Ulasan Rencana: Membantu keluarga menjamin peningkatan penjagaan kecemasan untuk pesakit dengan keadaan yang mengancam nyawa

Intervensi untuk menambah penglibatan pesakit dan keluarga dalam peningkatan penjagaan untuk penyakit akut yang mengancam nyawa di persekitaran kesihatan komuniti dan hospital

Kecemasan perubatan
Keadaan yang mengancam nyawa adalah kecemasan perubatan. Semakin cepat seseorang mendapatkan penjagaan perubatan yang betul, semakin besar peluang untuk hidup. Apabila pesakit dan keluarga mereka tahu tanda-tanda kecemasan perubatan yang mengancam nyawa dan cara terbaik untuk menyampaikan kebimbangan kemerosotan kesihatan, mereka boleh bertindak segera untuk mendapatkan penjagaan kecemasan dan bekerjasama dengan staf untuk memastikan respons yang tepat pada masanya.

Meningkatkan penglibatan pesakit dan keluarga
Pendidikan dan bimbingan tersedia untuk membantu pesakit dan keluarga mereka, dan profesional penjagaan kesihatan bekerjasama untuk memastikan pesakit dan keluarga boleh mendapatkan penjagaan kecemasan apabila diperlukan. Strategi-strategi ini memfokus kepada:

  •        membantu pesakit dan keluarga mereka menyedari perubahan dalam keadaan pesakit dan memberitahu staf  penjagaan kesihatan;
  •        memperkasa pesakit dan keluarga untuk lebih yakin dalam mengaturkan penjagaan penting atau kecemasan;
  •        staf penjagaan kesihatan memberi pesakit dan keluarga peluang untuk menyampaikan kebimbangan mereka, dan mendengar secara aktif semasa rundingan kecemasan; dan
  •        melatih staf penjagaan kesihatan untuk respon dengan betul apabila pesakit dan keluarga mereka menyuarakan kebimbangan tentang keadaan pesakit.

Mengapa kami lakukan Ulasan Cochrane ini
Kami ingin tahu jika strategi pendidikan dan bimbingan dapat membantu pesakit dan keluarga mengenal perubahan keadaan kesihatan apabila mengancam nyawa dan bertindak untuk membantu menjamin penjagaan kecemasan.

Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menguji strategi untuk melibatkan dan memperkasa pesakit dan keluarga mereka mendapatkan penjagaan kecemasan untuk keadaan perubatan yang mengancam nyawa. Kami juga menyertakan kajian-kajian di mana strategi tersebut menyertakan komponen yang mensasarkan pembolehan respons kakitangan.

Kami mencari kajian yang mana strategi yang diterima orang ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan-kesan strategi.

Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 21 Oktober 2019.

Apa yang kami temui
Kami menemui sembilan kajian yang relevan dalam pelbagai persekitaran penjagaan kesihatan yang mana 436,684 pesakit dan ahli keluarga mengambil bahagian. Tujuh strategi yang dikaji melibatkan sesi pendidikan atau bimbingan bersemuka untuk pesakit dan keluarga, dan dua kajian melibatkan program pendidikan untuk staf penjagaan kesihatan serta pesakit dan keluarga mereka. Semua strategi mempunyai bahagian pendidikan dan bahagian penglibatan (contohnya, pemantauan kendiri; menggunakan rancangan tindakan); dua strategi tambahan menumpu kepada kemahiran komunikasi dan menggunakan bahasa yang sama.

Semua kajian membandingkan penjagaan biasa dengan menerima strategi untuk meningkatkan penglibatan pesakit dan keluarga mereka dalam mendapatkan penjagaan kecemasan. Di dalam empat kajian, orang dalam kumpulan penjagaan biasa juga menerima maklumat atau strategi pendidikan. Kajian-kajian berbeza dalam reka bentuk dan penilaian, menyukarkan untuk membandingkan semua keputusannya.

Kami tidak menemui sebarang kajian yang melihat kepuasan pesakit, atau keluarga mereka dengan penjagaan, atau pendapat mereka tentang penglibatan dalam mendapatkan penjagaan kecemasan.

Apakah keputusan ulasan kami?
Berbanding penjagaan biasa, strategi untuk memperbaik penglibatan dalam menjamin penjagaan kecemasan:

  •        mungkin membantu pesakit dan keluarga mereka mengetahui tanda-tanda bahaya yang perlu diperhatikan, dan mengetahui tindakan yang betul untuk diambil (4 kajian; 3086 orang);
  •        mungkin mempunyai sedikit hingga tiada kesan terhadap kelahiran mati dalam kehamilan (1 kajian; 409,175 orang); dan
  •        mungkin tidak meningkatkan tahap keresahan dalam kalangan pesakit dan keluarga mereka (1 kajian; 2,597 orang).

Kami tidak pasti jika strategi-strategi itu mempengaruhi:

  •        keyakinan orang untuk mengenal dan melaporkan keadaan kesihatan yang bertambah buruk (2 kajian; 217 orang); atau
  •        tempoh antara permulaan simptom yang mengancam nyawa dan penerimaan rawatan kecemasan (4 kajian; 27,023 orang).

Keyakinan terhadap keputusan kami
Kami sederhana yakin tentang kesan strategi-strategi tersebut terhadap tahap keresahan dan kelahiran mati, walaupun keputusan-keputusan ini mungkin berubah dengan bukti lanjut. Kami kurang yakin tentang penemuan-penemuan lain, yang mungkin berubah dengan bukti lanjut. Sesetengah kajian yang kami bandingkan mempunyai bilangan kecil orang yang mengambil bahagian, oleh itu keputusannya mungkin tidak boleh percaya.

Kesimpulan
Strategi-strategi untuk membantu pesakit dan keluarga mereka untuk menjamin penjagaan kecemasan mungkin memperbaik pengetahuan mereka tentang keadaan-keadaan yang mengancam nyawa, dan mungkin tidak meningkatkan keresahan mereka lebih daripada penjagaan biasa

Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman Bin Ahmad Rizal (Persatuan Peterjemah Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Univeriti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi amiruliman9000@gmail.com.