Ulasan Rencana: Trombektomi endovaskular dan intervensi intra - arteri untuk strok iskemia akut

Dalam ulasan Cochrane yang baru diterbitkan ini , penulis meneroka kesan-kesan merawat strok iskemia akut dengan trombektomi endovaskular dan intervensi intra-arteri.

Penulis pertama Melinda Roaldsen berkata: "Ulasan mengenai trombektomi endovaskular untuk strok iskemia akut ini sangat mengukuhkan keberkesanan dan keselamatan intervensi endovaskular. Trombektomi endovaskular adalah kaedah rawatan yang pesat berkembang dan terus memperoleh kepentingan dalam rawatan strok akut. Ulasan ini menemui bukti yang tinggi bahawa trombektomi endovaskular memperbaiki hasil fungsi dan neurologi tanpa meningkatkan pendarahan intraserebral atau kematian. Manfaatnya dilihat dengan dan tanpa trombolisis intravena dan tidak berkaitan dengan usia, seks, dan masa untuk rawatan (walaupun kebanyakan kajian dijalankan dalam 6 jam). Manfaatnya lebih besar dengan strok yang lebih teruk. Ia adalah penting untuk terus berusaha ke arah menjadikan trombektomi endovaskular tersedia untuk bahagian populasi yang lebih besar."

Ulasan ini melihat sama ada trombektomi endovaskular (penyingkiran gumpalan darah dalam saluran darah menggunakan alat mekanikal) atau trombolisis intra-arteri (penyuntikan ubat pelarut gumpalan terus ke dalam gumpalan), atau kedua-duanya, memberikan hasil yang lebih baik daripada rawatan piawai sahaja untuk strok yang disebabkan oleh saluran darah yang tersumbat.

Latar belakang

Kebanyakan strok yang melumpuhkan adalah disebabkan oleh penyumbatan saluran darah yang besar oleh gumpalan darah di otak. Strok tersebut menyebabkan kerosakan tisu otak kerana kekurangan oksigen Strok iskemik ialah strok di mana pembatasan aliran darah menyebabkan kerosakan dan kematian tisu sekitarnya kerana kekurangan oksigen. Bagi pesakit-pesakit ini, kaedah rawatan yang paling intuitif adalah penyingkiran penyumbatan dengan menyuntik ubat pelarut bekuan terus ke gumpalan atau penyingkiran bekuan darah menggunakan alat mekanikal, atau kedua-duanya. Rawatan yang segera boleh memulihkan aliran darah sebelum kerosakan otak yang besar berlaku, membawa kepada pemulihan yang baik. Namun, rawatan-rawatan ini juga boleh menyebabkan pendarahan dalam otak, yang boleh mengakibatkan hasil yang lebih buruk. Para penulis telah mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditugaskan kepada satu daripada dua ataupun lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) untuk kedua-dua trombektomi mekanikal endovaskular dan trombolisis intra-arteri untuk menentukan sama ada ia rawatan yang selamat dan berkesan untuk strok yang disebabkan oleh saluran darah yang tersumbat.

Tarikh carian: 1 September 2020

Ciri-ciri kajian

Kajian rawak terkawal untuk trombektomi endovaskular atau trombolisis intra-arteri, atau kedua-duanya, ditambah dengan rawatan perubatan rutin berbanding dengan rawatan perubatan rutin sahaja dalam pesakit dengan strok iskemia akut yang pasti.

Sumber pembiayaan kajian

Tiada sumber pembiayaan

Keputusan utama

Penulis kajian menjumpai 19 kajian yang melibatkan sebanyak 3793 peserta. Rawatan dengan trombektomi endovaskular boleh memperbaiki peluang hidup pesakit-pesakit dengan kemampuan untuk berfungsi dengan baik tanpa meningkatkan risiko pendarahan dalam otak atau kematian. Adalah masih belum jelas mengenai jangka masa optimum mana-mana rawatan adalah bermanfaat dan sama ada rawatan berkesan di peredaran posterior (membekalkan bahagian belakang otak). Terdapat juga keperluan untuk mengkaji sama ada strategi trombektomi endovaskular primer atau trombolisis intra-arteri, atau kedua-duanya, lebih unggul daripada strategi di mana rawatan larut pembekuan intravena (disuntik ke dalam vena) diberikan terlebih dahulu di pusat tempatan diikuti dengan pemindahan pesakit terpilih ke hospital yang dapat melakukan trombektomi mekanikal atau trombolisis intra-arteri, atau kedua-duanya.

Kepastian bukti

Para penulis telah menilai kajian yang sedia ada sama ada mempunyai risiko bias yang rendah atau tidak jelas, dan oleh itu secara keseluruhan bukti tersebut dilaporkan sebagai berkepastian tinggi.

Selasa, 15 Jun, 2021

Diterjemahkan oleh Engracia Yap (RUMC). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my