Adakah terapi pengaktifan tingkah laku berkesan untuk kemurungan dalam kalangan dewasa? Dan bagaimana pula dengan kesan rawatan untuk kemurungan dalam kalangan dewasa dengan keadaan fizikal jangka‐panjang? Dua ulasan sistematik Cochrane baharu melihat bukti sedia ada.
Depresi adalah masalah kesihatan mental yang lazim. Ia boleh menyebabkan perasaan sedih berterusan dan hilang minat terhadap orang, aktiviti, dan perkara-perkara yang dahulunya menyeronokkan. Rawatan untuk kemurungan termasuklah terapi psikologi (terapi bercakap). Dua ulasan terbaru yang diterbitkan oleh Keadaan Mental Lazim Cochrane memfokus kepada jenis terapi psikologi yang dipanggil pengaktifan tingkah laku.
Pengaktifan tingkah laku menggalakkan seseorang untuk mengembangkan atau kembali kepada aktiviti yang bermakna bagi mereka. Terapi ini melibatkan penjadualan aktiviti dan pemantauan tingkah laku serta melihat situasi tertentu di mana perubahan tingkah laku dan aktiviti mungkin boleh membantu. Ahli terapi boleh menyokong orang secara perseorangan, melalui telefon, atau atas talian, biasanya melibatkan beberapa sesi.
Adakah terapi pengaktifan tingkah laku - Video
Pengaktifan tingkah laku semakin mendapat perhatian sebagai intervensi yang mungkin memerlukan kurang sumber dan latihan pakar berbanding rawatan kemurungan lain. Ini boleh memudahkan perlaksanaan dalam pelbagai persekiaran, termasuk negara berpendapatan rendah dan sederhana dan persekitaran lain yang kekurangan pakar untuk menyampaikan rawatan. Adalah mustahak perlaksanaan amalan pengaktifan tingkah laku disokong oleh bukti terkini.
Ulasan Sistematik: Terapi pengaktifan tingkah laku untuk kemurungan dalam kalangan dewasa
Ulasan pertama yang diterbitkan menilai sama ada pengaktifan tingkah laku boleh menjadi rawatan yang berkesan dan diterima untuk ditawarkan kepada orang dengan kemurungan. Lima puluh tiga kajian telah disertakan.
Ulasan ini mendapati pengaktifan tingkah laku mungkin merawat kemurungan lebih baik berbanding penjagaan biasa atau terapi humanistik.
Tidak dapat dipastikan sama ada pengaktifan tingkah laku lebih baik daripada ubat-ubatan, berada dalam senarai menunggu, atau menerima pelbagai terapi psikologi lain. Tiada bukti sedia ada yang membandingkan pengaktifan tingkah laku dengan tiada rawatan, rawatan plasebo, dan terapi integratif.
Para penulis tidak menemui perbezaan dalam efikasi pengaktifan tingkah laku berbanding terapi kognitif-tingkah laku (CBT), CBT gelombang ketiga, atau terapi psikodinamik.
Untuk kebanyakan pembanding, penulis tidak mendapati perbezaan dengan pengaktifan tingkah laku dari segi penerimaan rawatan, kecuali pengaktifan tingkah laku mungkin kurang diterima orang daripada rawatan biasa (peserta yang menerima pengaktifan tingkah laku lebih cenderung cicir dari kajian).
Adalah disimpulkan pengaktifan tingkah laku mungkin boleh menjadi rawatan yang berkesan dan diterima untuk kemurungan dalam kalangan dewasa. Ia boleh menjadi alternatif yang sesuai dari rawatan yang sedia ada seperti CBT. Menawarkan terapi ini dalam amalan akan memberi orang dengan kemurungan lebih banyak pilihan rawatan, dan format berlainan dan jenis penyampaian yang berbeza boleh diteroka untuk memenuhi permintaan sokongan kesihatan mental.
Keyakinan pengarang terhadap penemuan ini adalah terhad akibat kebimbangan terhadap kepastian bukti. Kebanyakan penemuan adalah jangka- pendek, bermaksud kami tidak yakin pengaktifan tingkah laku akan membantu orang dengan kemurungan dalam jangka panjang.
Terapi pengaktifan tingkah laku berkesan untuk kemurungan dalam kalangan dewasa - Video
Bagaimana dengan orang dengan kemurungan yang mempunyai keadaan kesihatan fizikal jangka panjang?
Pada hakikatnya ramai orang mempunyai lebih dari satu keadaan kesihatan. Sebagai contoh, adalah lazim bagi orang dengan keadaan kesihatan mental juga menderitai penyakit kardiovaskular, diabetes, barah, atau keadaan-keadaan pernafasan kronik.
Keadaan fizikal jangka panjang ini boleh mengimpak kesihatan mental, dan masalah kesihatan mental boleh mempengaruhi bagaimana orang mengatasi keadaan fizikal. Memandangkan hubungan kompleks antara kesihatan mental dan fizikal, rawatan kesihatan mental mungkin berfungsi secara berbeza bagi orang yang menderita dan tidak menderita keadaan fizikal jangka panjang. Ini merupakan sebab mengapa Kumpulan Keadaan Mental Lazim Cochrane berminat dalam intervensi kesihatan mental bagi orang yang mempunyai keadaan kesihatan mental dan fizikal.
Ulasan kedua menanyakan berapa baik pengaktifan tingkah laku merawat kemurungan dalam kalangan dewasa dengan keadaan fizikal jangka panjang. Di dalam ulasan ini, terdapat kurang bukti. Ulasan ini memasukkan hanya dua kajian; satu kajian tentang orang yang pulih dari strok dan satu lagi tentang wanita dengan barah payudara. Pengaktifan tingkah laku didapati lebih berkesan berbanding rawatan biasa dan terapi penyelesaian masalah dalam jangka pendek dan jangka sederhana. Walau bagaimanapun, hasil ini tidak tepat dan kesannya berkurang dalam jangka panjang. Apabila melihat gejala kemurungan, tiada perbezaan ditemui.
Halatuju masa depan untuk Kumpulan Keadaan Mental Lazim Cochrane
Adalah penting untuk kami ketahui lebih lanjut bagaimana pengaktifan tingkah laku berfungsi untuk kumpulan-kumpulan orang yang berlainan, seperti orang dewasa dengan keadaan fizikal jangka panjang. Kumpulan Keadaan mental Lazim Cochrane sedang mengusahakan beberapa ulasan yang menilai bukti tentang intervensi kesihatan mental bagi orang dengan keadaan fizikal seperti diabetes, dan populasi dan persekitaran spesifik lain. Terdapat fokus kepada migran tidak sukarela termasuk kanak - kanak dengan kerjasama Kumpulan Kesihatan Mental Global Cochrane (CGMH). Bersama dengan kumpulan Cochrane EPOC dan CGMH kami sedang mengkaji ulasan intervensi kesihatan mental untuk orang di negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Ikutinya dan ulasan lain dari kumpulan ini, yang akan tersedia melalui Perpustakaan Cochrane. Ikuti @Cochrane_CCMD di Twitter jika anda ingin menjadi yang pertama mengetahuinya!
Rabu, 9 September 2020
Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.