Ulasan Rencana: Teknologi pengesanan kontak digital semasa wabak: ulasan pantas

Adakah teknologi pengesanan kontak digital berkesan semasa wabak penyakit berjangkit?

Mengapakah soalan ini penting?

Pandemik global COVID-19 menekankan pentingnya pengesanan kontak yang jitu dan tepat pada masanya. Pengesanan kontak memberitahu orang mereka mungkin telah berada dekat seseorang dengan - atau menunjukkan gejala - penyakit berjangkit, yang membolehkan mereka mengasingkan diri dan membantu menghentikan penyebaran jangkitan. Secara tradisional, pengesanan kontak bermula dengan pemberitahuan seseorang ada penyakit berjangkit. Mereka diminta untuk mengingat kembali kontak mereka,  dua hingga tiga hari sebelum gejala bermula. Ini memakan masa dan mungkin tidak selalu memberi gambaran lengkap, oleh itu bantuan digital dapat membantu pengesan kontak.

Pengesanan kontak digital mengguna teknologi untuk menjejaki dan mengesan kontak. Individu memuat turun aplikasi ke telefon pintar mereka dan merekod lokasi dan maklumat gejala, atau peranti mereka mungkin menggunakan teknologi mencari lokasi, seperti Bluetooth atau GPS (sistem kedudukan global). Sekiranya pengguna dijangkiti, teknologi tersebut mengenal pasti kontak rapat dan/atau jangkitan sekunder (orang yang mereka jangkiti), dan memaklumkan orang yang telah mereka dekati. Teknologi ini mengenal pasti di mana jangkitan ditular dan tempohnya (konteks).

Walau bagaimanapun, masalah mungkin berlaku di mana akses kepada teknologi adalah terhad, dalam persekitaran berpendapatan rendah atau untuk orang tua, misalnya. Juga, sesetengah orang melihatnya sebagai pencerobohan privasi dan mencurigai bagaimana data mereka akan digunakan.

Penulis ingin tahu sama ada pengesanan kontak digital, berbanding pengesanan kontak manual, berkesan dalam mengurangkan penyebaran jangkitan, seperti yang diukur oleh jangkitan sekunder, mengenal pasti kontak rapat, mengesan set kontak yang lengkap, dan mengenal pasti konteks jangkitan.

Keputusan-keputusan utama

Penulis mendapati 12 kajian yang relevan. Enam kajian menilai keberkesanan pengesanan kontak digital kumpulan orang tertentu (kohort): tiga semasa wabak (Ebola di Sierra Leone; tuberkulosis di Botswana; dan batuk kokol (pertusis) di AS); dan tiga kajian mereplikasi wabak di sekolah-sekolah untuk menilai sistem mengenal pasti kontak rapat peserta. Enam lagi adalah kajian pemodelan, yang mensimulasi pengesanan kontak digitall.

Pengesanan kontak digital dengan pengasingan diri mungkin mengurangkan bilangan jangkitan sekunder, tetapi tidak sebanyak pengesanan kontak manual dengan pengasingan diri (2 kajian pemodelan).

Pengesanan kontak digital mendapati lebih ramai kontak rapat dalam dua wabak berbanding manual (2 kajian di AS dan Sierra Leone). Peranti di persekitaran bukan wabak dapat mengenal pasti lebih kontak rapat berbanding buku harian lapor sendiri atau tinjauan .

Aplikasi mungkin mengurangkan masa untuk menyelesaikan sekumpulan kontak rapat (1 kajian). Sistem digital lebih cepat berbanding sistem kertas untuk merekod kontak baharu dan memantau kontak yang diketahui, dan memungkinan kurang kehilangan data.

Masalah dengan akses sistem (2 kajian) meliputi liputan rangkaian yang tidak sempurna, kekurangan data, masalah teknikal dan keperluan lebih latihan staf. Perbelanjaan peribadi pengesan kontak meningkat (1 kajian) kerana perjalanan dan pengecasan semula bateri telefon. Semua peranti dilihat melindungi pengguna yang didiagnos daripada kontak, pengintip dan pihak berkuasa tetapi pengguna satu aplikasi adalah anggota agensi kesihatan awam. Kajian mencatatkan perkakasan yang dicuri (telefon bimbit terpakai); melaporkan bentuk kertas "sering hilang", dan data digital yang dilindungi kata laluan (2 kajian) dan tersulit (1 kajian).

Kami tidak menemui bukti tentang maklumat dan kebolehterimaan kontekstual.

Apakah maksudnya

Teknologi digital tidak mungkin menjadi kaedah tunggal pengesanan kontak semasa wabak; ia mungkin diguna bersama kaedah-kaedah manual. Malangnya, sebahagian besar teknologi ini tidak terbukti dalam persekitaran wabak dunia nyata dan tiada kajian yang kami sertakan menilai pengesanan kontak digital dan manual dengan pengesanan kontak digital sahaja. Kajian yang disertakan menilai pelbagai teknologi dan mengguna pelbagai kaedah di antara satu sama lain, oleh itu kami tidak pasti tentang buktinya.

Kerajaan yang melaksanakan pengesanan kontak digital harus memastikan populasi berisiko tidak terpinggir dan mempertimbangkan masalah privasi.

Ulasan adalah terkini sehingga Mei 2020.

Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.