BIlangan orang yang tiada cukup makanan di dunia telah meningkat sejak 2015. Kebanyakan mereka tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC), terutama di Asia dan Afrika. Ketidakjaminan makanan adalah apabila orang tidak mempunyai akses fizikal, sosial dan ekonomi kepada makanan yang cukup, selamat dan berkhasiat untuk kesihatan. Iaitu mereka tiada cukup wang untuk membeli makanan, atau tiada tempat untuk membeli atau tidak dapat mencari makanan berdekatan tempat dekat mereka. Ketidakjaminan makanan mempengaruhi keadaan kesihatan, sosial dan ekonomi individu dan komuniti.
COVID-19 dan ketidakjaminan makanan
Ketidakjaminan makanan telah meningkat akibat langkah-langkah yang dilaksana di seluruh dunia untuk mencegah penyebaran COVID-19. Sekat keluar masuk mengehadkan pergerakan orang dan keupayaan mereka untuk bekerja, yang menyebabkan hilang pendapatan dan kehidupan, terutama bagi orang dalam ekonomi tidak formal. Ini membataskan akses fizikal dan ekonomi kepada makanan. Gangguan bekalan makanan, dari penuaian hingga pengangkutan hingga bekalan tenaga kerja, memberi kesan negatif terhadap harga dan ketersediaan makanan. Penutupan sekolah mempengaruhi berjuta-juta kanak-kanak yang mengakses makanan melalui skim makanan sekolah. Kesan sekat keluar masuk dirasakan di semua tempat, tetapi mempengaruhi orang yang miskin dan rentan secara tidak seimbang.
Ulasan Cochrane ini melihat kesan intervensi di peringkat komuniti terhadap individu, isi rumah dan komuniti di LMIC untuk memperbaiki akses kepada makanan berkhasiat. Hasil utama adalah jaminan makanan, yang diukur dengan prevalens kekurangan zat makanan, perkadaran perbelanjaan isi rumah untuk makanan, dan perkadaran orang dan isi rumah yang makan pelbagai diet, iaitu, pelbagai makanan dari kumpulan makanan yang berbeza. Hasil lain mencerminkan status pemakanan, seperti berapa baik pertumbuhan kanak-kanak (terbantut), berat badan rendah (sampu) dan fungsi kognitif (pemikiran dan pemahaman).
Keputusan-keputusan utama
Penulis ulasan mendapati 59 kajian yang menilai intervensi yang berbeza, terutamanya di Afrika dan Amerika Latin. Banyak kajian menilai pemindahan tunai, yang merupakan program kebajikan di mana wang diberi kepada isi rumah. Dari jumlah tersebut, 21 kajian menilai pemindahan wang tunai tanpa syarat, di mana tiada syarat untuk menerima wang tersebut, dan 14 kajian menilai pemindahan wang tunai bersyarat, di mana orang harus memenuhi syarat tertentu untuk menerima wang tersebut. Tujuh belas kajian melihat intervensi penjanaan pendapatan (contohnya, pengurusan ternakan atau kumpulan usaha diri), empat kajian baucar makanan, empat kajian memberi subsidi makanan dan nutrisi, dan dua kajian melihat intervensi sokongan sosial seperti simpanan dan pinjaman desa dan program geran komuniti.
Pemindahan tunai tanpa syarat meningkatkan jaminan makanan tetapi membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada fungsi atau perkembangan kognitif. Ia boleh meningkatkan kepelbagaian dan dapat mengurangkan bantut. Adalah sangat tidak pasti sama ada pemindahan tunai tanpa syarat mengurangkan perbelanjaan isi rumah untuk makanan atau sampu. Bukti dari satu kajian menunjukkan pemindahan tunai tanpa syarat mengurangkan bayi yang berlebihan berat badan.
Pemindahan tunai bersyarat membuat sedikit atau tiada dalam perkadaran perbelanjaan isi rumah untuk makanan dan memperbaiki sedikit fungsi kognitif kanak-kanak, mungkin memperbaiki sedikit kepelbagaian diet, dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan untuk bantut atau sampu. Bukti dari dua kajian menunjukkan pemindahan tunai bersyarat tiada perbezaan dalam perkadaran kanak-kanak yang berlebihan berat badan.
Strategi penjanaan pendapatan membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap bantut atau sampu, mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap jaminan makanan dan dapat memperbaiki kepelbagaian diet dalam kalangan kanak-kanak tetapi bukan untuk isi rumah.
Baucar makanan mungkin mengurangkan bantut, mungkin memperbaiki kepelbagaian diet dan boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam sampu.
Subsidi makanan dan nutrisi dapat memperbaiki kepelbagaian diet dqalam kalangan kanak-kanak sekolah. Kami sangat tidak pasti tentang kesan perbelanjaan isi rumah terhadap makanan sihat sebagai perkadaran jumlah perbelanjaan makanan.
Intervensi sokongan sosial seperti geran komuniti mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada sampu dan mungkin sedikit atau tiada perbezaan kepada bantut. Kami sangat tidak pasti tentang kesan simpanan dan pinjaman desa terhadap keselamatan makanan atau kepelbagaian diet.
Tiada kajian yang dimasukkan melapor satu hasil utama: prevalens kekurangan zat makanan.
Kesimpulan
Ulasan ini menyediakan pembuat dasar dengan asas bukti yang komprehensif untuk menilai kesan pelbagai intervensi di peringkat masyarakat untuk menangani akses kepada makanan di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC). Bukti menunjukkan UCT dapat memperbaiki jaminan makanan tetapi para penulis ulasan kurang yakin tentang kesan intervensi lain. Beberapa batasan ulasan termasuklah tidak memiliki semua maklumat yang diperlukan tentang hasil apa yang diukur oleh kajian-kajian, terpaksa membuat penilaian mengenai ukuran hasil yang harus dilaporkan dan ketakupayaan mengumpulkan keputusan-keputusan semua kajian yang melaporkan hasil yang sama. Pembatasan lain adalah penulis ulasan tidak mengetahui ciri-ciri intervensi khusus yang memungkinkan atau menghalang pelaksanaan intervensi yang efektif.
Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my