Ulasan Rencana: Penjagaan paliatif pakar di hospital untuk orang dewasa yang berpenyakit terminal

/news/ulasan-rencana-penjagaan-paliatif-pakar-di-hospital-untuk-orang-dewasa-yang-berpenyakit

Sejauh mana keberkesanan rawatan paliatif pakar di hospital untuk orang dewasa berpenyakit terminal dan penjaga mereka yang tidak bergaji, dan adakah kos-efektif?

Mengapakah soalan ini penting?

 Penjagaan paliatif bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup orang yang berpenyakit terminal (penyakit yang tidak boleh sembuh dan berkemungkinan akan menyebabkan kematian). Ia bertujuan untuk membantu pesakit, penjaga dan keluarga mereka yang tidak berupaya menguruskan gejala yang menyebabkan kesusahan (misalnya, kesakitan) dan untuk memenuhi keperluan pesakit dan penjaga mereka yang tidak bergaji dari aspek sokongan psikologi, sosial dan rohani. Penjagaan paliatif dikenali sebagai pendekatan 'holistik', kerana menganggap manusia sebagai ‘keseluruhan’ dan rangkaian sokongan mereka - bukan hanya penyakit dan gejalanya. Penjagaan paliatif biasanya melibatkan sekumpulan orang yang merangkumi doktor, jururawat, ahli farmasi, ahli profesional kesihatan sekutu lain-lain, pekerja sosial, pendeta atau sukarelawan.

Semakin banyak hospital menubuhkan perkhidmatan rawatan paliatif pakar (dikenali sebagai (HSPC)). HSPC boleh disediakan:

·       - sama ada di hospital itu sendiri - untuk pesakit dalam atau pesakit luar;

·       - atau sebagai 'hospital-di-rumah' - yang bermaksud pasukan hospital mengunjungi pesakit dalam komuniti;

·       - atau merentasi pelbagai tempat (contohnya, hospital dan rumah).

Untuk mengetahui sama ada HSPC memberi manfaat kepada pesakit dan penjaga mereka yang tidak berbayar, dan sejauh mana kos-efektif, kami mengkaji bukti dari penyelidikan.

Bagaimanakah kami mengenal pasti dan menilai bukti?

Pertama, kami mencari semua kajian yang berkaitan dalam literatur perubatan. Kami secara khusus mencari:

·       - kajian rawak terkawal: ini adalah kajian di mana orang dibahagikan secara rawak kepada kumpulan rawatan yang berbeza. Jenis kajian ini memberikan bukti yang paling kuat mengenai kesan rawatan;

·       - kajian yang membandingkan HSPC dengan rawatan hospital tanpa rawatan paliatif pakar; penjagaan yang diterima masyarakat; atau rawatan hospital di luar hospital.

Kami kemudiannya membandingkan keputusan-keputusannya, dan meringkaskan bukti dari semua kajian. Akhirnya, kami menaksir kejituan bukti itu. Kami mempertimbangkan faktor-faktor seperti cara kajian dijalankan, saiz kajian, dan konsistensi penemuan merentasi semua kajian. Berdasarkan penilaian kami, kami mengkategorikan bukti sebagai kepastian yang sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi.

Apa yang penulis dapati?

Kami menemui 42 kajian yang melibatkan sejumlah 6678 pesakit dan 1101 penjaga atau ahli keluarga.

Bukti dari kajian yang kami temui menunjukkan bahawa, jika dibandingkan dengan rawatan biasa:

·       - HSPC sedikit sebanyak dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit dari aspek kesihatan, keseluruhan beban gejala dan kepuasan terhadap rawatan;

·       - HSPC mungkin meningkatkan kemungkinan meninggal dunia di tempat pilihan mereka. 

Kesan HSPC terhadap kesakitan, beban penjaga, atau kejadian yang tidak diingini adalah tidak jelas. Ini kerana bukti yang kami temui tidak kukuh (bukti kepastian yang sangat rendah). Begitu juga, kerana bukti yang berkaitan dengan kos mempunyai kepastian yang sangat rendah, kos-efektif HSPC tidak jelas.

Apakah maksudnya?

Apabila dibandingkan dengan rawatan biasa, HSPC sedikit sebanyak dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit, keseluruhan beban gejala dan kepuasan terhadap rawatan; Ini juga dapat meningkatkan peluang mereka meninggal dunia di rumah. Walau bagaimanapun, penyelidikan pada masa depan cenderung terhadap perubahan penemuan ini, kerana ia berdasarkan bukti kepastian rendah. Kami memerlukan kajian lanjut untuk menilai kesan HSPC terhadap keputusan lain, seperti kesakitan, beban penjaga, kejadian yang tidak diingini dan kos-efektif.

Seberapa terkinikah ulasan ini?

Bukti dalam Cochrane Review adalah terkini sehingga Ogos 2019.

Membincangkan ulasan ini, Dr. Sabrina Bajwah, Pensyarah Kanan Klinikal, King's College London dan penulis pertama ulasan ini, menjelaskan, "Unjuran berdasarkan populasi telah menunjukkan bahawa keperluan penjagaan paliatif akan meningkat di masa depan. Walaupun kita harus menafsirkan keputusannya dengan berhati-hati, tinjauan sistematik kami memberi para doktor, penggubal dasar dan pemberi dana beberapa penjelasan mengenai manfaat rawatan paliatif hospital. Ini dapat membantu membuat keputusan yang tepat ketika ingin mengutamakan pemberian rawatan paliatif khusus yang berpusat di hospital. Ia juga memberi pesakit dan penjaga mereka maklumat yang berharga untuk memaklumkan pilihan rawatan mengenai bagaimana perawatan paliatif hospital dapat membantu meningkatkan perawatan berpusat pada pesakit dan meningkatkan kemungkinan meninggal dunia di tempat pilihan mereka, yang seringnya di rumah. Penyediaan rawatan paliatif adalah keperluan etika bagi mereka yang tidak mungkin bertahan dan mungkin mempunyai kelebihan untuk mengalihkan orang yang bakal meninggal dari hospital serta memberikan rawatan yang diingini orang. Manfaat ini mungkin sangat relevan secara klinikal pada masa pandemik dan pada peringkat penyakit yang lebih lanjut. " 

30 September 2020

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus - kelas siswazah 2020). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).