Kehamilan normal berlangsung kira-kira 40 minggu (tempoh gestasi) sejak mulanya haid terakhir wanita. Jika kehamilan berlangsung terlalu lama, seorang wanita dan doktornya mungkin ingin merangsang tubuh wanita itu untuk mula bersalin. Ini dipanggil induksi.
Bayi mungkin lebih berisiko untuk mati, sebelum atau sejurus selepas lahir, setelah gestasi yang berpanjangan. Walau bagaimanapun, induksi bersalin juga mungkin berisiko bagi ibu dan bayi, terutama jika wanita belum bersedia untuk bersalin.
Ujian semasa tidak dapat meramalkan sama ada bayi lebih baik kekal di dalam perut ibu atau sama ada pelahiran perlu diinduksi agar dapat bersalin lebih awal. Oleh itu, banyak hospital mempunyai polisi berapa lama kehamilan harus diteruskan.
Ulasan sistematik Cochrane kemas kini ini meneliti sama ada menginduksi pelahiran pada atau selepas 37 minggu gestatsi, boleh mengurangkan risiko bagi bayi.
Kajian-kajian
Para penulis mengenal pasti 34 kajian dengan lebih 21,000 wanita yang membandingkan polisi untuk menginduksi pelahiran, biasanya setelah 41 minggu gestasi, menunggu untuk memulakan pelahiran atau menunggu sebentar sebelum menginduksi pelahiran, atau kedua-duanya. Kajian-kajian dilakukan di Austria, Kanada, China, India, Finland, Malaysia, Belanda, Norway, Rusia, Sepanyol, Sweden, Thailand, Tunisia, Turki, UK dan AS.
Keputusan
Terdapat kurang kematian bayi di hospital yang ada polisi untuk induksi pelahiran setelah waktu tertentu berbanding menunggu untuk persalinan bermula secara semula jadi. Terdapat kurang kemasukan ke nurseri penjagaan intensif dan skor Apgar rendah pada lima minit selepas kelahiran (ujian kesihatan mudah untuk bayi) dalam kumpulan induksi berbanding kumpulan yang menunggu.
Kurang kelahiran caesarean diperlukan dengan induksi berbanding yang menunggu, dengan kadar yang serupa untuk kelahiran faraj terbantu, sama ada diinduksi atau tidak.
Para penulis tidak menemui perbezaan jelas di antara menunggu untuk pelahiran bermula secara semula jadi berbanding dengan polisi untuk induksi pelahiran pada atau lebih dari 37 minggu: risiko ibu mengalami trauma pada perineum mereka; perdarahan selepas kelahiran; tempoh ibu tinggal di hospital; penyusuan susu ibu; bayi dengan fungsi neurologi awal abnormal (ensefalopati); atau trauma kelahiran.
Tiada kajian menyediakan maklumat tentang kemurungan postnatal atau perkembangan kanak-kanak.
Kepastian bukti
Kebanyakan kajian dilaksana dan dilapor dengan baik. Kepastian (keyakinan) para penulis terhadap bukti pada amnya adalah sederhana hingga tinggi.
Mesej utama ulasan ini
Polisi induksi pelahiran berbanding menunggu untuk pelahiran bermula dikaitkan dengan kurang kematian bayi dan kelahiran caesarean; tiada perbezaan jelas dalam kelahiran faraj terbantu. Walaupun masa optimum untuk induksi dalam kalangan wanita berisiko rendah belum jelas, menawarkan kaunseling yang disesuaikan dengan wanita dapat membantu mereka membuat pilihan termaklum antara induksi pelahiran untuk kehamilan - terutama yang berterusan melebihi 41 minggu - dan menunggu kelahiran bermula secara semula jadi, atau menunggu masa yang ditentukan sebelum induksi pelahiran. Kaunseling perlu pastikan nilai dan pilihan wanita dibincangkan.
Ulasan ini memasukkan kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 17 Julai 2019.
Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).