Ulasan Rencana: Bolehkah gejala dan pemeriksaan perubatan mendiagnosis penyakit COVID-19 dengan tepat?

Kemas kini ulasan sistematik dari Kumpulan Penyakit Berjangkit Cochrane yang diterbitkan pada hari ini; ‘Tanda-tanda dan gejala untuk menentukan jika pesakit yang datang ke persekitaran penjagaan primer atau pesakit luar hospital mempunyai penyakit COVID-19’.

Bolehkah gejala dan pemeriksaan perubatan mendiagnosis COVID-19 dengan tepat?

COVID-19 menjejaskan banyak organ dalam badan, maka orang dengan COVID-19 mungkin mempunyai spektrum gejala yang luas. Gejala dan tanda-tanda penyakit mungkin penting untuk membantu mereka dan kakitangan penjagaan kesihatan yang mereka hubungi untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai penyakit itu.

Gejala: orang dengan COVID-19 ringan mungkin mengalami batuk, sakit tekak, suhu tinggi, cirit-birit, sakit kepala, sakit otot atau sendi, keletihan, dan kehilangan atau gangguan deria bau dan rasa.

Tanda-tanda diperoleh melalui pemeriksaan klinikal. Tanda-tanda COVID-19 yang dikaji dalam ulasan ini termasuk bunyi paru-paru, tekanan darah, tahap oksigen darah dan kadar degupan jantung.

Selalunya, orang dengan gejala yang ringan merujuk doktor mereka (doktor am). Orang dengan gejala yang lebih teruk mungkin mengunjungi pesakit luar hospital atau jabatan kecemasan. Bergantung kepada keputusan-keputusan pemeriksaan klinikal, pesakit mungkin dihantar ke rumah untuk pengasingan, mungkin menerima ujian lebih lanjut atau dimasukkan ke hospital.

Mengapakah diagnosis yang tepat penting?

Diagnosis yang tepat memastikan bahawa orang mengambil langkah-langkah untuk mengelakkan penularan penyakit itu dan menerima penjagaan yang sesuai. Ini adalah penting untuk individu kerana ia mengurangkan bahaya dan menjimatkan masa dan sumber.

Apakah yang para penulis ingin ketahui?

Para penulis ingin mengetahui seberapa tepat diagnosis COVID-19 di persekitaran penjagaan primer atau hospital, berdasarkan gejala dan tanda-tanda dari pemeriksaan perubatan.

Mereka mencari kajian-kajian yang menilai ketepatan gejala dan tanda-tanda untuk mendiagnosis COVID-19. Kajian-kajian perlu dijalankan di persekitaran penjagaan primer atau pesakit luar hospital sahaja. Kajian-kajian orang di hospital hanya dimasukkan jika gejala dan tanda-tanda direkodkan apabila mereka dimasukkan ke hospital.

Penulis utama ulasan kemas kini ini Thomas Struyf menjelaskan, 

“Jumlah kajian yang disertakan telah bertambah dan kualiti keseluruhannya telah ditambahbaik berbanding dengan versi yang diterbitkan sebelumnya pada Julai 2020. Kami juga mengenal pasti lebih banyak kajian yang menumpukan kepada nilai diagnostik kehilangan bau atau rasa. 

Kemas kini ini mengesahkan bahawa satu gejala atau tanda tidak boleh mendiagnosis COVID-19 dengan tepat. Walau bagaimanapun, kehadiran kehilangan rasa atau bau mungkin menjadi petanda bahaya untuk kehadiran penyakit. Kehadiran suhu tinggi atau batuk juga mungkin berguna untuk mengenal pasti orang yang mungkin mempunyai COVID-19. Gejala-gejala ini mungkin berguna untuk mendorong ujian lebih lanjut apabila mereka hadir.

Kami menemui data mengenai 84 tanda-tanda dan gejala dalam 44 kajian, tetapi hanya 10 gejala dilaporkan oleh lebih daripada 10 kajian. Oleh itu, kebanyakan 84 tanda-tanda dan gejala ini sering tidak dilaporkan. Sepuluh tanda-tanda dan gejala yang paling kerap dilaporkan adalah demam, batuk, sesak nafas, sakit tekak, sakit otot, cirit-birit, sakit kepala, keletihan, pengeluaran kahak, dan kehilangan bau atau rasa.

 Yang penting ulasan kami tidak menemui banyak kajian yang meneliti gabungan gejala. Kebanyakan kajian melaporkan senarai gejala individu, sementara diagnosis biasanya berdasarkan gabungan pelbagai gejala. Kami memerlukan lebih banyak bukti mengenai gabungan tanda-tanda dan gejala sebelum kami boleh mengesyorkan kombinasi triaj yang optimum.”

Kajian yang disertakan

Para penulis menemui 44 kajian yang relevan dengan 26,884 peserta. Kajian-kajian itu menilai 84 tanda-tanda dan gejala berasingan, dan beberapa darinya menilai gabungan tanda-tanda dan gejala. Tiga kajian dilakukan di penjagaan primer (1824 peserta), sembilan di klinik pakar ujian COVID-19 (10,717 peserta), 12 kajian di persekitaran pesakit luar hospital (5061 peserta), tujuh kajian pada pesakit di hospital (1048 peserta), 10 kajian di jabatan kecemasan (3173 peserta), dan dalam tiga kajian persekitarannya tidak dijelaskan (5061 peserta). Tiada kajian yang menumpukan khusus kepada kanak-kanak, dan hanya satu kajian menumpukan orang tua.

Keputusan utama

Kajian-kajian itu tidak membezakan dengan jelas antara COVID-19 ringan dan teruk, maka keputusan-keputusan untuk penyakit ringan, sederhana dan teruk dikemukakan bersama-sama.

Gejala yang paling kerap dikaji adalah batuk dan demam. Dalam kajian-kajian kami, secara purata 21% peserta mempunyai COVID-19, yang bermakna dalam sekumpulan 1000 orang, sekitar 210 akan mempunyai COVID-19.

Menurut kajian-kajian dalam ulasan kami, dalam 1000 orang yang sama, sekitar 655 orang akan mengalami batuk. Daripada jumlah ini, 142 akan sebenarnya mempunyai COVID-19. Daripada 345 yang tidak mempunyai batuk, 68 akan mempunyai COVID-19.

Dalam 1000 orang yang sama, sekitar 371 orang akan mengalami demam. Daripada jumlah ini, 113 akan sebenarnya mempunyai COVID-19. Daripada 629 pesakit tanpa demam, 97 akan mempunyai COVID-19.

Kehilangan deria bau atau rasa juga meningkatkan kemungkinan COVID-19 apabila mereka hadir. Contohnya, dalam populasi yang mana 2% orang mempunyai COVID-19, kehilangan deria bau atau rasa akan meningkatkan kemungkinan seseorang mempunyai COVID-19 sebanyak 8%.

Bolehkah keputusan-keputusan ini dipercayai?

Ketepatan gejala dan tanda-tanda individu adalah sangat berbeza di antara kajian-kajian. Tambahan pula, kajian-kajian memilih peserta dengan cara di mana ketepatan ujian berdasarkan gejala dan tanda-tanda mungkin tidak dipastikan.

Kesimpulan

Kebanyakan kajian dijalankan di persekitaran hospital, maka keputusan-keputusan itu mungkin tidak mewakili persekitaran penjagaan primer. Keputusan-keputusan itu tidak boleh diaplikasikan kepada kanak-kanak atau orang tua secara khusus, dan tidak membezakan dengan jelas antara keterukan penyakit.

Keputusan-keputusan tersebut menunjukkan bahawa satu gejala atau tanda yang disertakan dalam ulasan ini tidak boleh mendiagnosis COVID-19 dengan tepat. Walau bagaimanapun, kehadiran kehilangan deria rasa atau bau mungkin berfungsi sebagai petanda bahaya untuk kehadiran penyakit itu. Kehadiran suhu tinggi atau batuk juga mungkin berguna untuk mengenal pasti orang yang mungkin mempunyai COVID-19. Gejala-gejala ini mungkin berguna untuk mendorong ujian lebih lanjut apabila mereka hadir.

Penyelidikan lebih lanjut adalah diperlukan untuk menyiasat gabungan gejala dan tanda-tanda; dan menguji populasi yang tidak terpilih, di persekitaran penjagaan primer dan dalam kanak-kanak dan orang tua.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bagi kemas kini ulasan ini, para penulis mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan dari Januari hingga Julai 2020.

Selasa, 23 Februari, 2021

Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).