Dalam ulasan Cochrane yang diterbitkan baru-baru ini , pasukan pengarang meneroka sama ada mengambil jenis ubat tertentu boleh menyebabkan orang tua lebih cenderung menghidap demensia.
Membincangkan ulasan itu, Terry Quinn, pengarang kanan, berkata: "Hampir setiap minggu kita melihat tajuk utama surat kabar yang menggambarkan sesuatu yang baru yang diduga menyebabkan atau melindungi daripada demensia. Ciri-ciri ini menarik perhatian kerana kita semua ingin melindungi kesihatan otak kita, tetapi seringkali terdapat kurang ilmu di sebalik tajuk utama.
Terdapat banyak minat baru-baru ini mengenai sama ada ubat-ubatan preskripsi yang tertentu boleh menyebabkan demensia. Kelas ubat yang sering terlibat dalam menyebabkan demensia adalah 'antikolinergik'. Ubat dengan kesan antikolinergik biasanya diberikan untuk keadaan seperti demam, asma, dan masalah kencing.
Dalam ulasan ini kami mengumpulkan semua bukti yang diterbitkan mengenai preskripsi antikolinergik dan risiko demensia pada masa akan datang. Kami mendapati bahawa pengambilan ubat antikolinergik bagi jangka masa panjang dikaitkan dengan peningkatan risiko demensia pada masa depan, dan semakin banyak ubat antikolinergik yang diambil, semakin besar risikonya.
Ulasan yang melihat apakah faktor yang dapat meramal kesihatan masa depan memerlukan pendekatan yang berbeza untuk tinjauan sistematik piawai. Ulasan prognosis ini adalah kaedah yang agak baru untuk Cochrane tetapi sangat penting untuk bidang demensia.
Oleh itu, adakah orang yang mengambil ubat antikolinergik harus merasa bimbang? Pada tahap individu, risiko demensia adalah kecil dan banyak kajian yang disertakan mempunyai masalah yang melemahkan kredibiliti hasilnya. Namun, orang tua yang mengambil ubat antikolinergik mungkin ingin berbincang dengan penjaga kesihatan mereka untuk memastikan sama ada ubat antikolinergik mereka masih diperlukan."
Apakah matlamat ulasan ini?
Ubat dapat diklasifikasikan berdasarkan kemampuannya untuk menyekat tindakan sistem isyarat kimia di dalam badan yang disebut sebagai sistem kolinergik. Ubat yang melakukan ini dikatakan mempunyai kesan antikolinergik. Terdapat pelbagai skala pengukuran untuk mengukur kesan ubat antikolinergik. Kesan keseluruhan antikolinergik yang disebabkan oleh semua ubat antikolinergik yang diambil oleh seseorang disebut sebagai ‘beban antikolinergik.’
Kami bertujuan untuk menyiasat jika orang tua yang tidak mempunyai masalah dengan ingatan atau pemikiran lebih cenderung menghidap demensia apabila diberi ubat antikolinergik daripada orang yang tidak diberi ubat tersebut.
Penilaian beban antikolinergik boleh berbeza-beza dengan skala yang digunakan kerana skala yang berbeza menilai ubat dengan cara yang berbeza. Oleh itu, kami juga ingin mengetahui apakah skala pengukuran beban antikolinergik tertentu lebih berkaitan dengan peningkatan risiko demensia daripada skala lain.
"Kami menemui bahawa ubat antikolinergik [biasanya dipreskripsikan untuk keadaan seperti demam, asma dan masalah kencing] jangka panjang dikaitkan dengan peningkatan risiko demensia di masa depan dan semakin banyak ubat antikolinergik yang diambil, semakin besar risiko." Terry Quinn, pengarang kanan.
Mesej utama
Mungkin ada kaitan antara penggunaan ubat antikolinergik dan risiko demensia pada masa depan. Namun, terdapat keterbatasan dalam bukti yang diterbitkan, dan kita tidak dapat mengatakan secara pasti jika demensia disebabkan oleh ubat antikolinergik itu sendiri atau melalui faktor lain. Terdapat terlalu sedikit kajian yang membolehkan kami membandingkan pelbagai alat pengukuran antikolinergik.
Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Terdapat lebih daripada 40 juta orang tua di seluruh dunia yang hidup dengan demensia. Jumlah ini dijangka meningkat menjadi lebih dari 100 juta pada tahun 2050 dan pada masa ini terdapat pilihan rawatan yang sangat terhad. Oleh itu, adalah penting untuk mengenal pasti faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko demensia.
Disebabkan sistem kolinergik di otak memainkan peranan penting dalam pembelajaran dan ingatan, ada alasan teoritikal untuk mempercayai bahawa ubat-ubatan dengan kesan antikolinergik boleh menyebabkan demensia pada masa depan. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa ubat-ubatan ini mungkin mempunyai kesan yang tidak diingini pada ingatan dan pemikiran, yang berpotensi mengakibatkan demensia. Sekiranya ini berlaku, salah satu cara untuk mengurangkan bilangan orang tua yang menghidap demensia adalah dengan mengelakkan ubat-ubatan ini. Banyak ubat yang biasa digunakan mempunyai kesan antikolinergik, misalnya ubat untuk demam, insomnia (kesulitan tidur atau tidur cukup lama untuk merasa segar), dan kemurungan.
Dalam ulasan ini, pasukan penulis menyiasat hubungan antara ubat antikolinergik, seperti yang diukur dengan pelbagai skala pengukuran, dan demensia pada masa depan.
Apa hasil utama ulasan ini?
Penulis ulasan menemui 25 kajian, termasuk 968,428 orang yang berumur 50 tahun atau lebih. Walaupun terdapat banyak kajian, perbezaan reka bentuk dan kaedah hanya membolehkan penulis menggabungkan beberapa kajian tersebut dalam analisis. Mereka mendapati bahawa terdapat hubungan yang konsisten antara penggunaan ubat antikolinergik dan risiko demensia pada masa depan. Mereka tidak boleh mengatakan jika ubat-ubatan ini memainkan peranan penyebab; namun, sekiranya berlaku, pengambilan ubat-ubatan ini berpotensi menggandakan risiko demensia seseorang.
Dari skala pengukuran antikolinergik yang ada, pasukan penulis dapat menilai satu alat yang biasa digunakan - 'skala Beban Kognitif Antikolinergik.' Jika skala ini mengenal pasti seseorang mempunyai beban antikolinergik yang tinggi, risiko demensia pada masa depan adalah melebihi dua kali ganda lebih tinggi berbanding seseorang yang tidak mempunyai beban antikolinergik.
Bukti yang disertakan dalam ulasan ini adalah berkualiti rendah keseluruhannya dan kekuatan hubungan antara ubat antikolinergik dan demensia mungkin dibesar-besarkan. Sebagai contoh, ubat antikolinergik boleh diberikan untuk gejala awal demensia. Hal ini akan memberikan kaitan yang kuat tetapi tidak bermaksud bahawa ubat itu menyebabkan masalah ingatan. Begitu juga, terdapat risiko bahawa kajian hanya diterbitkan apabila mereka menunjukkan hubungan antara ubat antikolinergik dan demensia pada masa depan. Mungkin satu-satunya cara untuk menentukan jika ubat antikolinergik dikaitkan dengan demensia pada masa depan adalah dengan melakukan kajian di mana sebilangan orang menghentikan ubat antikolinergik mereka atau mengubahnya kepada alternatif dan yang lain meneruskan ubat-ubatan mereka secara biasa.
Adakah ulasan ini terkini?
Penulis mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 24 Mac 2021.
Rabu, 5 Mei, 2021
Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.