Ulasan Rencana: Intervensi telefon untuk mengurus gejala dalam kalangan dewasa dengan kanser

Intervensi telefon untuk mengurus gejala dalam kalangan dewasa dengan kanser. Ini sangat penting pada masa ini bagi orang dengan kanser, yang telah dinasihatkan untuk tinggal di rumah kerana COVID-19.

Orang dengan kanser mengalami pelbagai gejala seperti kemurungan, kegelisahan, keletihan dan sakit akibat penyakit dan rawatannya. Ia sering diurus dari hari ke hari, oleh pesakit atau ahli keluarga mereka. Pengurusan buruk gejala boleh membawa masalah lain, seperti kesukaran menjalankan tugas harian, tidur yang buruk, dan kualiti hidup yang buruk.

Pakar kanser telah mengembangkan intervensi psikologi dan pendidikan untuk memberi sokongan bagi pengurusan pelbagai gejala kanser. Intervensi ini sering dapat dilakukan melalui telefon di rumah pesakit dan bukannya secara bersemuka di hospital. Ini bermanfaat bagi pesakit dan keluarga mereka, yang lazimnya harus pergi ke hospital untuk temu janji pesakit luar. Ini sangat penting pada masa ini bagi orang dengan kanser, yang telah dinasihatkan untuk tinggal di rumah kerana COVID-19.

Penulis Ulasan Cochrane bertujuan untuk menjawab soalan-soalan berikut

1.      Adakah intervensi telefon untuk orang dewasa dengan kanser berkesan dalam menghilangkan gejala kanser dan rawatan kanser?

2.      Gejala manakah yang paling berkurangan apabila intervensi telefon digunakan?

3.      Apakah aspek intervensi telefon yang paling mengimpak dalam mengurangkan gejala kanser?

Dalam ulasan sistematik ini, intervensi telefon adalah intervensi yang diberikan hanya, atau terutamanya, melalui telefon. Ia diberi oleh profesional kesihatan.  Selain hubungan telefon, mereka memasukkan hubungan bersemuka, atau maklumat cetak, digital atau dalam talian.

Ulasan ini memasukkan 32 kajian dengan sejumlah 6250 peserta. Kajian-kajian boleh membandingkan intervensi telefon dengan intervensi telefon lain, dengan jenis intervensi lain (misalnya bersemuka), atau dengan penjagaan biasa. Para peserta kajian adalah orang dewasa dengan sebarang jenis kanser atau tahap. Sebilangan besar kajian (21) adalah dari Amerika Syarikat. Sembilan kajian merekrut wanita dengan kanser payudara, 11 melibatkan orang dengan kanser payudara, kolorektal, paru-paru, atau prostat. Empat belas kajian melibatkan orang dengan kanser peringkat awal. Jururawat memberikan intervensi dalam 24 kajian. Hanya 10 kajian melakukan intervensi melalui telefon sahaja, dan 16 kajian menggabungkan panggilan telefon dengan bahan lain (bercetak atau digital). Kajian-kajian mengukur gejala kemurungan, kegelisahan, distres emosi, ketidakpastian, keletihan, sakit, gejala seksual, dan sesak nafas. Kajian-kajian juga mengukur kesan semua gejala bersama (pengalaman gejala umum).



Kebanyakan kajian membandingkan intervensi telefon dengan penjagaan biasa sahaja atau penjagaan biasa dengan sokongan tambahan. Lapan kajian membandingkan dua intervensi telefon di antara satu sama lain; ada juga yang membandingkannya dengan penjagaan biasa.

Penulis kajian menganalisis keputusan kajian yang mencatat skor perubahan, atau yang mana mereka dapat mengira skor perubahan.

Dua puluh satu kajian menyediakan bukti tentang gejala kemurungan berbanding penjagaan biasa atau intervensi lain, tetapi hanya sembilan kajian menyediakan data yang boleh memberi skor perubahan. Kajian-kajian tersebut mendapati intervensi telefon dapat mengurangkan gejala kemurungan. Begitu juga, intervensi telefon dilihat berkesan berbanding penjagaan biasa atau intervensi lain dalam mengurangkan kegelisahan (16 kajian; 5 menyumbang skor perubahan); keletihan (9 kajian; 6 menyumbang skor perubahan); dan distres emosi (7 kajian; 5 menyumbang skor perubahan).

Intervensi telefon mudah untuk pesakit, keluarga dan pekerja penjagaan kesihatan mereka dan dilihat dapat melegakan beberapa gejala kanser dan rawatan kanser. Walau bagaimanapun, kajian-kajian adalah kecil, sangat berbeza antara satu sama lain, dan sesetengah bukti bercanggah. Adalah tidak jelas sama ada intervensi telefon sahaja, atau gabungan dengan pertemuan bersemuka, atau bahan cetak atau audio, paling berkesan dalam mengurangkan banyak gejala yang dialami oleh orang dengan kanser. Penulis menilai kepastian bukti sebagai sangat rendah.

Ulasan ini merangkumi bukti yang diterbitkan hingga January 2019.



Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Di sunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka_manipal)