkan rawatan dan penjagaan yang sukar dan mahal. Pasukan pengarang ingin mengenal pasti interval terbaik antara pemeriksaan gigi.
Apa yang dilakukan para penulis?
Para pengarang mencari kajian-kajian yang melihat kesan pelbagai interval antara pemeriksaan gigi. Para pengarang mencari kajian rawak terkawal, di mana orang diperuntukkan pelbagai interval secara rawak.. Kajian-kajian begini sering memberi bukti yang paling boleh percaya.
Tarikh carian: termasuk bukti yang diterbitkan sehingga 17 Januari 2020.
Apa yang penulis dapati?
Para penulis mendapati dua kajian dengan 1736 orang yang menjalani pemeriksaan gigi regular. Satu kajian dilakukan di klinik pergigian awam di Norway dalam kalangan kanak-kanak dan dewasa berumur bawah 20 tahun. Ia membandingkan pemeriksaan 12 bulan dan 24 bulan, dan mengukur hasilnya selepas dua tahun. Kajian satu lagi dilakukan dalam kalangan dewasa di 51 amalan pergigian di UK. Ia membandingkan pemeriksaan setiap enam-bulan, 24‑bulan dan pemeriksaan berasaskan risiko (di mana masa antara pemeriksaan bergantung kepada risiko penyakit gigi individu), dan mengukur hasilnya selepas empat tahun.
Kajian-kajian tersebut melihat pelbagai interval antara pemeriksaan mempengaruhi:
- · berapa orang mengalami kerosakan gigi;
- berapa permukaan gigi yang rosak;
- penyakit gusi (peratusan perdarahan gusi); dan
- kualiti hidup (kesejahteraan) yang berkaitan dengan kesihatan gigi dan gusi.
Tiada kajian yang mengukur kesan yang tidak diingini.
Apakah keputusan ulasan ini?
Dalam kalangan dewasa, terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara pemeriksaan enam bulan dan pemeriksaan berasaskan risiko bagi kerosakan gigi (bilangan permukaan gigi yang terjejas), penyakit gusi dan kesejahteraan selepas empat tahun; dan mungkin sedikit atau tiada perbezaan bilangan orang yang mengalami kerosakan gigi sederhana hingga teruk.
Mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan antara pemeriksaan enam-bulan dan 24-bulan berasaskan risiko bagi kerosakan gigi (bilangan orang dan permukaan gigi yang terjejas), penyakit gusi atau kesejahteraan, dan mungkin sedikit atau tiada perbezaan bilangan orang yang mengalami kerosakan gigi sederhana hingga teruk.
Para pengarang tidak menemui cukup bukti boleh percaya tentang kesan pemeriksaan setiap 12-bulan dan 24-bulan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja selepas dua tahun. Ini adalah kerana permasalahan dengan cara kajian dijalankan.
Adakah keputusan ini boleh percaya?
Mereka yakin ada sedikit atau tiada perbezaan antara pemeriksaan setiap enam-bulan dan berasaskan risiko dalam kalangan dewasa untuk jumlah permukaan gigi yang rosak, penyakit gusi dan kesejahteraan. Mereka sederhana yakin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara pemeriksaan setiap 24-bulan dan enam-bulan atau berasaskan risiko untuk jumlah permukaan gigi yang rosak, penyakit gusi dan kesejahteraan.
Kesimpulan
Sama ada orang dewasa berjumpa doktor gigi mereka untuk pemeriksaan setiap enam bulan atau pada interval yang sesuai berdasarkan penilaian doktor gigi tentang risiko penyakit gigi tidak mempengaruhi kerosakan gigi, penyakit gusi, atau kesejahteraan. Interval lebih lama (hingga 24 bulan) antara pemeriksaan mungkin tidak mempengaruhi hasil secara negatif. Pada masa ini, tiada cukup bukti boleh percaya tentang kekerapan kanak-kanak dan remaja harus berjumpa doktor gigi untuk pemeriksaan.
Selasa, 15 Oktober, 2020
Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).