Hari Asma Sedunia pada 5 Mei adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Inisiatif Global untuk Asma (GINA) untuk meningkatkan kesedaran dan penjagaan asma di seluruh dunia.
Cochrane Airways bekerjasama dengan penulis (biasanya doktor dan penyelidik) untuk menghasilkan ulasan sistematik mengenai penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), bronchiectasis dan penyakit paru-paru lain, dan asma.
Kami bertanya Dr Timothy Hinks, salah seorang penulis Ulasan Cochrane, mengenai penemuan ulasan terbaru ini.
Bagi mereka yang menghidap asma ringan, terdapat pelbagai jenis penyedut. Apa perbezaannya?
Terdapat dua jenis ubat penyedut utama untuk rawatan asma. ‘Penenang’ merawat gejala dengan mengendurkan saluran udara yang tersekat, ubatan ini adalah ‘beta-agonists’, beberapa di antaranya bertindak cepat (FABA) dan memberikan kelegaan gejala dalam 5-10 minit. ‘Pencegah’ adalah kortikosteroid yang disedut, iaitu merawat punca keradangan yang menyebabkan asma. Steroid yang disedut sangat berkesan untuk mengurangkan serangan asma yang teruk dan kematian akibat asma, tetapi ia perlu diambil selama beberapa hari sebelum seseorang mula merasakan kesannya. Kedua-dua ubat adalah penting dan bermanfaat. Jenis ubat yang berbeza ini pada asalnya diberikan dalam dua alat penyedut yang berasingan dan penghidap asma perlu menggunakan dua alat penyedut yang berbeza. Ini menyebabkan masalah di mana ramai orang terlalu bergantung pada alat penyedut penenang kerana ia melegakan gejala dengan pantas, tetapi ini menyebabkan beberapa orang tidak mengambil seberapa banyak penyedut pencegah yang diperlukan untuk merawat punca masalah dengan berkesan, meningkatkan risiko serangan asma yang teruk, dan dimasukkan ke hospital atau kematian.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini terdapat alat penyedut yang mengandungi beta-agonis dan kortikosteroid yang disedut dalam satu alat tunggal. Penyedut kombinasi telah terbukti sangat berkesan untuk asma sederhana dan teruk, tetapi hingga kini belum diketahui apakah ia mungkin menjadi kaedah yang terbaik untuk merawat penghidap asma ringan – yang merupakan majoriti penghidap asma.
Beritahu kami lebih lanjut mengenai ulasan ini; mengapa anda fikir penting untuk melakuknnya?
Kami melihat penggunaan penyedut kombinasi untuk asma ringan menggunakan strategi di mana penyedut hanya digunakan ketika orang mengalami gejala asma. Kami membandingkannya dengan dua pendekatan rawatan semasa: hanya menggunakan ubat ketika diperlukan, atau menggunakan penenang ketika perlu beserta penggunaan harian pencegah. Kami memilih untuk melakukan kajian ini sekarang kerana beberapa ujian klinikal yang besar telah dilaporkan dalam 3 tahun terakhir yang secara langsung menangani persoalan ini. Kesannya beberapa garis panduan kebangsaan dan antarabangsa sedang dikaji semula untuk menggambarkan penemuan kajian ini. Kami berhasrat untuk memberikan ulasan global yang objektif, mengenai bukti yang tersedia untuk memaklumkan pembuat keputusan, doktor dan penghidap asma.
Apa yang didapati oleh ulasan itu?
Kami mendapati bahawa penyedut kombinasi yang digunakan apabila perlu mengurangkan eksaserbasi asma teruk yang memerlukan steroid tablet dan kadar kemasukan kecemasan ke hospital dengan gejala asma ketika dibandingkan dengan rawatan ubat penenang sahaja.
Penyedut kombinasi yang digunakan apabila perlu adalah sama berkesan dengan penyedut steroid pencegahan harian. Orang yang menggunakan penyedut kombinasi apabila perlu mempunyai kadar kemasukan ke hospital yang lebih rendah dan secara keseluruhannya menggunakan steroid yang disedut pada dos yang lebih rendah.
Apakah mesej utama untuk doktor dan pesakit?
Penemuan menunjukkan bahawa penggunaan penyedut kombinasi apabila perlu adalah pendekatan yang berkesan dan selamat untuk merawat asma ringan, dan boleh mengurangkan bilangan serangan asma yang teruk. Ini adalah penting kerana asma adalah penyebab utama cuti kerja, kos ekonomi, dan penyakit kronik dan ia tetap menjadi penyebab kematian yang dapat dicegah bagi 400,000 orang setiap tahun di seluruh dunia. Pendekatan ini juga memudahkan rejim rawatan dan boleh mengurangkan mesej yang bertentangan atau tidak jelas kepada penghidap asma. Ini akan menyokong penggunaan strategi ini dalam panduan semasa. Namun kos sering membatasi ketersediaan alat sedut ini di banyak negara berpendapatan rendah dan sederhana, yang sangat bergantung pada terapi penenang atau steroid tablet. Kami memerlukan kajian pragmatik dan penilaian kos penjagaan kesihatan yang lebih lanjut di negara-negara tersebut untuk menyokong akses yang berpatutan terhadap ubat-ubatan asma yang terjamin kualitinya.
Selasa, 4 Mei, 2021
Diterjemahkan oleh Nicole Fong Chuit Jiet, RCSI & UCD Medical College. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan silahubungi cochrane@rcsiucd.edu.my