Adakah program pendidikan dan latihan mengurangkan tingkah laku agresif terhadap pekerja penjagaan kesihatan?
Apakah tingkah laku agresif?
Organisasi Buruh Antarabangsa menggunakan istilah "keganasan di tempat kerja" yang ditakrif sebagai "sebarang tindakan, kejadian atau tingkah laku yang berlainan dari tingkah laku yang munasabah di mana seseorang diancam, dicederakan, cedera semasa, atau akibat langsung dari pekerjaannya”. Mengalami tingkah laku agresif di tempat kerja boleh mempengaruhi kemampuan orang untuk bekerja dengan baik, boleh menyebabkan masalah kesihatan fizikal dan mental, dan juga mempengaruhi kehidupan di rumah. Tingkah laku agresif boleh menyebabkan tidak hadir bekerja; sesetengah orang mungkin meninggalkan pekerjaan mereka jika mereka mengalami tingkah laku agresif.
Mengapa kami membuat Ulasan Cochrane ini?
Tingkah laku agresif yang dipamer oleh pesakit dan keluarga, rakan, dan penjaga mereka adalah masalah serius bagi pekerja penjagaan kesihatan. Ini boleh mempengaruhi kualiti dan keselamatan penjagaan kesihatan yang mereka berikan.
Program pendidikan dan latihan telah berkembang bagi mengurangkan - atau menghapuskan - tingkah laku agresif di tempat kerja. Program-program tersebut bertujuan mengajar dan melatih pekerja penjagaan kesihatan tentang:
Apa yang dilakukan penulis?
Para penulis mencari kajian yang mengkaji program pendidikan dan latihan bagi mencegah atau mengurangkan tingkah laku agresif terhadap pekerja penjagaan kesihatan.
Mereka menyertakan kajian rawak terkawal, yang mana program yang diterima oleh orang ditentukan secara rawak dan kajian yang mana kesan program diukur sebelum dan selepas di antara orang menamatkan program tersebut dan kumpulan orang yang tidak mengambil bahagian.
Mereka ingin tahu jika program pendidikan dan latihan dapat:
Bukti yang diterbitkan sehingga Jun 2020 disertakan.
Apa yang mereka temui
Para penulis menemui sembilan kajian dengan 1688 pekerja penjagaan kesihatan (termasuk kakitangan sokongan penjagaan kesihatan, seperti penyambut tetamu) yang bekerja dengan pesakit dan keluarga, rakan, dan penjaga pesakit. Kajian-kajian tersebut membandingkan kesan menerima program pendidikan dan latihan dengan kesan tidak menerima program sedemikian.
Kajian-kajian dijalankan di hospital atau pusat penjagaan kesihatan (empat kajian), di wad psikiatri (dua kajian), dan di pusat penjagaan ‐jangka panjang (tiga kajian) di Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom, Sweden, dan Taiwan.
Semua program menggabungkan pendidikan dengan latihan yang diberi sama ada atas talian (empat kajian) atau ‐bersemuka (lima kajian). Dalam lapan kajian, orang yang mengambil bahagian disusul sehingga tiga bulan (jangka ‐pendek), dan dalam satu kajian selama lebih dari satu tahun (jangka ‐panjang).
Apakah keputusan-keputusan ulasan ini?
Program pendidikan dan latihan tidak mengurangkan bilangan laporan tingkah laku agresif terhadap pekerja penjagaan kesihatan (lima kajian), mungkin kerana program-program tersebut membuat pekerja penjagaan kesihatan lebih cenderung melaporkan insiden.
Program pendidikan dan latihan mungkin memperbaiki pengetahuan pekerja penjagaan kesihatan tentang tingkah laku agresif di tempat kerja dalam jangka pendek (satu kajian), tetapi adalah tidak pasti sama ada ini akan memberi kesan jangka ‐panjang (satu kajian).
Program pendidikan mungkin memperbaiki sikap pekerja penjagaan kesihatan terhadap tingkah laku agresif dalam jangka pendek (lima kajian), walaupun keputusan ini bervariasi bergantung kepada jenis dan tempoh program disediakan.
Program pendidikan mungkin tidak mempengaruhi kemahiran pekerja penjagaan kesihatan dalam menangani tingkah laku agresif (dua kajian) dan mungkin tidak mempengaruhi sama ada kesan peribadi yang tidak diingini atau negatif setelah pekerja penjagaan kesihatan mengalami tingkah laku agresif (satu kajian).
Bolehkah keputusan ini dipercayai?
Para penulis tidak yakin dengan keputusan ulasan ini kerana keputusan ini dilaporkan dari bilangan kajian yang kecil - sesetengah dengan jumlah peserta yang kecil - dan kerana beberapa kajian menunjukkan perbezaan keputusan yang besar. Mereka mengenal pasti masalah yang melibatkan cara beberapa kajian direka, dijalankan, dan dilaporkan. Keputusan ini mungkin berubah jika bukti lanjut tersedia.
Mesej utama
Walaupun program pendidikan dan latihan mungkin meningkatkan pengetahuan dan sikap positif pekerja penjagaan kesihatan, program sedemikian mungkin tidak mempengaruhi bilangan insiden tingkah laku agresif yang dialami oleh pekerja penjagaan kesihatan.
Lebih banyak kajian diperlukan, terutamanya di tempat kerja penjagaan kesihatan di mana tingkah laku agresif adalah tinggi.
· September 11, 2020
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.