Pendekatan untuk panduan terapi oksigen dalam kalangan pesakit penjagaan intensif dewasa dengan sindrom distres respiratori akut.
Sindrom distres respiratori akut (ARDS) adalah masalah pernafasan yang sangat teruk dengan kadar kematian tinggi (kemungkinan mati). Terdapat banyak penyebab yang berpotensi, termasuk jangkitan virus seperti COVID-19, dan tiada rawatan khusus untuknya kecuali memberi pesakit oksigen melalui ventilator (mesin pernafasan buatan) di unit penjagaan intensif, sering untuk jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, terlalu banyak oksigen (sama ada kepekatan oksigen tinggi atau oksigen yang diberi untuk jangka masa panjang) boleh meningkatkan bahaya akibat penyakit lain (misalnya serangan jantung atau strok).
Pengarang ulasan ingin tahu sama ada pesakit dengan masalah paru-paru yang teruk (ARDS) akan lebih baik (termasuk kurang kemungkinan mati) jika menerima amaun oksigen yang lebih tinggi atau lebih rendah melalui ventilator semasa di penjagaan intensif.
Pasukan penulis mencari pangkalan data perubatan major sehingga 15 Mei 2020 untuk kajian klinikal yang mengkaji penggunaan oksigen dalam kalangan pesakit dewasa dengan ARDS di unit penjagaan intensif. Mereka hanya mencari kajian dengan pesakit yang paling sakit, iaitu mereka yang memerlukan bantuan pernafasan melalui tiub pernafasan yang disambung kepada mesin pernafasan buatan. Carian mereka tidak terhad kepada bahasa penerbitan. Selain mengekstrak dan menganalisis data dari kajian yang memenuhi kriteria ini, mereka juga menilai risiko bias (keadilan) dan kepastian (keyakinan) penemuan-penemuan tersebut.
Para pengarang menyertakan satu kajian (205 peserta) dalam ulasan ini. Pesakit dengan ARDS dan menerima oksigen melalui tiub pernafasan di unit penjagaan intensif mungkin berpeluang kematian lebih tinggi jika mereka menerima kurang oksigen berbanding menerima amaun oksigen lebih tinggi, tetapi bukti sangat tidak pasti. Keyakinan terhadap penemuan ini sangat rendah kerana data hanya tersedia dari satu kajian dengan bilangan kecil peserta, dan kajian tamat lebih awal dari jangkaan kerana alasan keselamatan. Oleh itu, pengarang tidak dapat menyatakan dengan pasti sama ada memberi lebih banyak atau kurang oksigen kepada pesakit ARDS boleh membantu.
Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.
Isnin, 1 September 2020