Mesej utama
- Mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan penurunan berat badan dalam kalangan orang yang mengikuti diet karbohidrat rendah (juga dikenali sebagai 'diet karb rendah') berbanding orang yang mengikuti diet karbohidrat seimbang sehingga dua tahun.
- Demikian juga, mungkin ada sedikit atau tiada perbezaan antara kedua-dua diet tersebut untuk perubahan risiko penyakit jantung seperti tekanan darah diastolik, hemoglobin terglikosilasi (HbA1c, ukuran paras gula dalam darah dalam tempoh 2-3 bulan) dan kolesterol LDL (kolesterol 'tidak sihat') sehingga dua tahun.
- Ini berlaku dalam kes orang dengan dan tanpa diabetes jenis 2.
Apakah diet karbohidrat rendah dan seimbang untuk penurunan berat badan?
Orang membelanjakan banyak wang untuk cuba turunkan berat badan menggunakan diet, produk, makanan dan buku-buku, dan terus berdebat tentang diet yang berkesan dan selamat. Oleh itu, menilai bukti saintifik di sebalik dakwaan yang dibuat adalah penting. Diet karbohidrat rendah ialah kategori luas bagi diet menurunkan berat badan yang memanipulasi dan menyekat karbohidrat, protein dan lemak dalam diet. Tiada takrifan konsisten dan diterima meluas bagi diet ini dan pelbagai huraian digunakan (misalnya 'rendah karbohidrat, tinggi protein', 'rendah karbohidrat, tinggi lemak' atau 'sangat rendah karbohidrat').
Diet karbohidrat rendah dilaksana dengan pelbagai cara tetapi ia mengehadkan bijian, bijirin dan kekacang, dan makanan lain yang mengandungi karbohidrat; seperti tenusu, kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran tertentu. Makanan-makanan ini biasanya diganti dengan makanan yang lebih tinggi lemak dan protein; seperti daging, telur, keju, mentega, krim, minyak. Sesetengah diet karbohidrat rendah mengesyorkan makan seperti yang diingini manakala yang lain mengesyor mengehadkan amaun tenaga yang dimakan.
Diet karbohodrat seimbang mengandungi jumlah karbohidrat, protein dan lemak yang lebih sederhana, selaras dengan nasihat pemakanan sihat semasa pihak berkuasa kesihatan. Apabila diguna untuk penurunan berat badan, diet seimbang mengesyor mengehadkan amaun tenaga yang dimakan dengan membimbing orang untuk mengurangkan saiz bahagian mereka dan memilih makanan yang lebih sihat (misalnya daging tanpa lemak dan bukan daging berlemak).
Diet penurunan berat badan karbohidrat rendah dipromosi meluas, dipasarkan dan dikomersialkan sebagai lebih berkesan untuk penurunan berat badan dan lebih sihat berbanding diet penurunan berat badan karbohidrat 'seimbang’.
Profesor Celeste Naude menerangkan "Penurunan berat badan orang yang mengambil diet penurunan berat badan rendah karbohidrat adalah serupa dengan berat badan yang hilang oleh mereka yang mengambil diet penurunan berat badan karbohidrat seimbang sehingga dua tahun. Perubahan dalam faktor risiko penyakit jantung juga serupa dalam kalangan orang yang mengikuti diet ini antara satu hingga dua tahun. Ini berlaku dalam kes orang dengan dan tanpa diabetes jenis 2.
"Kajian paling lama berlangsung selama dua tahun, oleh itu kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan antara kesan dan keselamatan diet ini melebihi dua tahun yang mana akan menjadi sangat penting untuk faktor risiko penyakit jantung.
Kebanyakan orang dalam kajian-kajian tiada penyakit jantung atau risiko berkaitan di permulaan kajian, oleh itu kami tidak tahu sama ada terdapat perbezaan antara kesan dan keselamatan diet ini dalam kalangan orang dengan penyakit jantung atau faktor risiko seperti keadaan-keadaan yang menyebabkan paras lemak abnormal dalam darah.
Ulasan kami tidak membandingkan jenis atau kualiti karbohidrat, lemak atau protein antara diet atau kos antara diet."
Apa yang penulis ulasan ingin tahu?
Mereka ingin tahu sama ada diet penurunan berat badan karbohidrat rendah adalah lebih baik untuk turunkan berat badan dan faktor risiko penyakit jantung berbaanding diet penurunan berat badan karbohidrat seimbang dalam kalangan dewasa yang berat badan berlebihan atau hidup dengan obesiti.
Mereka ingin tahu hal ini untuk orang dengan dan tanpa diabetes jenis 2.
Apa yang mereka lakukan?
Mereka mencari enam pangkalan data elektronik dan daftar kajian untuk semua kajian* yang membandingkan diet penurunan berat badan karbohidrat rendah dengan diet penurunan berat badan karbohidrat seimbang dalam kalangan dewasa yang berat badan berlebihan atau hidup dengan obesiti. Kajian-kajian mestilah berlangsung sekurang-kurangnya tiga bulan. Penulis membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan bukti terkumpul berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
*Kajian ialah di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan. Cara ini terbaik untuk pastikan kumpulan peserta serupa.
Apa yang mereka temui?
Penulis menemui 61 kajian melibatkan 6925 orang berat badan berlebihan atau hidup dengan obesiti. Kajian terbesar melibatkan 419 orang dan kajian terkecil melibatkan 20 orang. Semua kecuali satu kajian dijalankan di negara berpendapatan tinggi di seluruh dunia, dan hampir separuh dijalankan di AS (n=26).
Kebanyakan kajian dibuat dalam kalangan orang yang tiada penyakit jantung atau faktor risiko (n = 36). Kebanyakan orang (n = 5118) tiada diabetes jenis 2.
Purata berat badan permulaan orang dalam kajian ialah 95 kg. Kebanyakan kajian berlangsung selama enam bulan atau kurang (n = 37); dan kajian paling lama (n = 6) berlangsung selama dua tahun.
Hasil utama
Diet penurunan berat badan karbohidrat rendah mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam penurunan berat badan untuk jangka pendek (kajian yang berlangsung 3 hingga 8.5 bulan) dan jangka panjang (kajian yang berlangsung selama satu hingga dua tahun) berbanding diet penurunan berat badan karbohidrat seimbang dalam kalangan orang dengan dan tanpa diabetes jenis 2.
Dalam jangka pendek, purata perbezaan dalam penurunan berat badan adalah kira-kira 1 kg dan dalam jangka panjang, perbezaan purata adalah kurang daripada 1 kg.
Dalam sesetengah kajian, orang dalam kedua-dua diet turun berat badan. Secara purata amaun berat badan yang turun sangat berbeza di antara kedua-dua diet iaitu dari penurunan kurang 1 kg dalam beberapa kajian hingga kira-kira 12 kg dalam kajian lain bagi jangka pendek dan panjang.
Demikian juga, diet penurunan berat badan karbohidrat rendah mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam tekanan darah diastolik, hemoglobin terglikosilasi (HbA1c) dan kolesterol LDL (kolesterol 'tidak sihat') sehingga dua tahun.
Penulis tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kesan sampingan yang dilaporkan oleh peserta kerana sangat sedikit kajian yang melaporkannya.
Apakah batasan bukti tersebut?
Para penulis sederhana yakin dengan bukti. Keyakinan diturunkan terutama kerana kebimbangan tentang cara sesetengah kajian dijalankan termasuk kebanyakan kajian tidak melaporkan semua keputusan. Penyelidikan lanjutan mungkin mengubah keputusan-keputusan ini.
Adakah bukti ini mutakhir?
Bukti adalah terkini sehingga Jun 2021.
Apakah jurang yang dikenal pasti oleh penulis?
Mereka tidak tahu jika ada perbezaan antara kesan dan keselamatan diet-diet tersebut melebihi dua tahun.
Oleh kerana kebanyakan orang dalam kajian tiada penyakit jantung atau risiko penyakit jantung semasa direkrut, penulis tidak tahu jika ada perbezaan antara kesan dan keselamatan diet-diet ini dalam kalangan orang dengan penyakit jantung atau faktor risiko seperti keadaan-keadaan yang menyebabkan paras lemak abnormal dalam darah.
Apakah soalan berkaitan penting yang tidak ditangani dalam ulasan ini?
Pasukan pengarang tidak membandingkan jenis atau kualiti karbohidrat, lemak atau protein antara diet. Mereka juga tidak mengkaji perbezaan kos antara diet.
Jumaat, 28 Januari 2022
Diterjemah oleh Muhummad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (MUCM) Manipal University College Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my