Sejauh mana tepatnya pengimejan dada untuk mendiagnosis COVID-19?
Mengapakah soalan ini penting?
Orang yang disyaki dijangkiti COVID-19 perlu tahu dengan cepat sama ada mereka dijangkiti, supaya mereka dapat mengasingkan diri, menerima rawatan, dan memaklumkan kontak rapat. Pada masa ini, diagnosis formal jangkitan COVID-19 memerlukan analisis darah atau sampel dari hidung dan tekak di makmal. Ujian makmal ini, dipanggil RT-PCR, memerlukan peralatan khusus dan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk menghasilkan keputusan. Selanjutnya, RT-PCR tidak tepat sepenuhnya dan RT-PCR kedua atau ujian lain mungkin diperlukan untuk mengesahkan diagnosis.
COVID-19 adalah jangkitan respiratori: orang dengan COVID-19 mungkin mengalami batuk, kesukaran bernafas dan dalam kes-kes yang teruk mungkin mengalami pneumonia COVID-19. Klinisian menggunakan ujian pengimejan dada untuk mendiagnosis penyakit COVID-19, apabila menunggu keputusan RT-PCR, sebagai contoh, atau apabila keputusan RT-PCR adalah negatif, dan orang tersebut mempunyai gejala-gejala COVID-19.
Para penulis ingin tahu berapa tepat pengimejan dada dalam mendiagnosis penyakit COVID-19 dalam kalangan orang dengan jangkitan yang diketahui atau disyaki.
Apakah ujian pengimejan dada?
Sinar-x atau imbasan menghasilkan imej organ dan struktur (jantung, paru-paru dan saluran pernafasan) dalam dada. Ia dapat mengesan penyumbatan, keradangan dan cecair yang berlebihan.
· Sinar-x (radiografi) menggunakan amaun radiasi yang kecil untuk menghasilkan imej 2-D. Ia sering dilakukan di hospital menggunakan peralatan tetap oleh jururadiografi tetapi boleh juga dilakukan menggunakan mesin mudah alih.
· Imbasan tomografi berkomputer (CT) menggunakan komputer untuk menggabungkan beberapa imej sinar-x yang diambil dari pelbagai sudut untuk menghasilkan suatu imej 2-D yang boleh ditukar kepada imej 3-D. Ia memerlukan peralatan yang sangat khusus dan dilakukan dalam hospital oleh seorang pakar jururadiografi.
· Imbasan ultrasound menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi untuk menghasilkan imej. Ia boleh dilakukan di hospital atau persekitaran penjagaan kesihatan lain seperti surgeri atau klinik doktor.
Apa yang dibuat oleh para penulis?
Para penulis ulasan ini mencari kajian-kajian yang menilai ketepatan pengimejan dada untuk mendiagnosis penyakit COVID-19. Kajian-kajian boleh menyertakan pesakit yang sah atau disyaki dijangkiti COVID-19, berdasarkan keputusan RT-PCR atau ujian lain. Kajian-kajian boleh sebarang reka bentuk dan dilakukan di sebarang tempat.
Apa yang mereka dapati?
Para penulis mendapati 84 kajian dengan 8279 orang. Kajian-kajian memasukkan sama ada pesakit dengan diagnosis COVID-19 yang sah (71 kajian, melibatkan 6331 orang) atau kedua-dua diagnosis COVID-19 yang disyaki dan disahkan (13 kajian, melibatkan 1948 orang). Kebanyakan jangkitan disahkan dengan RT-PCR.
Kebanyakan kajian telah CT dada. Kami menemui kajian-kajian dari seluruh dunia; 78 kajian dijalankan di Asia.
Ketepatan pengimejan dada untuk mendiagnosis COVID-19 dalam kalangan orang dengan jangkitan yang disahkan.
Secara purata, CT dada mengenal pasti jangkitan dengan betul dalam 93% orang yang sah COVID-19 (65 kajian, 5759 orang). Sinar-x dada telah mengenal pasti jangkitan dengan betul dalam 82% orang yang sah COVID-19 (sembilan kajian, 682 orang). Ultrasound paru-paru telah mengenal pasti jangkitan dengan betul dalam 100% orang yang sah COVID-19 (2 kajian,32 orang).
Ketepatan pengimejan dada untuk mendiagnosis COVID-19 dalam kalangan orang dengan jangkitan yang disyaki atau disahkan.
Secara purata, CT dada telah mengenal pasti jangkitan dengan betul dalam 86% pesakit yang telah dijangkiti COVID-19 (13 kajian, 2346 orang). Walau bagaimanapun, ia tidak betul mengenal pasti jangkitan dalam 82% orang yang tidak dijangkiti COVID-19. Kami tidak dapat mencari sebarang kajian yang melaporkan data tentang ultrasound paru-paru.
Adakah keputusan boleh dipercayai?
Kajian-kajian melaporkan maklumat yang terhad tentang bagaimana mereka mengesahkan diagnosis COVID-19, bagaimana mereka merekrut peserta, dan ia sering tidak menggunakan kaedah yang mantap. Kebanyakan kajian hanya menyertakan pesakit dengan diagnosis COVID-19 yang sah, oleh itu kami ada sedikit maklumat tentang keupayaan pengimejan dada untuk mengetepikan COVID-19 dalam kalangan orang yang tidak dijangkiti. Kajian-kajian juga tidak melaporkan sebarang keadaan repsiratori yang wujud terlebih dahulu yang mungkin mempengaruhi keputusan. Akhirnya, 25% kajian telah diterbitkan sebagai pracetak, yang tidak menjalani pemeriksaan ketat seperti yang kajian yang telah diterbitkan. Para penulis tidak dapat membuat kesimpulan dengan yakin berdasarkan keputusan kajian-kajian yang disertakan dalam ulasan ini.
Apakah maksudnya?
Bukti mencadangkan CT dan sinar-x dada mungkin ujian yang baik untuk mengesahkan diagnosis COVID-19 dalam kalangan orang yang telah didiagnosis dengan COVID-19 melalui ujian lain. Walau bagaimanapun, imbasan CT mungkin kurang tepat dalam mengesahkan atau mengetepikan jangkitan dalam kalangan orang yang hanya disyaki COVID-19.
Para penulis merancang akan mengemas kini ulasan ini secara regular setelah mendapat lebih banyak penyelidikan.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Bukti ulasan Cochrane ini adalah terkini sehingga Mei 2020.
Diterjemah oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi nicole@mc.pmc.edu.my.
September 30, 2020