Ulasan Rencana: Bolehkah gejala dan pemeriksaan perubatan mendiagnosis penyakit COVID-19 dengan tepat?

Ulasan sistematik baharu dari Kumpulan Penyakit Berjangkityang diterbitkan hari ini; ‘Tanda-tanda dan simptom untuk menentukan jika pesakit yang datang ke persekitaran penjagaan primer atau pesakit luar hospital ada penyakit COVID-19

COVID-19 ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus SARS-CoV-2. Kebanyakan orang dengan COVID-19 ada penyakit respiratori yang ringan hingga sederhana; yang lain mengalami penyakit yang teruk, seperti pneumonia COVID-19. Diagnosis formal memerlukan analisis makmal untuk sampel hidung dan tekak, atau ujian pengimejan seperti imbasan CT. Walau bagaimanapun, maklumat diagnostik pertama dan yang paling mudah didapati adalah dari simptom dan tanda-tanda dari pemeriksaan klinikal. Jika diagnosis awal dengan simptom dan tanda-tanda adalah tepat, keperluan untuk ujian diagnostik pakar yang memakan masa akan berkurangan.

Simptom yang dialami oleh pesakit. Orang dengan COVID-19 ringan mungkin mengalami batuk, sakit tekak, suhu tinggi, cirit-birit, sakit kepala, sakit otot atau sendi, keletihan, dan hilang deria bau dan rasa. Simptom pneumonia COVID-19 termasuk sesak nafas, hilang selera makan, kekeliruan, sakit atau rasa tekanan di dada, dan suhu tinggi (melebihi 38 °C)

Tanda-tanda dinilai dengan pemeriksaan klinikal, dan termasuklah bunyi di paru-paru, tekanan darah dan kadar degup jantung.

Orang dengan simptom ringan sering mengunjungi doktor mereka (doktor penjagaan primer) untuk diagnosis awal. Orang dengan simptom yang lebih teruk mungkin mengunjungi hospital pesakit luar atau jabatan kecemasan. Bergantung kepada simptom dan tanda-tanda mereka, pesakit mungkin dihantar ke rumah untuk pengasingan, mungkin menerima ujian lanjutan atau dimasukkan ke hospital.

Mengapakah diagnosis tepat penting?
Diagnosis yang tepat memastikan orang menerima rawatan yang betul dengan cepat; tidak diuji, dirawat atau diasingkan jika tidak perlu; dan tidak berisiko menyebarkan COVID-19. Ini penting untuk individu dan menjimatkan masa dan sumber.

Kami ingin tahu berapa tepat diagnosis COVID-19 dan pneumonia COVID-19 di persekitaran penjagaan primer atau hospital, berdasarkan simptom dan tanda-tanda dari pemeriksaan perubatan.

Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menilai ketepatan simptom dan tanda-tanda untuk mendiagnosis COVID-19 ringan dan pneumonia COVID-19. Kajian boleh menyertakan orang dengan kemungkinan COVID-19, atau orang yang diketahui mempunyai - dan tidak mempunyai - COVID-19. Kajian perlu dilakukan di persekitaran penjagaan primer atau hospital pesakit luar sahaja dan menyertakan sekurang-kurangnya 10 peserta dengan sebarang simptom atau tanda yang berkemungkinan COVID-19.

Kajian yang disertakan
Kami menemui 16 kajian yang relevan dengan 7706 peserta. Kajian-kajian tersebut menilai 27 tanda dan simptom yang berasingan, tetapi tiada yang menilai kombinasi tanda-tanda dan simptom. Tujuh kajian berlangsung di klinik pesakit luar di hospital (2172 peserta), empat di jabatan kecemasan (1401 peserta), tetapi tiada di persekitaran penjagaan primer. Tiada kajian menyertakan kanak-kanak, dan hanya satu kajian memfokus kepada orang tua. Semua kajian mengesahkan diagnosis COVID-19 dengan ujian sedia ada yang paling tepat .

Para penulis ulasan mencari kajian-kajian yang diterbitkan dari Januari hingga April 2020.

Keputusan utama
Kajian-kajian tersebut tidak membezakan dengan jelas COVID-19 ringan ke sederhana dari pneumonia COVID-19, maka kami bentangkan keputusan untuk kedua-dua keadaan bersama-sama.

Keputusan menunjukkan sekurang-kurangnya separuh peserta dengan penyakit COVID-19 mengalami batuk, sakit tekak, suhu tinggi, sakit otot atau sendi, keletihan, atau sakit kepala. Walau bagaimanapun, batuk dan sakit tekak juga lazim dalam kalangan orang yang tiada COVID-19, oleh itu simptom-simptom ini sahaja kurang membantu untuk mendiagnosis COVID-19. Suhu tinggi, sakit otot atau sendi, keletihan, dan sakit kepala meningkatkan kemungkinan penyakit COVID-19 apabila ada.

Bolehkah keputusan-keputusan dipercayai?
Ketepatan simptom dan tanda-tanda individu sangat berbeza di antara kajian-kajian. Tambahan pula, kajian-kajian memilih peserta dengan cara yang meragui ketepatan ujian berdasarkan simptom dan tanda-tanda.

Kesimpulan
Semua kajian dijalankan di persekitaran pesakit luar di hospital, oleh itu keputusannya tidak mewakili keadaan di penjagaan primer. Keputusan tersebut tidak boleh diaplikasi kepada kanak-kanak atau orang tua secara khusus, dan tidak membezakan dengan jelas di antara penyakit COVID-19 yang lebih ringan dan pneumonia COVID-19.

Keputusan menunjukkan satu simptom atau tanda yang disertakan dalam ulasan ini tidak boleh mendiagnosis COVID-19 dengan tepat. Doktor mendiagnosis berdasarkan simptom dan tanda-tanda multipel, tetapi kajian-kajian tersebut tidak menjelaskan aspek amalan klinikal ini.

Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk menyiasat kombinasi simptom dan tanda-tanda; simptom yang mungkin lebih spesifik, seperti kehilangan deria bau; dan menguji populasi yang tidak terpilih, dalam persekitaran penjagaan primer dan dalam kalangan kanak-kanak dan orang tua.

Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).