Intervensi untuk serangan asma teruk akut dalam kanak-kanak: gambaran keseluruhan Ulasan Cochrane
Asma ialah penyakit kanak-kanak yang lazim yang disebabkan oleh penyempitan saluran udara kecil di dalam paru-paru. Penyempitan ini disebabkan oleh pembengkakan dan keradangan otot-otot di sekeliling saluran udara menjadikannya lebih ketat. Serangan asma akut menyebabkan sesak nafas, batuk, berdehit, dan kesesakan dada.
Apabila kanak-kanak mengalami serangan asma, rawatan standard adalah memberi steroid untuk mengurangkan keradangan dan pembengkakan (biasanya diberikan melalui mulut) dan ubat-ubatan yang disedut untuk merehatkan otot-otot di saluran-saluran udara (dipanggil “bronkodilator”). Dalam ulasan ini, rawatan standard itu dipanggil rawatan “barisan pertama”. Ubat-ubatan ini diakui sebagai rawatan terbaik untuk digunakan dalam kejadian pertama.
Sebilangan serangan asma kanak-kanak tidak bertambah baik dengan rawatan barisan pertama, dan lebih banyak rawatan diperlukan - biasanya di jabatan kecemasan atau hospital; dalam ulasan ini, kami memanggilnya rawatan ‘barisan kedua’. Walau bagaimanapun, rawatan barisan kedua yang terbaik untuk kanak-kanak yang tidak bertindak balas kepada rawatan barisan pertama kurang difahami. Banyak pilihan rawatan yang sedia ada, dan apa yang dilakukan untuk kanak-kanak berbeza dari hospital ke hospital.
Pasukan penulis ingin melihat kepada Ulasan Cochrane sedia ada mengenai rawatan barisan kedua untuk kanak-kanak yang mengalami serangan asma. Mereka berhasrat untuk dapat menyatukan maklumat ini dalam cara yang berguna dan mengemukakan bukti yang dapat membantu pengamal perubatan membuat keputusan rawatan yang terbaik untuk setiap kanak-kanak yang mengalami serangan asma apabila bronkodilator disedut dan steroid oral tidak memperbaiki simptom.
Gambaran keseluruhan menyertakan 13 Ulasan Sistematik Cochrane mengenai pelbagai pilihan rawatan, termasuk ubat yang disedut, ubat intravena, dan terapi lain. Gambaran keseluruhan ini menyediakan bukti paling terkini dari ulasan sistematik dengan meta-analisis kajian rawak terkawal terhadap asma teruk akut dalam kanak-kanak. Gambaran keseluruhan ini terkini sehingga Disember 2019.
Keputusan-keputusan utama
Untuk kanak-kanak dengan asma teruk akut yang memerlukan rawatan tambahan, para penulis mendapati bahawa:
- · magnesium sulfat intravena (bronkodilator yang diberi melalui vena) didapati mengurangkan tempoh tinggal di hospital;
- · tiada bukti menunjukkan sebarang rawatan mengurangkan risiko dimasukkan ke penjagaan intensif;
- · sebilangan rawatan didapati mengurangkan risiko kemasukan ke hospital. Ini termasuk menambahkan jenis rawatan bronkodilator disedut kedua (ubat antikolinergik seperti ipratropium bromida) kepada rawatan disedut standard (beta-agonis seperti salbutamol), memberikan magnesium sulfat intravena, dan menyedut campuran helium dan oksigen;
- · peristiwa buruk serius mungkin dikurangkan dengan magnesium sulfat disedut;
- · loya dan/atau muntah adalah lebih kerap dengan aminophylline (ubat bronkodilator lain diberi melalui vena); dan
- · menambahkan jenis rawatan bronkodilator disedut kedua (ubat antikolinergik seperti ipratropium bromida) mengurangkan risiko loya dan gegaran tetapi tidak muntah.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.
Ketahui lebih lanjut mengenai Cochrane Airways