Ubat apa yang paling berkesan untuk mengelakkan orang menjadi sakit (muntah) selepas pembedahan?
Mengapa orang menjadi sakit selepas pembedahan?
Berasa tidak sihat (loya) atau sakit (muntah) adalah kesan lazim anestesia umum yang tidak diingini - ubat yang membuat orang tidak sedar dan tidak responsif agar mereka tidak bergerak atau merasa sakit semasa pembedahan.
Kebanyakan kesan anestesia umum yang tidak diingini, termasuk berasa atau menjadi sakit, berlaku sejurus kemudian dan berhenti selepas beberapa jam, walaupun sesetengah orang mungkin terus berasa sakit sehingga sehari. Jika orang terus merasa atau menjadi sakit, mereka mungkin perlu tinggal di hospital lebih lama dari jangkaan dan mungkin mengalami kesan atau komplikasi tidak diingini yang lain.
Wanita lebih cenderung menjadi sakit selepas pembedahan, misalnya orang yang mengambil ubat penahan sakit opioid, mereka yang mengalami mabuk perjalanan, dan mereka yang pernah sakit selepas pembedahan terdahulu.
Ubat untuk menghentikan orang menjadi sakit
Ubat yang dipanggil antiemetik diberi untuk menghentikan orang merasa atau menjadi sakit. Bagi orang yang berisiko lebih tinggi menjadi sakit, ubat-ubat ini boleh diberi sebelum atau semasa anestesia.
Ubat-ubat antiemetik dikelompokkan kepada enam kelas berdasarkan cara tindakan. Menggabung ubat-ubat dari kelas berlainan kadang kala membuatnya lebih berkesan.
Mengapa kami lakukan Ulasan Cochrane ini
Kami ingin tahu ubat terbaik untuk menghentikan orang menjadi sakit selepas pembedahan dan membawa paling kurang kesan yang tidak diingini. Kesan lazim ubat antiemetik yang tidak diingini termasuklah sakit kepala, sembelit, gangguan pergerakan seperti tremor, mengantuk, degupan jantung tidak regular, dan jangkitan luka.
Apa yang dilakukan para penulis?
Para penulis ulasan ini mencari kajian-kajian yang melihat penggunaan ubat antiemetik dalam kalangan dewasa yang melalui anestesia umum untuk menghentikan orang menjadi sakit selepasnya.
Mereka mencari kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima orang ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberi bukti yang paling boleh percaya tentang kesan rawatan.
Tarikh carian
Para penulis menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga November 2017; pada April 2020, kami menemui 39 kajian lagi, yang masih belum dimasukkan dalam analisis.
Apa yang mereka temui
Para penulis menemui 585 kajian dengan 97,516 orang (83% wanita) yang diberi ubat antiemetik sebelum atau semasa anestesia umum. Kebanyakan kajian dijalankan di Asia, Eropah, atau Amerika Utara.
Kajian-kajian ini mengukur berapa ramai orang yang sakit dalam tempoh 24 jam pertama selepas pembedahan mereka dan berapa banyak kesan tidak diingini yang dilaporkan. Kebanyakan kajian membandingkan ubat (diberi sendirian atau dalam kombinasi) dengan rawatan palsu (plasebo).
Penulis membandingkan semua ubat antiemetik antara satu sama lain menggunakan kaedah matematik dipanggil meta-analisis rangkaian.
Apakah keputusan utama dan sejauh mana keputusan ini boleh dipercayai?
Berbanding rawatan plasebo, 10 daripada 28 ubat tunggal dan 29 daripada 36 kombinasi ubat menghentikan orang dari menjadi sakit dalam tempoh 24 jam pertama selepas pembedahan mereka (282 kajian). Kombinasi ubat antiemetik secara umum berfungsi lebih baik daripada ubat tunggal yang diberi sendirian. Walau bagaimanapun, aprepitant, casopitant, dan fosaprepitant berfungsi dengan baik bersendirian seperti kebanyakan kombinasi antiemetik. Ubat tunggal yang paling berkesan adalah fosaprepitant, diikuti casopitant, aprepitant, ramosetron, granisetron, dexamethasone, tropisetron, ondansetron, dolasetron, dan droperidol.
Penulis ulasan ini yakin ramosetron, granisetron, dexamethasone, dan ondansetron menghentikan orang daripada menjadi sakit. Mereka sederhana yakin tentang berapa baik fosaprepitant dan droperidol berkesan, tetapi penemuan ini mungkin berubah apabila bukti lebih lanjut tersedia. Mereka tidak pasti tentang berapa baik casopitant, tropisetron, dan dolasetron berkesan.
Tidak semua kajian melaporkan kesan tidak diingini yang serius dan mengancam nyawa. Penulis ulasan tidak pasti berapa banyak kesan-kesan ini dilaporkan apabila mengambil ubat antiemetik dan sama ada kesan-kesan tidak diingini yang serius dan mengancam nyawa berlaku pada kadar yang sama atau berkurang berbanding plasebo (28 kajian).
Dari ubat-ubat yang terbaik untuk menghentikan sakit, granisetron dan ondansetron mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam kejadian kesan-kesan tidak diingini berbanding plasebo, namun dexamethasone dan droperidol mungkin menyebabkan kurang kesan-kesan tidak diingini berbanding plasebo. Para penulis tidak pasti tentang kesan-kesan tidak diingini dengan aprepitant dan ramosetron (61 kajian). Mereka tidak menemui kajian yang melaporkan kesan-kesan tidak diingini untuk fosaprepitant.
Para penulis kurang yakin tentang kesan-kesan tidak diingini semua ubat antiemetik lain kerana mereka menemui sedikit bukti boleh percaya mengenai perkara ini. Keputusan untuk kesan-kesan tidak diingini mungkin berubah apabila bukti lebih lanjut tersedia.
Kesimpulan
Bagi orang yang berisiko lebih tinggi, beberapa ubat berfungsi dengan baik untuk menghentikan mereka daripada menjadi sakit selepas anestesia umum. Ubat antiemetik yang paling dipercaya adalah aprepitant, ramosetron, granisetron, dexamethasone, dan ondansetron, diikuti fosaprepitant dan droperidol.
Walau bagaimanapun, para penulis tidak menemui cukup bukti boleh percaya tentang potensi kesan-kesan tidak diingini untuk menilai ubat-ubat ini berdasarkan berapa baik ia berfungsi.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal).
Selasa, 20 Oktober, 2020