Ramai orang mengalami sakit yang berpanjangan lebih dari tiga bulan yang bukan berkaitan kanser‐atau sakit kepala. Pencarian diagnosis dan kelegaan sakit sering lama dan boleh mengecewakan. Dalam wawancara ini, penulis utama Ulasan Cochrane terapi psikologi untuk pengurusan kesakitan kronik (tidak termasuk sakit kepala) dalam kalangan dewasa yang baharu dikemas kini Amanda C de C Williams membincangkan penemuan ulasan ini.
Bolehkah anda beritahu kami tentang Ulasan Cochrane ini dan apa yang baharu tentang kemas kini ini?
Ulasan ini adalah ketiga dI Cochrane, dan keempat keseluruhan, yang cuba menjawab soalan efikasi intervensi psikologi untuk membantu orang dengan sakit kronik (berterusan). Intervensi-intervensi ini menggunakan pelbagai kaedah yang mensasarkan tingkah laku, pemikiran, dan emosi, untuk cuba memboleh orang dengan sakit kronik menjalani kehidupan yang lebih memuaskan, kurang dibatasi oleh sakit. Intervensi-intervensi ini telah digunakan selama kira-kira 50 tahun, dan terdapat banyak kajian. Ulasan ini menyertakan 75 kajian, dengan 9401 pesakit yang melengkapkan rawatan. Ini lebih besar daripada ulasan Cochrane terdahulu pada 2012, oleh itu kami berharap untuk mendapatkan jawapan lebih jelas sama ada intervensi-intervensi ini mengurangkan hilang upaya, distres, dan sakit.
Apakah yang diberitahu oleh bukti tersebut?
Kami membahagikan intervensi tersebut kepada tiga kumpulan. Yang terbesar adalah terapi kognitif tingkah laku (CBT), yang bertujuan untuk membantu orang mengenal pasti dan mengubah tabiat berfikir yang tidak membantu, dan kepercayaan yang terlalu pesimistik tentang sakit mereka dan maksudnya, di samping cara-cara menggalakkan mereka meningkatkan kepelbagaian dan tahap aktiviti mereka. Terdapat dua kumpulan kecil: terapi tingkah laku (BT), yang bertujuan mengubah tabiat orang secara langsung, tanpa kaedah kognitif, dan terapi penerimaan dan komitmen (ACT), yang mengambil pendekatan tingkah laku yang serupa dengan CBT tetapi pendekatan kognitif yang berbeza, mengajar orang untuk melepaskan diri daripada corak pemikiran negatif (berbanding mengubahnya) dan memfokus aktiviti yang bermakna.
Untuk CBT, ada 59 kajian untuk digabungkan, terdapat kesan positif intervensi yang boleh diabaikan terhadap tahap sakit, dan pembaikan yang kecil tetapi kuat terhadap kehilangan upaya dan distres, semuanya dinilai oleh laporan individu sendiri. Kebanyakan bukti berkualiti sederhana, sesetengahnya rendah. Pembaikan dalam semua hasil adalah lebih ketara, berlanjutan hingga susulan pada 6 hingga 12 bulan, apabila rawatan dibanding dengan senarai menunggu atau rawatan seperti biasa berbanding rawatan lain, seperti program senaman, intervensi pendidikan, atau kumpulan sokongan.
Kami hanya menemui 8 kajian BT, dengan sedikit perubahan sakit, hilang upaya, atau distres. Kualiti bukti adalah bervariasi dan kaedah rawatan yang digunakan agak pelbagai, oleh tiu sukar untuk membuat sebarang kesimpulan. Terdapat 5 kajian ACT, dan semua bukti berkualiti sangat rendah; keputusan menunjukkan manfaat yang bercampur-campur dan tiada kesan, tetapi ia sangat tidak pasti hingga kami tidak yakin menafsirkannya.
Tiada intervensi memberi kualiti bukti walaupun sederhana tentang kesan-kesan buruk, yang mana bagi intervensi psikologi mungkin merupakan simptom bertambah buruk, atau keciciran kerana bertambah buruk atau kecewa dengan tahap atau kadar progres.
Apakah implikasi untuk penyelidikan lanjut?
Selepas Ulasan Cochrane 2012, kami menulis sebuah editorial dalam jurnal PAIN mengatakan kami tidak memerlukan lebih banyak kajian CBT, menguji variasi kecil dalam elemen rawatan. Walau bagaimanapun, itulah apa yang kami temui dalam kemas kini 2020 kami. Kini kami tahu ada kesan purata yang kukuh, yang memerlukan jumlah kajian yang besar yang tidak akan menolaknya, tetapi kami hanya mengetahui sedikit sebab-sebab untuk variasi sekitar purata ini. Kami merancang satu lagi editorial ...
Untuk BT, walaupun prinsip intervensi adalah berbeza antara satu sama lain, dan mempunyai asas yang kuat dalam kajian-kajian sakit akut, kajian untuk sakit kronik sering menggabung beberapa elemen, membuat kesan-kesan lebih sukar untuk ditafsir. Kami perlu bermula dengan kajian berkuasa baik yang menguji setiap teknik berbanding menggabungkannya. Keputusan kami untuk ACT sangat berbeza dengan beberapa ulasan sistematik sistematik dan meta-analisis yang menyertakan banyak kajian-kajian kecil (kami kecualikan kajian yang kurang dari 20 orang di sebarang lengan kajian pada akhir rawatan): ini dilapor sangat berkesan, walaupun terutamanya untuk penerimaan sakit yang dilapor sendiri dan bukan kehilangan upaya atau distres. Kaedah ACT diguna pakai secara meluas, sering menggantikan CBT, tetapi bukti yang kami temui tidak menyokong perkara ini. Salah satu masalah dalam kajian psikologi, terutamanya dengan rawatan lebih baharu seperti ACT, adalah kajian-kajian dijalankan oleh peminat rawatan baharu. Untuk kajian generasi seterusnya, kami memerlukan lebih keadilan.
Mesej apa yang boleh diambil oleh pembuat dasar dari kajian ini?
Kepelbagaian intervensi psikologi boleh membingungkan pembuat dasar, tetapi beberapa perbezaan adalah penting: tidak semua ‘terapi bercakap’ adalah sama, atau sama berkesan. Bukti kami menyokong penggunaan CBT untuk mengurangkan hilang upaya dan distres berkaitan dengan sakit kronik, apabila disampaikan oleh ahli psikologi terlatih, salah satu kriteria kemasukan dalam ulasan kami. Psikologi bukanlah ‘masuk akal’, juga tidak boleh diaplikasi tanpa pemahaman mengenai proses psikologi dan tanpa kemahiran untuk menangani distres pesakit. Untuk dua jenis intervensi lain, BT dan ACT, hasil-hasilnya adalah tidak pasti, maka kesan-kesan bermanfaat dan buruk, perlu dipantau dan dilaporkan.
Selasa, 1 September, 2020
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my