Ulasan Cochrane mengenai steroid antenatal dalam mengurangkan risiko mortaliti dan morbiditi bayi adalah perkara penting dalam sejarah Cochrane. Logo Cochrane adalah berdasarkan “forest plot” dari penerbitan asal pada 1982. Ulasan ini dikemas kini baru-baru ini dan penulis utama, Fiona Stewart, memberitahu kami bagaimana logo mungkin kelihatan sekarang, berdasarkan data semasa.
Apa yang diberitahu dalam kemas kini ini?
Penemuan keseluruhan kami boleh disimpulkan seperti ini: steroid antenatal yang diberi kepada wanita berisiko bersalin pramasa mengurangkan risiko mortaliti dan morbiditi bayi. Dengan kata lain, bayi lebih cenderung untuk hidup dan kurang kemungkinan mengalami penyakit serius, seperti sindrom respiratori distres dan perdarahan intraventrikular (pendarahan di otak). Bukti juga mencadangkan mungkin ada sedikit risiko kematian atau jangkitan dalam kalangan ibu yang menerima steroid.
Apa yang berbeza dengan versi terdahulu?
Dalam versi ulasan terdahulu, para penulis mengenal pasti kurangnya bukti jelas dari negara bersumber rendah dan sederhana. Sejak itu Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menganjur dua kajian rawak terkawal untuk mengatasi jurang ini dengan tepat dan salah satu kajian tersebut kini disertakan dalam kemas kini terbaharu ini. Ini bermakna kami kini ada idea yang lebih baik tentang manfaat dan risiko kortikosteroid antenatal dalam pelbagai persekitaran di mana terdapat pelbagai tahap persediaan perkhidmatan kesihatan.
Perbezaan penting lain dari versi terdahulu adalah kami telah mempertimbang bukti-bukti yang bolehpercaya, selain kaedah standard yang kami guna untuk menilai risiko bias bagi menilai kepastian keseluruhan bukti. Kami menggunakan satu set kriteria yang dikembangkan oleh kumpulan Kehamilan dan Kelahiran Cochrane, untuk menilai sama ada setiap kajian dalam ulasan dapat menunjukkan kebolehpercayaannya dari segi tadbir urus penyelidikan dan kemungkinan keputusannya. Di mana ada kebimbangan tentang kebolehpercayaan kajian, kami hubungi penulis kajian untuk maklumat lanjut. Di mana kebimbangan kami tidak dapat diselesaikan atau tidak mendapat respon, kami tidak masukkan kajian tersebut dalam analisis kami.
Apakah ulasan sistematik? Video
Logo Cochrane berdasarkan “forest plot” penerbitan pertama ulasan ini. Setiap baris mendatar mewakili keputusan satu kajian, manakala bentuk berlian mewakili keputusan gabungan, anggaran terbaik kami sama ada rawatan adalah berkesan atau memudaratkan. Bentuk berlian berada di sebelah kiri garis menegak mewakili "tiada perbezaan", oleh itu bukti menunjukkan rawatan adalah bermanfaat. Adakah kemas kini ulasan ini mengubah “forest plot” di yang mana logo didasarkan?
Logo Cochrane mewakili bentuk “forest plot” pada 1982, jika analisis meta telah dilakukan menggunakan bukti kajian sedia ada pada masa itu untuk hasil mortaliti neonatal. Sekarang, selepas beberapa dekad, kami dapat lebih banyak bukti dan jika logo itu dibuat dari awal lagi, sekarang kami tidak akan dapat memuatkan garis mendatar yang cukup untuk menggambarkan bilangan kajian yang kini kami sertakan dalam analisis! Yang paling penting, bentuk berlian di bahagian bawah masih berada di tempat yang sama kerana analisis pada logo dan analisis dalam kemas kini kami menunjukkan steroid antenatal mengurangkan risiko mortaliti neonatal berbanding plasebo atau tanpa rawatan.
Apa yang boleh diambil oleh doktor/dan atau ibu dari bukti ini?
Doktor dan ibu boleh meyakini bukti kepastian tinggi untuk menyokong penggunaan steroid antenatal bagi wanita yang berisiko bersalin pramasa, tidak kira di mana sahaja anda berada di dunia ini kerana bukti tersebut konsisten di persekitaran bersumber tinggi, menengah dan rendah. Bukti tersebut juga menunjukkan pemberian steroid antenatal kepada ibu adalah selamat dan tidak mengakibatkan mudarat jangka panjang kepada bayi mereka. Walau bagaimanapun, adalah penting ia hanya diberi kepada wanita yang dianggap berisiko tinggi bersalin pramasa kerana masa yang tepat adalah sangat penting untuk memastikan manfaat maksimum.
Adakah ulasan ini akan dikemas kini lagi?
Ya, ulasan akan dikemas kini untuk memasukkan keputusan kajian yang masih berlangsung. Masih ada beberapa soalan; pertama, sama ada steroid antenatal mempunyai manfaat yang sama dalam pelbagai julat usia gestasi. Majoriti bukti dalam ulasan berasal dari kajian di mana wanita sangat pramasa (sekitar 28-34 minggu). Kami ingin tahu sama ada kesan kortikosteroid berbanding plasebo adalah serupa pada pramasa terkemudian (kira-kira 34-36 minggu). Kami tahu sekurang-kurangnya satu kajian besar - ACTION-II, yang dianjurkan oleh WHO - yang menyiasat kortikosteroid antenatal berbanding plasebo dalam kalangan wanita pada 34-36 minggu. Kami menjangka dapat memasukkan keputusan kajian tersebut, dan empat kajian kecil yang sedang berlangsung, dalam kemas kini lain dalam tempoh setahun atau lebih. Kedua, kami berminat dengan kesan steroid antenatal pada kumpulan tertentu yang kini buktinya sangat terhad; misalnya, wanita yang bermasalah perubatan semasa hamil seperti diabetes, atau wanita yang hamil lebih dari satu anak.
Khamis, 18 Februari 2021
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.