Ulasan Rencana: Berhenti merokok dikaitkan dengan peningkatan kesihatan mental

Bukti yang diterbitkan di Cochrane Library hari ini akan meyakinkan orang yang ingin berhenti merokok bahawa berhenti untuk sekurang-kurangnya 6 minggu boleh meningkatkan kesejahteraan mental mereka, dengan mengurangkan kegelisahan, kemurungan, dan tekanan. Hubungan sosial seseorang tidak mungkin terjejas jika mereka berhenti merokok. 

Merokok adalah penyebab utama penyakit dan kematian yang boleh dicegah di seluruh dunia. Satu dari dua orang yang merokok akan mati daripada penyakit berkaitan merokok melainkan mereka berhenti. Sebilangan orang percaya bahawa merokok membantu mengurangkan tekanan dan gejala kesihatan mental yang lain, dan berhenti merokok mungkin memburukkan masalah kesihatan mental mereka. Orang yang merokok juga mungkin bimbang bahawa berhenti merokok akan mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan sosial dan persahabatan mereka.

Ulasan itu mendapati bahawa orang yang berhenti merokok untuk sekurang-kurangnya 6 minggu mengalami kurang kemurungan, kegelisahan, dan tekanan daripada orang yang terus merokok. Orang yang berhenti juga mengalami perasaan yang lebih positif dan kesejahteraan psikologi yang lebih baik.  Berhenti merokok tidak mempunyai kesan terhadap kualiti hubungan sosial seseorang dan adalah mungkin bahawa berhenti merokok dikaitkan dengan peningkatan kecil dalam kesejahteraan sosial.

                                    Berhenti merokok dikaitkan dengan peningkatan kesihatan mental  - video

Ulasan itu meringkaskan bukti dari 102 kajian pemerhatian yang melibatkan lebih daripada 169,500 orang. Para penulis ulasan menggabungkan keputusan-keputusan dari 63 daripada kajian ini yang mengukur perubahan gejala kesihatan mental dalam orang yang berhenti merokok dengan perubahan yang berlaku dalam orang yang terus merokok. Mereka juga menggabungkan keputusan-keputusan dari 10 kajian yang mengukur berapa banyak orang mengalami gangguan kesihatan mental semasa kajian. Kajian-kajian itu melibatkan pelbagai orang, termasuk orang dengan keadaan kesihatan mental dan orang dengan penyakit fizikal jangka panjang. Jangka masa kajian-kajian itu menyusul peserta adalah berbeza, dengan yang terpendek adalah 6 minggu, tetapi beberapa kajian menyusul peserta sehingga 6 tahun. Kepastian tentang bukti antara sangat rendah ke sederhana.

Penulis utama Ulasan Cochrane ini, Dr Gemma Taylor dari Kumpulan Ketagihan & Kesihatan Mental di Universiti Bath, berkata, “Kami mendapati berhenti merokok dikaitkan dengan peningkatan kecil ke sederhana dalam perasaan. Manfaat berhenti merokok terhadap perasaan didapati serupa dalam pelbagai orang, dan paling penting, tiada alasan untuk khuatir bahawa orang dengan keadaan kesihatan mental akan mengalami kemerosotan kesihatan mereka jika mereka berhenti merokok. Keyakinan kami terhadap saiz manfaat yang tepat adalah terhad kerana cara kajian-kajian itu dirancang dan kajian-kajian pada masa depan yang boleh menangani cabaran-cabaran itu akan lebih menguatkan bukti mengenai kesan-kesan berhenti merokok terhadap kesihatan mental.”

Dr Gemma Taylor meneruskan, “Banyak orang yang merokok bimbang bahawa berhenti boleh mengganggu jaringan sosial mereka, dan menyebabkan perasaan kesunyian. Orang ramai boleh diyakinkan bahawa berhenti merokok didapati tidak mempunyai kesan negatif terhadap kualiti hidup sosial. Orang juga mungkin bimbang bahawa berhenti merokok memberi tekanan. Bukti menunjukkan bahawa tekanan dikurangkan dalam orang yang berhenti merokok dan kemungkinan terdapat manfaat jangka panjang untuk kesihatan mental seseorang.”

Sekumpulan penyelidik dari Universiti Bath, Birmingham, Oxford dan Universiti New York bekerjasama untuk menghasilkan ulasan ini.

Selasa, 9 Mac 2021

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rsciucd.edu.my.

Sila layari laman web Cochrane.org