Adakah cukai ke atas kandungan lemak makanan mengurangkan obesiti dan membantu orang makan kurang lemak dan lemak tepu?
Apakah itu obesiti?
Indeks jisim badan (BMI) biasanya merupakan ukuran yang berguna untuk menunjukkan sama ada seseorang mempunyai berat badan yang sihat untuk ketinggian mereka. BMI 18 ke 25 menunjukkan berat badan yang sihat, BMI lebih dari 25 dianggap berat badan berlebihan, dan BMI melebihi 30 menunjukkan obesiti.
Obesiti secara umumnya disebabkan pengambilan lebih banyak tenaga (kalori) daripada apa yang anda habiskan melalui aktiviti fizikal atau senaman. Tubuh badan menyimpan lebihan tenaga sebagai lemak.
Obesiti boleh menyebabkan keadaan yang serius dan mengancam nyawa, termasuk diabetes jenis 2, penyakit jantung koronari, beberapa jenis kanser (seperti kanser payu dara dan usus), dan angin ahmar. Obesiti juga boleh menjejaskan kualiti hidup (kesejahteraan).
Apakah itu lemak?
Lemak adalah penting untuk diet yang sihat dan seimbang. Lemak membantu tubuh badan menyerap beberapa vitamin, dan merupakan sumber beberapa asid lemak yang tidak dapat dihasilkan tubuh badan. Jenis lemak utama dalam makanan adalah:
· tepu (kebanyakannya dari produk haiwan, seperti daging, susu lembu, keju, krim, dan mentega); dan
· tidak tepu (kebanyakannya ditemui dalam minyak daripada tumbuhan dan ikan).
Garis panduan kesihatan biasanya mengesyor:
· mengurangkan jumlah keseluruhan lemak yang mereka makan;
· menghadkan jumlah lemak tepu yang mereka makan; dan
· makan lemak tidak tepu dan bukan lemak tepu.
Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini
Kadar berat badan berlebihan dan obesiti meningkat di seluruh dunia dan merupakan masalah kesihatan awam yang utama. Kami ingin mengetahui sama ada meningkatkan harga makanan yang mempunyai banyak lemak atau lemak tepu dapat membuatkan orang tidak memakannya, dan mengurangkan obesiti.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang melihat kepada kesan cukai terhadap kandungan lemak makanan. Kami berminat dengan bagaimana cukai mempengaruhi:
· jumlah lemak, dan lemak tepu yang dimakan;
· jumlah kalori yang dimakan;
· kalori yang dimakan dari semua lemak dan lemak tepu; dan
· kadar berat badan berlebihan dan obesiti.
Tarikh carian:
Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga September 2019.
Apa yang kami temui
Kami menemui dua kajian dari Denmark, yang dijalankan pada tahun 2011 hingga 2012. Satu kajian melihat kepada bagaimana cukai terhadap beberapa makanan tinggi lemak mempengaruhi permintaan isi rumah; kajian lain melihat kepada maklumat mengenai jualan pasar raya bagi makanan tinggi lemak tertentu (daging cincang, krim, dan krim masam). Mereka membandingkan keputusan dengan data sebelum cukai bermula.
Kedua-dua kajian melihat kepada sebilangan kecil makanan yang dibeli, tetapi bukan makanan apa yang dimakan. Mereka tidak mengukur jumlah lemak atau lemak tepu yang dimakan.
Apakah keputusan ulasan kami?
Jika jumlah makanan yang dibeli mencerminkan jumlah makanan yang dimakan, maka percukaian kandungan lemak makanan tertentu:
· mungkin mengurangkan jumlah lemak yang dimakan sebanyak 41.8 gram seminggu untuk setiap orang di dalam isi rumah, dalam satu kajian terhadap 2000 isi rumah; dan
· mungkin mengurangkan jumlah lemak tepu yang dimakan (dalam daging cincang dan krim), dalam satu kajian terhadap 1293 pasar raya.
Tiada kajian mengukur kesan percukaian kandungan lemak makanan terhadap kalori yang dimakan, obesiti atau berat badan berlebihan, atau jumlah penjualan makanan.
Bolehkah keputusan ini dipercayai?
Kami tidak yakin dengan keputusan itu kerana bukti dari hanya dua kajian; dan kajian-kajian ini hanya mengukur jumlah makanan dibeli yang kecil, dan tidak mengukur makanan yang dimakan. Satu kajian tidak melaporkan statistik mengenai ketepatan keputusannya.
Keputusan adalah dari kajian pemerhatian, yang mana penyelidik memerhatikan kesan satu faktor (seperti percukaian) tanpa cuba mengubah siapa yang, atau tidak, mengalaminya. Kajian pemerhatian tidak memberikan bukti yang boleh dipercayai seperti kajian rawak terkawal, yang mana rawatan diterima ditentukan secara rawak.
Kesimpulan
Kami tidak menemui bukti yang boleh dipercayai yang mencukupi untuk mengetahui sama ada cukai terhadap kandungan lemak makanan menyebabkan orang makan kurang lemak, atau lemak tepu.
Kami tidak menemui sebarang bukti mengenai bagaimana cukai terhadap kandungan lemak makanan mempengaruhi obesiti atau berat badan berlebihan.
Keputusan ulasan kami akan berubah apabila bukti lebih lanjut tersedia.
Membincangkan penemuan ulasan ini, ketua penulis Stefan Lhachimi berkata,”Cukai terhadap lemak tepu pada prinsipnya merupakan pendekatan yang baik untuk mengurangkan pengambilan apa yang disebut makanan ringan, kumpulan produk makanan yang sangat sukar untuk ditakrifkan dalam istilah undang-undang. Dengan percukaian makanan ringan yang merupakan komponen utama dan tidak sihat, iaitu lemak tepu, pengambilannya boleh tidak digalakkan.” Dia melanjutkan, “Cukai lemak Denmark merupakan peluang yang hilang. Sebagai penyelidik yang aktif adalah sedih melihat pihak berkuasa yang bertanggungjawab tidak melaksanakan penilaian prospektif yang menyeluruh mengenai inisiatif dasar yang mengubah keadaan ini.”
· Jumaat, 11 September, 2020
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). . Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia).