Soalan ulasan
Ulasan ini bertujuan untuk mengumpul bukti penggunaan sebarang intervensi aktiviti fizikal untuk orang dengan penyakit jantung kongenital. Para pengarang ulasan berhasrat untuk membandingkan intervensi termasuk latihan senaman, promosi aktiviti fizikal atau latihan paru-paru tanpa intervensi (penjagaan biasa).
Latar belakang
Penyakit jantung kongenital adalah istilah yang diguna untuk pelbagai kecacatan lahir yang mempengaruhi fungsi jantung. Orang dengan penyakit jantung kongenital punyai kurang jangka hayat, kecergasan fizikal dan kualiti hidup. Walau bagaimanapun, kerana diagnosis pranatal yang lebih baik, prosedur pembedahan (sering dilakukan semasa awal kehidupan) dan intervensi lebih awal, kadar survival bagi mereka yang dilahirkan dengan penyakit ini telah bertambah baik secara dramatik, sehingga kebanyakan orang kini akan hidup hingga dewasa. Latihan senaman dan intervensi aktiviti fizikal dapat memperbaik kecergasan, aktiviti fizikal, survival dan kualiti hidup orang yang sihat, tetapi tidak jelas berapa berkesan program ini untuk orang dengan keadaan perubatan jangka panjang.
Ciri-ciri kajian
Para pengarang ulasan mencari kajian-kajian pada September 2019 dan mengenal pasti 15 kajian melibatkan 924 peserta. Kajian-kajian menggunakan tiga jenis intervensi utama, termasuk program yang direka untuk meningkatkan aktiviti fizikal, kecergasan aerobik dan kualiti hidup berkaitan kesihatan dan membandingkan intervensi aktiviti fizikal dan intervensi kawalan untuk orang dengan penyakit jantung kongenital.
Keputusan utama
Para pengarang memasukkan 15 kajian dengan 924 peserta. Lebih separuh peserta adalah wanita. Daripada 15 kajian, 5 melibatkan sejumlah 500 orang muda (berumur kurang dari 18 tahun) dan 10 kajan melibatkan sejumlah 424 peserta dewasa. Pengarang ulasan mendapati kecergasan fizikal dan aktiviti fizikal mungkin meningkat sedikit tetapi sangat tidak pasti tentang kualiti hidup. Pada masa ini tiada data yang menyatakan jika peningkatan kecergasan ini akan mengurangkan kunjungan ke hospital. Tetapi tiada rekod kematian atau peristiwa serius yang berkait dengan penyertaan dalam aktiviti fizikal.
Kualiti bukti
Penggunaan pendekatan saintifik yang sah (GRADE), kepastian bukti adalah sederhana untuk kecergasan, rendah untuk aktiviti fizikal dan sangat rendah untuk kualiti hidup. Kebanyakan hasil adalah terhad kerana bilangan peserta kajian yang kecil dan laporan perincian kajian yang lemah.
Rabu, 28 Oktober 2020
Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my