Ulasan Rencana: Terapi tingkah laku kognitif untuk gangguan keresahan dalam kalangan kanak‐kanak dan remaja

Mengapa ulasan ini penting?
Ramai kanak-kanak dan orang muda mengalami masalah keresahan. Kanak-kanak dan orang muda dengan gangguan keresahan lebih cenderung mengalami kesukaran persahabatan, kehidupan keluarga, dan sekolah, dan membentuk masalah kesihatan mental kemudian hari berbanding rakan sebaya. Terapi seperti terapi tingkah laku kognitif (CBT) dapat membantu kanak-kanak dan orang muda menangani  kesukaran keresahan dengan menggunakan cara berfikir baharu dan menangani ketakutan mereka.

Siapakah yang akan berminat dalam ulasan ini?
Ibu bapa, kanak-kanak dan orang muda; orang yang bekerja dalam perkhidmatan pendidikan dan kesihatan mental untuk kanak-kanak dan orang muda; dan pengamal am.

Apakah soalan-soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?
Ulasan ini mengemas kini dan menggantikan Ulasan Cochrane terdahulu dari 2005 dan 2015, yang menunjukkan CBT adalah rawatan yang berkesan untuk kanak-kanak dan orang muda dengan gangguan keresahan.

Ulasan ini bertujuan untuk menjawab soalan-soalan berikut:

·       Adakah CBT lebih berkesan berbanding senarai menunggu atau tiada terapi?

·       Adakah CBT lebih berkesan berbanding rawatan dan ubat lain?

·       Adakah CBT membantu mengurangkan keresahan bagi kanak-kanak dan orang muda dalam jangka masa panjang?

·       Adakah sesetengah jenis CBT lebih berkesan daripada yang lain? (seperti terapi individu berbanding kumpulan)

·       Adakah CBT berkesan untuk kumpulan tertentu? (seperti kanak-kanak dengan autisme)

Kajian mana yang dimasukkan ke dalam ulasan ini?
Kami mencari pangkalan data semua kajian CBT untuk gangguan keresahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda yang diterbitkan sehingga Oktober 2019. Untuk dimasukkan dalam ulasan, kajian hendaklah rawak terkawal (sejenis kajian di mana para peserta diperuntukkan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) dan harus memasukkan orang muda di bawah 19 tahun dengan diagnosis gangguan keresahan. Kami memasukkan 87 kajian yang melibatkan sejumlah 5964 peserta di dalam analisis ini.

Apakah bukti yang diperolehi daripada ulasan ini?
Kami menilai kualiti keseluruhan bukti sebagai ‘sederhana’ atau ‘rendah’. Terdapat bukti CBT lebih berkesan daripada senarai menunggu atau tiada rawatan untuk mengurangkan keresahan dalam kalangan kanak-kanak dan orang muda, walaupun penemuan adalah berbeza-beza di antara kajian-kajian. Tiada bukti jelas CBT lebih berkesan daripada rawatan lain. Sebilangan kecil kajian melihat hasilnya enam bulan setelah CBT diberi dan menunjukkan pengurangan keresahan berterusan. Kami tidak menemui bukti jelas satu cara menyediakan CBT lebih berkesan daripada yang lain (contohnya dalam kumpulan, rawatan yang lebih lama, dengan ibu bapa) atau CBT kurang berkesan untuk kumpulan kanak-kanak tertentu (contohnya, kanak-kanak dengan gangguan spektrum autisme).

Apakah yang patut berlaku seterusnya?
Penyelidikan masa depan harus membandingkan CBT dengan rawatan dan ubat alternatif; kenal pasti siapa yang mendapat dan tidak mendapat manfaat CBT dan apakah yang diperlukan oleh mereka yang tidak mendapat manfaat; bagaimana untuk menjadikan CBT lebih mudah diakses; dan beri lebih pertimbangan kepada populasi yang terabai, termasuk kanak-kanak dan orang muda dari negara berpendapatan rendah
dan sederhana.

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Isnin, 16 November 2020.