Asma adalah salah satu keadaan jangka panjang yang paling kerap di seluruh dunia. Terdapat ubat yang berkesan untuk mengawal gejala, seperti penyedut yang mengandungi steroid. Walau bagaimanapun, untuk kesan terbaik, ubat penyelenggaraan perlu diambil seperti yang ditetapkan. Ramai pesakit tidak mengambil ubat mereka, kerana jadual yang sibuk dan kepercayaan bahawa ubat hanya diperlukan untuk jangka pendek. ni dikenali sebagai 'tidak mematuhi', yang boleh menyebabkan lebih banyak gejala dan serangan. Ketidakpatuhan adalah masalah kesihatan utama; mencapai pematuhan adalah sangat penting untuk mencegah serangan dan mengurangkan risiko kematian. Dalam penjagaan kesihatan terdapat peningkatan penggunaan campur tangan digital seperti telefon bimbit, mesej teks, dan penyedut 'pintar' yang boleh memberi maklum balas tentang pengambilan ubat. Walau bagaimanapun, terdapat bukti terhad sama ada teknologi ini berfungsi untuk memperbaiki pengambilan ubat asma atau memperbaiki gejala.
Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui sama ada teknologi digital benar-benar berfungsi untuk meningkatkan pengambilan ubat asma, dan sama ada pematuhan yang lebih baik ini membawa kepada penambahbaikan dalam gejala asma dan faedah lain.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati 40 kajian yang melibatkan lebih daripada 15,000 orang dewasa dan kanak-kanak yang menghidap asma. Kajian berkisar antara kira-kira 2 minggu hingga 24 bulan, jadi kami tidak boleh mengatakan sama ada kaedah ini berkesan dalam jangka panjang (tempoh tahun yang panjang). Kami mencari pelbagai sumber maklumat untuk mengenal pasti kajian yang berkaitan. Ulasan ini adalah semasa sehingga Jun 2020. Melihat data, kami menyasarkan untuk mengetahui sama ada teknologi digital membantu penghidap asma untuk mengambil ubat mereka seperti yang ditetapkan, dan sama ada orang yang menggunakan teknologi itu mempunyai kawalan asma yang lebih baik, dan serangan asma yang lebih sedikit, berbanding mereka yang tidak menggunakan teknologi tersebut.
Hasil utama kajian
Orang yang menghidap asma yang diberi teknologi digital untuk menyokong pengambilan ubat asma adalah lebih baik mengambil ubat mereka seperti yang ditetapkan berbanding mereka yang tidak mendapat teknologi tersebut; 15% lebih ramai orang (kemungkinan berada di antara 8% dan 22%) mengambil ubat mereka seperti yang ditetapkan apabila mereka menerima teknologi digital, berbanding mereka yang tidak (yang mengambil ubat mereka secara purata 45% daripada jumlah yang ditetapkan).
Yang penting, orang yang mendapat teknologi digital mempunyai kawalan asma yang lebih baik dan separuh daripada risiko serangan asma (mungkin antara 32% dan 91%), yang mempunyai faedah langsung untuk mengurangkan risiko kematian yang berkaitan dengan asma. Kami melihat peningkatan dalam kualiti hidup dan fungsi paru-paru, tetapi kesan ke atas fungsi paru-paru adalah kecil dan mungkin mempunyai kaitan klinikal yang terhad.
Tiada pembaikan dapat dilihat dalam lawatan penjagaan kesihatan yang tidak dijadualkan. Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk memberitahu kami tentang kesan teknologi digital pada masa cuti kerja atau sekolah atau faedah kos, mahupun sama ada terdapat sebarang bahaya. Teknologi secara amnya boleh diterima oleh pesakit. Jenis teknologi tertentu seperti penyedut 'pintar' dan mesej teks nampaknya lebih baik untuk meningkatkan pengambilan ubat daripada jenis teknologi lain, walaupun bilangan kajian yang kecil bermakna kita tidak dapat memastikan bahawa teknologi ini pasti berfungsi lebih baik daripada yang lain.
Kualiti maklumat
Terdapat sedikit ketidakpastian tentang keputusan kami kerana kajian adalah agak berbeza antara satu sama lain. Perbezaan ini bermakna bahawa kita tidak dapat pasti sepenuhnya apakah faedah sebenar, kerana faedahnya mungkin disebabkan oleh faktor lain yang tidak berkaitan secara langsung dengan teknologi - contohnya, penglibatan dalam kajian boleh meningkatkan pengambilan ubat. Kadang-kadang kajian tidak memberi kami maklumat yang mencukupi untuk kami memasukkannya dengan kajian lain untuk mengetahui keberkesanannya. Kami mempunyai kebimbangan tentang berapa ramainya orang yang telah berhenti daripada kira-kira setengah kajian, dan kami tidak pasti sama ada kajian melaporkan segala-galanya yang mereka diukur.
Pengamal perubatan dan penulis ulasan Cochrane ini, Anna De Simoni dan Chris Griffiths membincang penggunaan apps dan alatan digital untuk pesakit asma, mereka menjelaskan,
“Bukti dalam ulasan ini memberikan kami lebih keyakinan untuk membincangkan penggunaannya. Daripada ulasan ini, kami mengetahui bahawa alat monitor kepatuhan elektronik dan mesej teks dapat membantu pesakit membuat pilihan yang lebih berdasarkan maklumat.”
Mesej utama
Kajian yang kami temui mencadangkan bahawa teknologi digital boleh membantu penghidap asma mengambil ubat mereka dengan lebih baik, meningkatkan kawalan asma mereka dan berpotensi mengurangkan separuh risiko serangan asma, berbanding dengan mereka yang tidak mendapat teknologi tersebut. Jenis teknologi digital tertentu, seperti campur tangan mesej teks, mungkin berfungsi lebih baik daripada yang lain. Walau bagaimanapun, kami mempunyai beberapa ketidakpastian tentang kualiti maklumat yang dilaporkan dalam beberapa kajian, dan bilangan kajian yang kecil untuk jenis teknologi yang berbeza, yang bermakna kami tidak boleh 100% pasti tentang manfaatnya.
Pengarang Amy Chan menerangkan,
“Teknologi digital yang bertujuan untuk memperbaiki pengambilan ubat boleh meningkatkan pengambilan ubat oleh individu mengikut cara yang ditetapkan sebanyak 15%, dan memperbaik kawalan asma dan kualiti hidup. Teknologi yang mengguna kan mesej teks atau alat monitor kepatuhan elektronik didapati terutamanya berkesan untuk meningkatkan pengambilan ubatan seperti yang ditetapkan.”
Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (universiti Sains malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.